Bintang sensasi Tottenham Hotspurs, Harry Kane berkata adalah terlalu awal untuk dirinya dibandingkan dengan pemain ternama seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo buat masa sekarang.
Penyerang antarabangsa England ini telah menjaringkan gol melebihi jumlah gol yang dicatatkan Messi dan Ronaldo pada tahun 2017.
Walaubagaimanapun, Kane sedar beliau terlebih dahulu perlu memastikan prestasinya ketika ini dapat dikekalkan buat jangka masa yang lama sebelum boleh diletakkan dalam satu kategori yang sama bersama Messi dan Ronaldo.
Kane telah meleburkan rekod Liga Perdana Inggeris dengan menjadi pemain paling banyak menjaringkan gol dalam masa setahun. Rekod lama dipegang oleh Alan Shearer semenjak 1995 dan Kane meleburkan rekod tersebut selepas menjaringkan hatrik ketika Spurs menang 5-2 ke atas Southampton pada Boxing Day.
Kane sudah menjaringkan 39 gol sepanjang tahun 2017, meleburkan rekod lama Shearer iaitu sebanyak 36 gol yang dicatatkannya ketika bermain bersama Blackburn Rovers.
Produk kelahiran akademi Spurs ini pernah digelar sebagai pemain 1 musim sahaja oleh sebilangan peminat, tetapi beliau membuktikan gelaran tersebut salah sama sekali selepas menunjukkan prestasi yang cemerlang beberapa musim kebelakangan ini.
? The numbers game ?
? All the facts and figures behind @HKane's record-breaking afternoon at Wembley – https://t.co/dqil7nVZn5#COYS pic.twitter.com/FCvfTD89Re
— Tottenham Hotspur (@SpursOfficial) December 27, 2017
Kane mengakui beliau perlu terus mempamerkan prestasi cemerlang untuk mencapai tahap yang telah ditetapkan bintang Barcelona, Lionel Messi dan penyerang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo.
“Apabila saya melihat Messi dan Ronaldo, saya tahu masih banyak yang perlu saya lakukan sebelum boleh dibandingkan dengan mereka. Tetapi ini adalah satu permulaan dan apa yang perlu saya lakukan adalah terus berlatih untuk menjadi yang lebih baik, dan diharap saya mampu mencapai tahap mereka suatu hari nanti.”
“Itu adalah matlamat utama saya – untuk diletakkan dalam kategori pemain terbaik dunia. Messi dan Ronaldo untuk sekian lama telah meletakkan satu standard untuk bergelar pemain terbaik dunia.”
“Untuk menjaringkan gol lebih daripada mereka adalah sesuatu yang saya amat bangga dan itu adalah permulaan. Saya mahu melakukannya setiap tahun.”
“Messi dan Ronaldo telah melakukannya selama 8 hingga 9 tahun jadi apa yang harus saya lakukan sekarang adalah untuk dikelaskan dalam satu kategori yang sama dengan mereka. Itu matlamat saya.”
Kane kini dalam landasan terbaik untuk memenangi gelaran Kasut Emas Liga Perdana Inggeris untuk 3 musim yang berturut-turut. Jika beliau berjaya melakukannya musim ini, Kane bakal menyamai rekod yang telah dilakukan oleh Alan Shearer (1994-1997) dan Thierry Henry (2003-2006).
Walubagaimanapun, Kane berkata 56 gol yang dijaringkannya dalam semua pertandinga pada tahun 2017 adalah lebih bermakna kerana ia menunjukkan sumbangan beliau tidak terhad dalam saingan liga sahaja.
“Kedua-dua rekod adalah bagus tetapi untuk melakukannya buat kelab dan negara adalah lebih bagus kerana ia menunjukkan saya melakukan sumbangan dalam semua pertandingan, bukan hanya dalam satu pertandingan. Jadi pencapaian 56 gol sepanjang tahun 2017 adalah sesuatu yang saya lebih banggakan.”