Gaya Keraian “Volley Botol Coca-cola” Kane Mencuri Perhatian Peminat

Harry Kane menghasilkan gaya keraian paling gempak sepanjang kariernya dalam saingan Premier League, ketika kejayaan beliau menjaringkan gol bertemu Brighton awal pagi tadi.

Beliau berjaya menjaringkan gol kedua Spurs dalam perlawanan yang memperlihatkan skuad kendalian Antonio Conte itu mencatatkan kemenangan 2-0 menewaskan anak-anak buah Graham Potter.

Kane menjaringkan gol pada minit ke-57 permainan menerusi gol yang sungguh cantik dan luar biasa menakjubkan untuk menewaskan Robert Sanchez.

​Namun gol itu semakin manis dan dasyat ketika beliau berjaya melakukan volley ke atas botol Coca-cola yang dilempar oleh para peminat ketika mahu meraikan jaringannya itu.

Pemain penyerang kebangsaan England itu sebaik menjaringkan gol beliau terus ke tepi padang sambil matanya memerhati botol Coca-cola yang sedang melambung di udara.

Sebaik botol Coca-cola itu jatuh, Kane dengan segera melepaskan volley dan ia tepat mengenai botol Coca-cola tersebut.

Hal itu menjadikan keraian Kane semakin menarik untuk disaksikan dengan para peminat menganggap ia keraian terhebat Harry Kane sepanjang kariernya dalam saingan Premier League.

Kerana itu jugalah gaya keraian beliau itu tular di media sosial dengan para peminat benar-benar tertarik melihat volley padu beliau ke atas botol Coca-cola itu.

“Bukan hanya handal merembat bola, tapi Kane juga cemerlang menyasarkan botol Coca-cola dengan volley yang sempurna.”

“Cara dia melihat botol itu kita sudah tahu yang dia tentu akan lakukan sesuatu dan tak sangka botol tu jatuh tepat di kaki dia. Volley yang cantik.”

“Saya rasa dari semua gaya keraian Kane, keraian ini paling menarik, betul tepat pada masa dia dari gerakan dia sampailah hayunan dia.”

“Bukan selalu kita nak tengok gaya keraian macam ni, semua ni jadi tak dirancang tapi menghasilkan sesuatu yang sungguh menakjubkan.”

“Peminat yang baling botol tu pun berhak dipuji, dia lambungkan botol cantik dan jatuh tepat ketika Kane sedang hayunkan kaki.”

Harry Kane kini sudah berjaya menjaringkan 12 gol dalam saingan Premier League, dengan beliau berjaya menjaringkan tujuh gol dari 6 perlawanan terakhirnya.

Gol beliau ketika bertemu Brighton menjadikan Kane sebagai penjaring gol away terbanyak dalam saingan Premier League dengan menjaringkan 95 gol.

Antonio Conte turut memuji anak-anak buahnya dan menganggap mereka berhak untuk memenangi sesuatu ketika kariernya bersama Tottenham Hotspur.

Spurs pada ketika ini akan berusaha sehabis daya mereka untuk mengakhiri saingan musim ini dikelompok empat teratas.

“Saya sangat gembira untuk dia kerana setiap perlawanan dia ada banyak kesempatan untuk menjaringkan gol.”

Jelas Conte.

“Pada permulaan musim ini dia sedikit bergelut dan gagal untuk menjaringkan gol, dan sekarang dia sudah sedar yang dengan skuad ini dia ada peluang untuk jaringkan gol dalam setiap perlawanan.”

“Untuk miliki penyerang seperti dia menjadikan kami semakin kuat, namun pada masa sama, perasaan dia sekarang semakin positif kerana dia tahu dia akan ada kesempatan. Saya rasa dia berhak menang sesuatu sepanjang kariernya kerana kita sedang bercakap tentang seorang pemain yang menakjubkan.”

Tottenham Hotspur kini berada di kedudukan ketujuh dalam carta saingan liga, dengan mereka kini sudah berjaya mengumpul 48 mata dari 28 perlawanan.

Skuad kendalian Antonio Conte itu kini hanya tiga mata sahaja dibelakang Arsenal yang kini sedang berada di kedudukan keempat dalam carta saingan Premier League.

Tottenham Hotspur perlu menang baki semua perlawanan musim ini dalam usaha mereka untuk layak ke saingan Champions League, atau setidak-tidaknya beraksi dalam saingan Europa League pada musim hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Premier League 2020/21: Tottenham Hotspur 1-3 Manchester United