Gary Neville Anggap Bintang Muda Arsenal Lebih Klinikal Berbanding Ronaldo

Gary Neville percaya yang bintang muda Arsenal, Emile Smith Rowe sebenarnya mempunyai penyudah yang lebih mantap berbanding Cristiano Ronaldo ketika seusia dengannya.

Beliau menegaskan yang Smith Rowe di usia 21 tahun, dilihat lebih klinikal berbanding Cristiano Ronaldo sendiri ketika masih berusia 21 tahun.

Emile Smith Rowe berjaya mengukuhkan dirinya sebagai pemain terpenting dalam sistem kendalian Mikel Arteta di Emirates, dengan beliau pada musim panas lalu diberi penghormatan untuk menyarung jersi nombor 10 Arsenal.

Pada musim 2021/22 ini, Smith Rowe sepertinya telah berjaya membuktikan yang beliau sebenarnya prospek masa hadapan terbaik yang dimiliki oleh Gunners pada ketika ini.

Arsenal tidak dinafikan telah memulakan kempen saingan musim ini dengan sangat teruk selepas mereka mencatatkan tiga kekalahan secara berturut-turut dari tiga perlawanan awal liga.

Smith Rowe kemudiannya menjadi pemain Arsenal yang paling menonjol setakat ini, apa lagi selepas kejayaan beliau meledak gol bertemu Aston Villa dan Tottenham Hotspur.

Neville mendedahkan kepada Sky Sports bahawa pemain midfield itu sebenarnya sudah membuktikan yang beliau mempunyai kualiti penyudah yang cukup mengagumkan di usia muda lagi.

“Cristiano Ronaldo merupakan individu pertama yang pernah saya dengar mengatakan bahawa beliau tanpa ragu-ragu mahu menjadi pemain terhebat dalam dunia bola sepak.”

Jelas Neville.

“Ia agak janggal untuk mendengar seorang pemain bercakap tentang itu kerana semua orang sibuk bercakap tentang pasukan dan kejayaan. Dapat dengar Mo Salah katakan seperti itu, ia seolah mengimbau kenangan.”

“Saya fikir kamu boleh katakan hal seperti ini ketika kamu sedang berprestasi cemerlang, dan kedua-dua mereka kini sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka secara konsisten.”

“Ronaldo kini untuk 10, 15 tahun dan Mo Salah untuk tempoh lima, enam dan seterusnya. Mereka jelas sekali sangat menakjubkan. Mereka sangat rakus dan klinikal.”

“Smith Rowe juga berpotensi, dengan dia seorang pemain bola sepak yang hebat, dan dia mempunyai perjalanan karier yang masih panjang. Cristiano Ronaldo sendiri tidak klinikal dan serakus dia ketika seusia dia.”

“Tapi di situ lah di mana dia harus pergi. Titik permulaan di mana dari setiap perlawanan, mereka mahu menjadi yang terbaik. Mereka mahu menjaringkan gol kemenangan. Mereka percaya yang mereka mampu untuk menjaringkan gol kemenangan. Keyakinan yang sungguh menakjubkan.”

Arsenal berjaya menewaskan Aston Villa 3-1 pada hujung minggu lalu hasil jaringan dari Thomas Partey, Pierre-Emerick Aubameyang dan Emile Smith Rowe.

Arteta turut memberikan pujian menggunung kepada produk akademi kelab itu dan turut mengagumi perubahan cara hidup yang ditunjukkan oleh pemain muda itu sejak beberapa bulan terakhir ini.

“Ketika kamu mahu membawa sesebuah perlawanan itu ke tahap lebih tinggi, ketika kamu mahu menjadi pemain terpenting dalam sebuah kelab yang besar, ia (perubahan) sepatutnya menjadi satu-satunya keutamaan.”

“Kami perlu memastikan dia sedar tentang hal itu, kami tak boleh beri jangkaan untuk membawa perubahan yang besar, kami perlu ubah cara kehidupan dia dulu.”

“Pujian untuk dia dan jelas sekali kepada semua staff di sini yang sepanjang masa memantau dan membina asas itu dengan dia dan dia nampak berubah.”

“Dia perlu terapkan itu dalam permainan dia kerana dia berkemampuan untuk melakukannya. Saya berbangga dapat mengembangkan karier dia. Dia masih perlu memperbaiki beberapa perkara yang lain tentang diri dia.”

“Malam sebelum itu, dia tidak 100% cergas tapi dia tampil dan dia mahu bermain dengan diri dia sebenarnya masih dibelenggu kecederaan.”

“Dia tidak pernah mengeluh, dia hanya mahu lihat ke depan, dia sangat bersemangat, dia ubah cara kehidupan dia sikit demi sikit dan dia sedang berada di tahap terbaiknya.”

Arsenal telah menunjukkan peningkatan yang mendadak sejak dari kekalahan tiga perlawanan berturut-turut pada awal musim lalu, dengan mereka dari kedudukan ke-20 dalam carta liga, kini melonjak ke kedudukan ke-10.

Mereka juga berjaya mengumpul 14 mata pada ketika ini, yang mana ia merupakan jumlah pungutan mata yang sama seperti Manchester United yang berada di kedudukan ketujuh dalam carta liga.

Arsenal pada musim ini menyasarkan untuk setidak-tidaknya mengakhiri saingan liga di kedudukan enam terbaik, dalam usaha mereka untuk mara ke saingan Europa League.

Mereka jelas sekali sedang berada di landasan yang tepat untuk menuju ke arah itu, dan para peminat juga sepertinya sudah kembali memberi kepercayaan mereka kepada Mikel Arteta.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Neville: Manchester United Terpaksa Bayar Gaji Mahal Kerana Mereka Tidak Kuat Macam Dulu