Gundogan Dibenarkan Tamatkan Kontrak Dengan Barcelona Jika Gagal Didaftarkan

Ilkay Gundogan dibenarkan menamatkan kontrak bersama Barcelona sekiranya kelab Catalan itu gagal mendaftarkan nama beliau sebagai pemain baharu untuk musim baharu La Liga yang akan datang.

Gundogan menyertai Barcelona secara percuma daripada Manchester City pada jendela perpindahan musim panas ini, dan menyertai kelab Catalan itu dengan kontrak selama dua tahun.

Kontrak tersebut turut mengandungi klausa khas membenarkan pemain tersebut membatalkan kontrak sedia ada sekiranya Barcelona gagal mendaftarkan dirinya sehingga sepak mula La Liga pada hujung minggu ini.

Barcelona dijadualkan bertemu Getafe pada hari pembukaan La Liga musim 2023/24.

Sekatan pendaftaran pemain berkaitan masalah kewangan yang dihadapi kelab itu menyebabkan Barcelona sehingga kini gagal mendaftarkan kesemua pemain baharu mereka.

Selain Gundogan, dua lagi pemain yang didatangkan pada musim panas baru-baru ini adalah Oriol Romeu dan Inigo Martinez.

Barcelona turut mendapatkan kembali pemain yang dipinjamkan sebelum ini, Ez Abde dan Fermin Lopez yang turut perlu didaftarkan untuk beraksi di musim 2023/24.

Pada masa ini Xavi hanya memiliki 13 pemain yang sudah didaftarkan termasuk Ousmane Dembele dan Franck Kessie yang sah akan meninggalkan kelab Catalan itu.

Hasil penjualan Dembele dan Kessie, masing-masing kepada Paris Saint-Germain dan Al Ahli dijangka mampu mengaut dana sekitar โ‚ฌ65 juta.

Kelab itu turut akan memperolehi dana daripada penjualan 16% pemilikan dalam Barca Studios, yang turut akan membantu menyuntik kewangan kelab.

Dana terkumpul itu diharap dapat membantu Barca mendaftarkan Gundogan dan pemain lain dalam masa terdekat.

Walaupun berhadapan situasi sukar dan berhadapan risiko terpaksa meninggalkan Barcelona sekiranya gagal didaftarkan, Gundogan dan pemain lain setakat ini dilaporkan menunjukkan sikap profesional dengan memberi komitmen sepenuhnya di dalam latihan.

Masalah kewangan sehingga menyukarkan Barcelona mendaftarkan pemain baharu turut tidak menyekat usaha kelab itu untuk mendatangkan Bernardo Silva dan Joao Cancelo daripada Man City.

Gundogan dan pemain lain yang belum didaftarkan boleh didaftarkan pada bila-bila masa sahaja sebelum sepak mula musim baharu, termasuk pada hari perlawanan menentang Getafe. Barcelona sehingga kini masih menaruh keyakinan pendaftaran pemain boleh diselesaikan sebelum tarikh tersebut.

BACA:ย  Depay Sudah Bernafsu Dan Tak Sabar Nak Balas Dendam Ke Atas Bayern