Gol Sulung Messi, Bantu PSG Benam City Di Parc des Princes

Lionel Messi akhirnya berjaya membuka akaun gol beliau bersama Paris Saint Germain dengan beliau menjaringkan gol kedua untuk PSG ketika beraksi bertemu Manchester City awal pagi tadi.

Paris Saint Germain melayan kunjungan Manchester City ke Parc des Princes untuk aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan A dalam saingan Champions League.

Perlawanan ini tidak dinafikan sememangnya antara perlawanan yang dinanti-nantikan oleh para peminat, memandangkan kedua-dua pasukan dianggap sebagai pilihan utama kejohanan.

Paris Saint Germain pada musim ini sememangnya menyasarkan untuk memenangi gelaran Champions League pertama mereka, selepas melalui jendela perpindahan musim panas yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Gergasi Ligue 1 itu telah menandatangani Lionel Messi, Sergio Ramos, Achraf Hakimi, Gianluigi Donnarumma dan Gini Wijnaldum pada jendela perpindahan musim panas lalu, dalam usaha mereka untuk memiliki skuad terbaik dan tentunya mahu mengejar Piala idaman kelab itu.

Bintang berusia 34 tahun itu menyertai PSG selepas kontraknya bersama Barcelona tidak boleh diperbaharui lagi dan beliau sebelum ini terpaksa diketepikan bergelut dengan masalah kecergasan.

Selepas membuat empat penampilan untuk Paris Saint Germain, Lionel Messi akhirnya berjaya membuka akaun gol beliau, dan lebih manis lagi gol tersebut dijaringkan dalam saingan Champions League.

Ketika aksi bertemu Metz dan Montpelier sebelum ini, Messi sekadar duduk di tepi padang kerana beliau dibelenggu masalah kecergasan dan kecederaan.

Sekembalinya beliau ke padang latihan, Messi berjaya mendapatkan semula tahap persembahan terbaiknya, dan beliau turut diturunkan dalam kesebelasan utama PSG bertemu City.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu diturunkan dalam kesebelasan utama dengan digandingkan bersama Neymar dan Kylian Mbappe.

PSG berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-8 permainan, menerusi Idrissa Gueye, seterusnya meletakkan skuad kendalian Mauricio Pochettino itu satu gol dihadapan.

Walau City lebih mendominasi aksi babak pertama, namun mereka gagal untuk menghasilkan sebarang gol, dan ia jelas kerana jentera serangan City agak tumpul dalam perlawanan ini.

Bernardo Silva hampir saja untuk menjaringkan gol penyamaan, namun beliau telah melakukan kesilapan dungu dengan mensia-siakan peluang keemasan tersebut.

Aksi babak kedua permainan, kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan dan ia merupakan perlawanan yang benar-benar berbaloi untuk ditonton.

Pada minit ke-74 permainan, Lionel Messi akhirnya berjaya juga untuk membuka akaun golnya bersama kelab, seterusnya membantu PSG menewaskan City 2-0.

Para peminat mungkin sudah boleh menarik nafas lega selepas mereka sebelum ini menyatakan kebimbangan masing-masing kerana masih belum melihat Messi menjaringkan gol.

Selepas berjaya membuka akaun gol, Messi dijangka bakal terus menjaringkan lebih banyak gol selepas ini, dengan beliau dilihat sudah berada di tahap persembahan terbaiknya pada kstika ini.

Sumber: GMS

BACA:  Kakak Ronaldo Setuju Pencapaian CR7 Lebih Ori Dan Ballon d'Or Dimenangi Messi Adalah Pemberian