Guardiola: 5 Pasukan Bersaing Rebut Kejuaraan Liga Perdana Inggeris

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya lima pasukan mempunyai peluang sama rata untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Manchester City kini berada di persada Liga Perdana Inggeris dengan mengumpul 23 mata selepas mengharungi 9 perlawanan, manakala tempat kedua diisi Liverpool yang turut mengumpul jumlah mata yang sama.

City dan Liverpool hanya dipisahkan dengan perbezaan gol sahaja

Chelsea, Arsenal dan Tottenham Hotspurs masing-masing memungut 21 mata dan persaingan liga musim ini berpotensi berlangsung lebih sengit berbanding musim lalu.

Dengan dua mata memisahkan penghuni tempat ke-5 dan Manchester City, Guardiola percaya kesemua lima pasukan tersebut merupakan calon untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

“Saya tidak ragu-ragu mengenai perkara tersebut [5 calon untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris]. Hanya dua mata yang menjadi pemisah antara kami dengan pasukan yang berada di tempat ke-3, 4, dan 5. Ini bermakna mereka adalah pasukan yang kuat.”

Spurs calon juara menurut Guardiola.

The Citizens bakal berkunjung ke Wembley hujung minggu ini untuk berhadapan dengan salah satu calon juara, Tottenham dan Guardiola percaya hanya kemenangan yang mampu memastikan pasukannya terus berada di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris.

City berjaya menjinakkan Spurs dalam kesemua perlawanan liga musim lepas. Mereka membelasah Spurs 4-1 di tempat sendiri sebelum mencatatkan satu lagi kemenangan selesa 3-1 di Wembley pada penghujung musim lalu.

Pencapaian itu jauh berbeza dengan keputusan yang dicatat Guardiola dalam musim pertamanya sebagai pengurus Manchester City dimana Spurs bertanggungjawab memberikan kekalahan pertamanya sejak memegang jawatan tersebut. Spurs menang 2-0 ke atas City dalam perlawanan yang berlangsung di White Hart Lane dan hanya mampu seri 2-2 ketika bermain di tempat sendiri selepas itu.

Adakah Setan Merah juga tergolong dalam 5 pasukan yang dimaksudkan Guardiola ?

Dalam sidang media menjelang pertemuan penting itu, Guardiola hanya mampu memberi kata pujian kepada rakan sejawatnya di Tottenham, Mauricio Pochettino.

“Sepanjang 5 atau 6 musim terakhir, Spurs sentiasa bersaing untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris.”

“Sudah tentu mereka tidak mampu untuk berbelanja besar membeli pemain kerana mereka sedang membina stadium yang hebat. Ada pihak berkata mereka tidak mempunyai duit untuk dibelanjakan tetapi Spurs masih lagi pasukan yang kuat.”

“Saya dah cakap perkara ini sejak tahun pertama saya berada di sini lagi. Ia merupakan kekalahan pertama saya di England dan pada masa yang sama, saya sedar betapa kuatnya skuad yang Spurs miliki.”

“Musim lepas kami bermain sangat baik dalam kedua-dua perlawanan menentang Spurs tetapi pasukan tersebut terus berkembang menjadi lebih baik kerana mereka memiliki pengurus dan pemain yang hebat.”

Kevin De Bruyne sudah sembuh dan mungkin diturunkan bermain menentang Spurs

“Spurs merupakan salah satu pasukan yang saya suka tonton. Saya banyak belajar ketika menonton perlawanan mereka. Mereka mempunyai ramai pemain antarabangsa.”

“Spurs merupakan tulang belakang kepada pasukan kebangsaan England. Mereka mempunyai skuad yang masih muda dan mempunyai keeper dan penyerang yang bagus. Mereka mempunyai segala-galanya untuk berjaya.”

BACA:  Champion League 2020/21 Final: Manchester City 0-1 Chelsea