Everton Beli Lucas Digne Dari Barcelona Pada Harga £22 Juta

Everton masih bernafsu besar dalam jendela perpindahan musim panas ini apabila melengkapkan perpindahan Lucas Digne dari Barcelona dengan yuran perpindahan dianggarkan berjumlah £22 juta.

Digne yang pernah bermain untuk Lille, Paris Saint-Germain, dan AS Roma sebelum menyertai Barcelona telah menandatangani kontrak lumayan bersama Everton selama 5 tahun.

Digne bakal menjadi pembelian kedua Everton selepas Richarlison.

Digne bermain dengan Barcelona selama 2 musim tetapi sering memanaskan bangku simpanan kerana Jordi Alba merupakan pilihan utama di Nou Camp. Akhirnya, Digne mengambil keputusan untuk berhijrah ke Everton dan beliau bakal menjadi pilihan utama di hadapan bek kiri veteran, Leighton Baines.

Ketika bercakap kepada wartawan dalam sidang media pertamanya sebagai pemain Everton, pemain antarabangsa Perancis ini mendedahkan keterujaan beliau untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris selepas sekian lama menonton di kaca televisyen.

“Everton merupakan kelab besar yang mempunyai sejarah yang hebat. Saya mahu bermain seberapa banyak perlawanan yang boleh, memenangi perlawanan, dan menggembirakan hati peminat dengan mempamerkan bola sepak yang berkualiti.”

“Saya mahu menunjukkan bola sepak terbaik saya di kelab ini dan merasai sendiri pengalaman beraksi di liga terbaik dunia. Semua orang meminati Liga Perdana Inggeris. Saya sangat teruja kerana akhirnya dapat beraksi di sini.”

“Saya tidak takut, saya cuma berasa teruja. Bagi saya, ini merupakan cabaran baru buat saya untuk mengenali negara ini, liga, masyarakat, dan kelab hebat seperti Everton. Pengalaman ini sangat hebat.”

Kurang waktu permainan menjadi punca Digne angkat kaki tinggalkan Barcelona

Pengurus baru Everton, Marco Silva nyata gembira dengan ketibaan Digne di Goodison Park dan percaya pemain ini bakal memperkuatkan lagi skuad Everton.

“Digne merupakan pemain yang mana apabila kami hubungi beliau buat kali pertama, beliau telah menunjukkan keinginan yang kuat untuk bermain dengan Everton.”

“Beliau merupakan pemain yang berkualiti tinggi, aggresif, dan kebolehan teknikal yang baik. Sepanjang 5 musim lepas, beliau telah beraksi dengan Paris Saint-Germain, AS Roma dan juga Barcelona.”

“Digne merupakan pemain yang akan menambah laagi persaingan di posisi bek kiri yang mana musim lepas kami hanya mempuyai Leighton Baines. Digne juga sudah biasa dengan mentaliti juara kerana beliau telah memenangi banyak trofi sepanjang kariernya.”

Digne merupakan produk akademi Lille sebelum berpindah ke Paris Saint-Germain pada tahun 2013 dimana beliau berjaya memenangi dua kejuaraan Ligue 1 dan dua trofi Coupe de la Ligue.

Selepas menghabiskan musim 2015/2016 secara pinjaman bersama AS Roma, beliau menyertai Barcelona pada musim panas 2016. Beliau melakukan 12 penampilan dalam skuad Barcelona yang berjaya memenangi La Liga dengan mudah dan cemerlang musim lepas.

Digne merupakan pemain stand-by untuk Perancis di Piala Dunia 2018. Beliau menjadi pembelian kedua Evertonn selepas Richarlison, yang dibeli pada harga £40 juta dari Watford 2 minggu yang lalu.

BACA:  Bintang Muda Barca, Gavi Mencuri Tumpuan Peminat Ketika Beraksi Bertemu Girona