Emre Can Mahu Liverpool Tamatkan Musim Di Kedudukan Ke-2 Liga

Pemain tengah Liverpool, Emre Can mahu pasukannya menamatkan musim ini di tangga ke-2 dalam Liga Perdana Inggeris sambil mengakui sukar untuk mana-mana pasukan mengejar kedudukan Manchester City di persada liga.

Anak buah Jurgen Klopp berjaya menampilkan prestasi yang cemerlang pada tahun 2018 dan muncul satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan Manchester City, sekaligus meranapkan harapan Pep Guardiola untuk mengharungi musim tanpa kalah.

Posisi United idaman kami

Liverpool kini berada di kedudukan ke-3 liga, 15 mata di belakang The Citizens tetapi hanya dipisahkan 2 mata dengan penghuni tangga ke-2, Manchester United.

Persaingan untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim hadapan dilihat semakin sengit di antara Tottenham Hotspurs, Chelsea, Manchester United, Liverpool dan juga Arsenal.

Pemain tengah antarabangsa Jerman ini percaya kedudukan City amat payah untuk dikejar dan telah mengalihkan fokus untuk membantu Liverpool mendapatkan satu slot automatik ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

“Anda boleh lihat betapa sengitnya situasi sekarang di dalam liga, dan sudah tentu kami mahu menamatkan musim di kelompok 4 teratas. Kami mahu tempat ke-2 di belakang Manchester City.”

Perlawanan Liverpool-Newcasle sebelum ini berakhir dengan keputusan 1-1

“Saya rasa Manchester City agak sukar untuk dikejar mana-mana pasukan kerana mereka mempunyai mata yang terlalu banyak dan fokus kami kini hanya untuk mendapatkan kedudukan ke-2.”

Liverpool akan menjadi tuan rumah hujung minggu ini kepada pasukan kendalian bekas jurulatih mereka, Rafa Benitez yang kini mengendalikan Newcastle. Selepas Newcastle, The Reds sekali lagi akan menjadi pasukan tuan rumah kepada Porto dalam perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara Eropah.

Perlawanan pertama di Eropah dua minggu lepas berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Liverpool dengan keputusan 5-0. Trio hadapan Liverpool, Sadio Mane, Mohamed Salah, dan Roberto Firmino masing-masing mencatat nama selaku penjaring pada perlawana tersebut dengan Mane dinamakan pemain terbaik selepas menjaringkan hatrik.

Liverpool dilihat hampir pasti untuk layak ke pusingan suku akhir ditambah pula perlawanan timbal balik bakal berlangsung di gelanggang keramat mereka, Anfield.

Khidmat trio sensasi Liverpool akan terus ditagih dalam misi merampas tempat United

Can bagaimanapun sudah mengalihkan fokusnya kepada perlawanan penting Liga Perdana Inggeris menentang seteru utama, Manchester United pada hujung minggu depan. Beliau percaya pertembungan ini sangat penting dalam usaha mereka merampas kedudukan United dalam liga.

“Perlawanan menentang United sangat, sangat penting buat semua pemain dan saya percaya setiap pemain Liverpool sudah tidak sabar menunggu perlawanan tersebut.”

“Setiap perlawanan sekarang adalah seperti satu final. Kami perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Pada Sabtu ini, perlawanan menentang Newcastle akan menjadi satu tugas yang sukar.”

“Mereka mempunyai pasukan yang bagus dan ia tidak mudah buat kami. Kami harus fokus dan berlatih untuk menangani ancaman Newcastle. Kami akan memberikan segala-galanya dalam perlawanan itu nanti.”

BACA:  Premier League 2022/22: Watford 0-5 Liverpool