Guardiola Akui Beliau Mungkin Silap Kerana Meminggirkan Joe Hart

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui beliau mungkin telah membuat kesilapan apabila melepaskan Joe Hart dalam musim pertamanya di Etihad Stadium.

Sebaik sahaja di England, antara perkara pertama yang dilakukan Guardiola adalah membawa masuk Claudio Bravo dari Barcelona untuk menjadi penjaga gol utama The Citizens.

Ketibaan Guardiola menyebabkan Hart kehilangan tempat dalam kesebelasan utama

Ketibaan Bravo menyebabkan khidmat Hart tidak diperlukan lagi Manchester City dan memaksa penjaga gol England itu berpindah ke Itali untuk bermain dengan Torino secara pinjaman.

Bravo sebenarnya dibawa masuk kerana dianggap penjaga gol yang sesuai dengan sistem yang ingin diterapkan Guardiola yang mana memerlukan penjaga gol yang selesa apabila bola berada di kaki.

Namun begitu, rancangan Guardiola tidak berjalan seperti yang diharapkan. Bravo bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaiknya di Etihad sehingga memaksa Guardiola menggunakan khidmat penjaga gol ke-2 City iaitu Willy Caballero pada suatu ketika.

Karier Hart terus merudum selepas itu. Walaupun bermain dengan kerap bersama Torino, beliau melakukan beberapa kesilapan berprofil tinggi dan Torino enggan menyambung khidmatnya untuk musim yang berikutnya.

Hart membawa diri ke Torino dan West Ham sebelum berpindah secara tetap ke Burnley musim panas lalu.

Selepas Torino, Hart menyertai West Ham secara pinjaman dan perkara sama berlaku, Hart sekarang bukan seperti ‘Hart’ yang peminat kenali ketika bermain untuk Manchester City suatu ketika dahulu.

Akhirnya, Hart berpindah secara tetap ke Burnley pada jendela perpindahan musim panas lalu dan kariernya dilihat mula kembali ke landasan yang asal.

Menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester City dan Burnley, Guardiola mengakui beliau mungkin telah membuat kesilapan dengan meminggirkan Hart selepas melihat City bergelut untuk mencari penjaga gol yang berwibawa sebelum ketibaan Ederson.

“Saya tahu peminat Manchester City menghadapi situasi yang sukar dengan keputusan tersebut. Hart merupakan penjaga gol yang menakjubkan dan berjaya membantu kelab ini memenangi banyak trofi.”

“Sebab itulah ia merupakan keputusan yang sukar buat saya ketika itu. Keputusan saya bukan selalunya betul. Sepanjang karier pengurusan, saya ada membuat keputusan yang baik dan juga tidak baik. Tetapi anda masih perlu membuat keputusan pada waktu dan masa yang tepat.”

Padang latihan di akademi Manchester City akan dinamakan sempena Joe Hart sebagai menghargai jasa penjaga gol England tersebut. 

“Kadang kala, saya membuat keputusan dan tidak lama selepas itu saya menyesal. Perkara macam ni akan berlaku dalam bola sepak.”

Walaupun telah meninggalkan Manchester City, Hart masih lagi individu yang popular di kalangan peminat The Citizens dan bakal menerima pengiktirafan daripada kelab lamanya dimana padang latihan di akademi kelab tersebut bakal dinamakan sempena nama Joe Hart.

“Tidak diragui lagi, Joe Hart merupakan pemain yang penting buat Manchester City sehingga hari ini. Malam ni anda akan dapat melihat sendiri sambutan dan penghargaan peminat Manchester City atas sumbangan beliau pada kelab ini.”

BACA:  Koke Bangga Dengan Persembahan Atletico Dan Menafikan Segala Kritikan Terhadap Mereka