Ejen Hakimi Bidas Ibu Mbappe Kerana Cubaan ‘Sailang’ Pemain Itu

Ejen kepada bintang Paris Saint-Germain Achraf Hakimi mengecam perbuatan ibu Kylian Mbappe selepas cubaan mempengaruhi pemain pertahanan itu menukar agensi dan ejen pemain itu.

Fayza Lamari dipercayai menggunakan anaknya Mbappe untuk menghubungi beberapa pemain yang beraksi di Ligue 1 untuk merekrut dan mewakili pemain di bawah agensi yang baru didaftarkan oleh ibunya.

Termasuk di dalam senarai tersebut adalah Hakimi, dan perbuatan tersebut nyata tidak disenangi oleh ejen pemain itu, Alejandro Camano yang menafikan pemain yang berada di bawah naungannya akan bertukar agensi.

Malah Camano turut mengkritik ibu Mbappe dan menyifatkan perbuatan Lamari itu sebagai tidak menghormati industri bola sepak.

“Kami sebenarnya amat terkejut kerana dia [Fayza Malari] adalah ibu kepada pemain penting dan dia bertindak sewenang-wenangnya masuk campur pasaran pemain,” kata Camano kepada L’Equippe.

“Achraf [Hakimi] adalah sebahagian daripada keluarga Footfeel [agensi milik Camano].

“Dia cuba diyakinkan oleh projek itu untuk bertahun lamanya kerana bersahabat baik dengan Kylian. Kami hormati hubungan itu.

“Tetapi kerana anda adalah seorang ibu kepada pemain, itu tidak cukup [untuk jadi ejen]. Pada saya ia jelas tidak menghormati profesion sebagai ejen.

“Fayza Lamari menjalankan bisnes yang hanya berkaitan dengan Kylian Mbappe. Kepentingan dia kepada pasaran pemain pula tidak wujud. Dia tidak mempunyai pengalaman, tidak tahu untuk melengkapkan perjanjian dan tidak tahu bagaimana untuk melebarkan diri di dalam pasaran.”

Kritikan terbuka oleh ejen Hakimi mungkin akan menghalang pemain itu bertukar agensi buat masa ini.
Tetapi Lamari dan Mbappe juga mempunyai pemain lain yang berada di dalam senarai untuk dibawa masuk menyertai agensi baru mereka.

Selain Hakimi, bintang Lyon, Rayan Cherki dijangka akan menjadi klien terawal agensi tersebut setelah kedua-dua pihak dikatakan mencapai kata sepakat beberapa minggu lalu.

Pada masa yang sama masa depan Mbappe sendiri kini belum jelas. Penyerang berusia 24 tahun itu memasuki 12 bulan terakhir kontrak dan enggan menandatangani kontrak lanjutan bersama PSG.

PSG pula dikatakan bersedia menjual pemain itu di jendela perpindahan musim panas ini sebelum kehilangan pemain bintang itu secara percuma pada pertengahan 2024.

BACA:  France 3-1 Poland: Kylian Mbappe Pamer Aksi Superstar