Farizal Marlias Lega Mimpi Ngeri Penggantungan AFC Sudah Berakhir

Pertembungan di antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Persija Jakarta dalam saingan Piala AFC Rabu lalu bukan sahaja menjadi titik permulaan buat JDT memenangi kembali Piala AFC, tetapi juga merupakan detik permulaan buat seorang pemain.

Pemain tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah penjaga gol JDT, Farizal Marlias. Farizal digantung AFC selama setahun selepas menolak pengadil dalam satu perlawanan Piala AFC menentang Ceres-Negros FC, tetapi hukuman tersebut dikurangkan apabila Farizal mengemukakan rayuan.

Farizal yang lega

Penggantungan Farizal berakhir pada 10 Februari lalu, dan Farizal akhirnya dipilih oleh jurulatih JDT, Ulisses Morais dalam kesebelasan utama bagi perlawanan menentang Persija Jakarta minggu lalu.

Ia merupakan kepulangan yang diimpikan oleh Farizal apabila JDT mudah menjinakkan pasukan dari Indonesia itu dengan jaringan 3-0. Farizal pula tidak terlalu diuji Persija Jakarta yang agak tumpul di jentera serangan walaupun dibarisi bekas penyerang Selangor, Bambang Pamungkas.

“Selepas lama tidak bermain, saya berasa agak gementar. Tetapi sokongan berterusan dari rakan sepasukan menyebabkan saya mampu bermain dengan baik. Saya hanya beraksi seperti biasa, dan mengikuti segala arahan daripada jurulatih sebelum turun ke padang.”

Detik hitam dalam karier Farizal

“Syukurlah, segalanya berlangsung dengan baik dan kami berjaya menewaskan pasukan dari Indonesia itu dengan jaringan 3-0. Penggantungan tersebut merupakan titik hitam dalam karier saya tetapi ia telah berlaku dan saya telah melupakan perkara tersebut.”

“Sasaran saya sekarang adalah untuk memberi komitmen sepenuhnya kepada JDT dalam saingan liga dan Piala AFC.”

Ketiadaan Farizal membolehkan seorang lagi penjaga gol JDT, Izham Tarmizi mengukuhkan statusnya selaku penjaga gol utama JDT. Tambahan pula, penjaga gol Malaysia Bawah 23-Tahun, Haziq Nadzli menunjukkan peningkatan yang baik kebelakangan ini dan menyulitkan lagi situasi Farizal untuk kembali menjadi penjaga gol No.1 JDT.

Persaingan secara sihat bagi merebut jersi no.1 JDT bersama Izham dan Haziq

Farizal yang lega dapat kembali beraksi jelas tidak gusar dengan situasi tersebut, dan hanya mahu memberikan yang terbaik dalam sesi latihan bagi menambat hati jurulatih.

“Jurulatih bertanggungjawab memilih pemain yang akan diturunkan bermain tetapi jika saya diberikan peluang, sudah tentu saya akan memberikan yang terbaik. Saya mempunyai hubungan yang bagus dengan Izham dan Haziq, kerana kami sering bekerjasama ketika menjalani sesi latihan.”

BACA:  Safiq Percaya JDT Mampu Tumpaskan Muangthong United Kali Ini