Guardiola: ‘Quadruple’ Tidak Akan Berlaku Musim Ini

Pengurus Manchester City menolak sebarang ramalan yang mengatakan pasukannya bakal memenangi kesemua 4 pertandingan yang disertai mereka musim ini atau lebih dikenali sebagai ‘Quadruple’.

Ini ekoran pasukannya terpaksa berhempas pulas untuk meloloskan diri ke pusingan separuh akhir Piala Carabao selepas menewaskan Leicester City 4-3 melalui sepakan penalti. Perlawanan tersebut terpaksa dibawa  ke waktu tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1.

City tidak mampu raih quadruple

Selepas melihat pasukannya dipaksa bekerja keras oleh Leicester City, Guardiola mengakui Manchester City tidak akan dapat meraih ‘quadruple’ musim ini. Dalam perlawanan tersebut, Bernardo Silva terlebih dahulu menjaringkan gol pendahuluan buat City.

Ketika perlawanan memasuki waktu kecederaan, Leicester dianugerahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Jamie Vardy. Kyle Walker dituduh menjatuhkan Demarai Gray dalam kotak penalti walaupun ulang tayang menunjukkan Gray menerima sentuhan minimal dan cuba memperdayakan pengadil untuk mendapatkan penalti.

Dalam penentuan sepakan penalti, Vardy melihat sepakan penaltinya hanya mengenai palang dan sepakan penalti yang diambil oleh Riyad Mahrez diselamatkan oleh penjaga gol Manchester City, Claudio Bravo. Guardiola memberitahu Skysports selepas tamat perlawanan, yang Leicester bernasib baik dapat membawa perlawanan ke masa tambahan kerana penalti yang tidak sepatutnya diberikan.

“Ulang tayang televisyen tidak akan menipu. Kita boleh lihat sama ada insiden tersebut wajar diberikan penalti atau tidak dan kami berjaya mengatasi situasi sukar tersebut. Perkara sebegini kadang kala berlaku dalam bolasepak”

Reaksi Vardy selepas penaltinya gagal menemui jaring

Guardiola turut ditanya mengenai peluang pasukannya memenanangi keempat-empat pertandingan yang disertai mereka musim ini, dan ini respon beliau.

“Lupakan sahaja. Itu tidak akan berlaku. Jadi tidak.”

Pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan berkata pasukannya bernasib malang kerana Leicester City dianugerahkan sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan. Beliau turut memuji semangat juang yang ditunjukkan barisan simpanan Manchester City dan juga beberapa pemain muda.

“Perlawanan yang sukar menentang Leicester. Kami terpaksa bermain 8 minit masa tambahan dan pihak lawan dianugerahkan penalti yang agak kontroversi. Untuk kebanyakan pasukan lain, situasi ini mungkin sukar untuk dihadapi. Tetapi kami bukan pasukan biasa-biasa !”

BACA:  Guardiola: Tahniah Liverpool, Anda Berhak Berada Di Kedudukan Teratas