Giggs Beri Amaran Kepada Rashford & Martial Supaya Tingkatkan Permainan Jika Mahu Bermain Lebih Kerap

Legenda Manchester United, Ryan Giggs menggesa Anthony Martial dan Marcus Rashford supaya mempertingkatkan permainan mereka dan menjadi pemain utama pasukan bagi saingan musim hadapan.

Giggs percaya dua pemain ini berupaya membentuk gandingan serangan yang hebat untuk Red Devils sekiranya mereka mampu menaikkan tahap permainan bagi membantu pasukan mencabar lebih banyak trofi pada masa hadapan.

Giggs gesa Rashford dan Martial tingkatkan permainan bagi rebut tempat dalam kesebelasan utama musim hadapan

Martial dan Rashford dilihat gagal memikat hati Jose Mourinho untuk berada dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap dan mereka berdua hanya mampu mengumpul 16 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Sebelum ini, Mourinho pernah menyuarakan ketidakpuasan hati beliau terhadap persembahan Martial dan Rashford ketika United tewas di tangan Brighton & Hove Albion.

Melihatkan suasana sukar yang dihadapi Martial di bawah Mourinho, pemain muda berasal dari Perancis ini telah dikaitkan dengan perpindahan musim panas ke Itali untuk menyertai Juventus.

Kekurangan minit permainan Martial musim ini juga telah mengakibatkan beliau dipinggirkan dari mengganggotai skuad 23 pemain Perancis yang bakal berangkat ke Russia untuk menghadapi Piala Dunia musim panas nanti.

Giggs percaya gandingan Rashford dan Martial mampu mempamerkan bolasepak yang menghiburkan buat United

Giggs yang pernah melatih Rashford dan Martial ketika bergelar pembantu kepada Louis Van Gaal percaya prestasi mereka merana kerana terpaksa bersaing dengan Alexis Sanchez dan Romelu Lukaku untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Sebagai seorang peminat Manchester United, saya mahu melihat bolasepak yang menghiburkan dan Anthony Martial dan Marcus Rashford adalah pemain yang menghiburkan.”

“Mereka berdua agak merana musim ini kerana kehadiran Romelu Lukaku yang beraksi di bahagian penyerang utama ditambah pula dengan Alexis Sanchez.”

“Ketika United mendapatkan Sanchez, saya ada berkata United memerlukan lebih banyak kualiti bagi meningkatkan persaingan dalam pasukan, supaya pemain seperti Martial dan Rashford dapat meningkatkan permainan mereka.”

United menamatkan musim 2017/2018 dengan menduduki tangga ke-2 Liga Perdana Inggeris, tetapi jauh ditinggalkan juara liga, Manchester City dengan perbezaan 19 mata. Bekas pemain antarabangsa Wales itu percaya Red Devils memerlukan satu atau dua pemain berkualiti tinggi bagi merapatkan jurang dengan pasukan jiran mereka tersebut.

Posisi bek kanan dan kiri memerlukan muka baru walaupun Valencia dan Young bermain baik musim ini

“Secara keseluruhannya, United memiliki skuad yang baik. Pada pendapat saya, United perlu mendapatkan dua pemain bertaraf dunia yang mampu membuat perbezaan dalam skuad sedia ada bagi merapatkan jurang dengan Manchester City.”

“United mempunyai beberapa pemain serangan yang mampu menjaringkan gol disamping 6 atau 7 pemain yang mampu mengisi posisi pertahanan tengah. Antonio Valencia dan Ashley Young telah bermain dengan baik, tetapi adakah mereka mampu bermain 50 perlawanan sekali lagi musim hadapan? Bagi saya, posisi Young dan Valencia memerlukan penambaikan.”

BACA:  Ronaldo Beri Ucapan Motivasi Kepada Pemain United Sebelum Mereka Bedal Newcastle