Guardiola: Kejuaraan Liga Lebih Bermakna Daripada Liga Juara-Juara Eropah

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mendakwa memenangi Liga Perdana Inggeris lebih bermakna bagi beliau berbanding kejayaan merangkul Liga Juara-Juara selepas melihat pasukannya menewaskan Tottenham Hotspurs awal pagi tadi.

Dalam pertembungan yang berlangsung di Wembely itu, City berjaya bangkit dari 3 kekalahan berturut-turut untuk mencatatkan kemenangan 3-1, hasil gol daripada Gabriel Jesus, Ilkay Gundongan dan Raheem Sterling.

Kepada haters, aku dah pernah rasa Liga Juara-Juara dua kali

Kemenangan ini bermakna mereka semakin hampir untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris untuk kali ke-3 sejak tahun 2011.

Sebelum ini, The Citizens dikecewakan oleh Liverpool dalam peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dengan aggregat 5-1, sekaligus menyekat hasrat Pep Guardiola untuk melakukan treble.

Manchester City berpeluang menjualang trofi Liga Perdana Inggeris pada hari ini sekiranya seteru utama, Manchester United gagal mengutip mata penuh di gelanggang sendiri ketika bertemu pasukan tangga tercorot, West Bromwich Albion.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Guardiola memuji persembahan pasukannya sepanjang musim berkata memenangi Liga Perdana Inggeris lebih bermakna bagi dirinya daripada Liga Juara-Juara.

Tiada gol dari Harry Kane dalam perlawanan awal pagi tadi

“Jika anda memiliki 87 mata dengan baki 5 perlawanan, ia adalah kerana kami telah melakukan kerja dengan sangat baik, walaupun masih ada pihak yang mendakwa kami telah gagal selepas apa yang berlaku minggu lepas.”

“Golongan ini tidak faham apa itu bolasepak. Anda mampu memenangi Liga Juara-Juara jika anda memenangi 7 perlawanan. Tetapi Liga Perdana Inggeris pula berlangsung selama 10 bulan.”

“Apa yang telah dilakukan pemain saya sepanjang musim adalah lebih penting dan bermakna.”

Guardiola turut sempat memberikan pujian kepada calon Pemain Muda Terbaik PFA musim 2017/2018, Raheem Sterling yang berjaya menyumbang satu gol ketika menentang Spurs awal pagi tadi.

Sterling merupakan pemain yang dikritik hebat minggu lepas kerana terlepas beberapa peluang keemasan ketika menentang Manchester United di tempat sendiri. Beliau juga terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol sebelum gol beliau pada minit ke-72 ketika menentang Spurs.

“Apabila Sterling berjaya meningkatkan jumlah jaringan pada masa hadapan, beliau akan menjadi antara pemain terbaik dunia kerana beliau memiliki segalanya. Sterling masih muda dan beliau akan melakukannya.”

Kecik pendek ni bakal menjadi Lionel Messi yang baru

Apabila ditanya adakah beliau akan menonton perlawanan Manchester United menentang West Brom malam ini, Guardiola berkata beliau lebih sanggup bermain golf dari menonton perlawanan tersebut.

“Hanya ada keputusan yang saya mahu dengar iaitu bogey atau birdie. Saya rasa United akan menang. Kami hanya bergantung kepada keputusan kami sendiri.”

“Apa yang lebih penting adalah kami berpeluang memenangi Liga Perdana Inggeris di hadapan penyokong sendiri. Saya gembira kerana kami berpeluang melakukannya di depan peminat sendiri.”

BACA:  Manchester City Tawarkan Raheem Sterling Kepada Chelsea