Hazard: Real Madrid Tahu Apa Yang Perlu Mereka Lakukan Untuk Dapatkan Saya

Penyerang Chelsea, Eden Hazard mendakwa Real Madrid tahu apa yang mereka perlu lakukan untuk mendapatkan khidmatnya musim hadapan.

Pemain antarabangsa Belgium itu turut berkata beliau masih lagi ‘fokus’ dengan tugasan beliau di Piala Dunia tetapi mahu pencerahan sama ada Antonio Conte akan terus kekal di Stamford Bridge atau tidak musim hadapan.

Hazard mahu perkara tersebut diselesaikan segera bagi membolehkan beliau menandatangani kontrak baru bersama Chelsea sebaik sahaja beliau pulang dari Russia.

Ketua jurulatih Chelsea, Antonio Conte masih mempunyai baki setahun dalam kontraknya tetapi pihak atasan Chelsea mahu membawa jurulatih baru menggantikan beliau selepas Chelsea mengharungi musim yang mengecewakan dimana mereka terlepas slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Bekas jurulatih Napoli, Maurizio Sarri dilaporkan menjadi calon utama untuk menggantikan tempat Conte tetapi tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan setakat ini mengenai laporan tersebut.

Hazard yang kini menginjak usia 27 tahun berkata beliau telah memenangi segala-galanya di Chelsea kecuali Liga Juara-Juara Eropah dan mengakui beliau kecewa dengan persembahannya ketika Chelsea tumpas di tangan Barcelona dalam pusingan 16 terakhir.

Hazard mengetuai skuad Belgium ketika menentang Panama dengan ketiadaan Vincent Kompany

Sebelum ini, Real Madrid di bawah Zinedine Zidane merupakan antara pasukan ternama yang berminat untuk mendapatkan khidmat Hazard.

Akan tetapi dengan peletakan jawatan Zidane dan kemasukan jurulatih baru Julen Lopetegui ke Santiago Bernebeu, tidak diketahui sama ada Real Madrid akan meneruskan minat mereka terhadap Hazard.

“Saya akan tunggu dan lihat sama ada jurulatih Chelsea sekarang akan terus kekal atau tidak. Jika saya kekal, ia adalah kerana kelab ini akan menjadi lebih kuat daripada musim lepas. Saya tidak mahu kekal untuk menyebabkan kelab ini menjadi lebih lembik.”

“Real Madrid menarik minat saya, semua pihak tahu mengenai perkara tersebut. Tetapi jika selepas ini Real Madrid tidak berminat lagi untuk mendapatkan saya, saya tidak akan berbicara lagi mengenai perkara ini.”

“Jika Real Madrid mahu membeli saya, mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan. Saya tidak mahu pergi ke Real Madrid semata-mata untuk mencukupkan kuota. Mereka harus mempunyai satu projek.”

“Saya masih lagi mempunyai projek di Chelsea [baki 2 tahun kontrak]. Jika saya mengharungi kempen Piala Dunia yang baik, keadaan akan menjadi lebih senang.”

Dries Mertens membuka jaringan buat Belgium terlebih dahulu sebelum dua gol daripada Romelu Lukaku mengesahkan 3 mata untuk Belgium

Hazard masih mempunyai baki 2 tahun dalam kontraknya dan kini sedang bersama skuad kebangsaan Belgium untuk menghadapi Piala Dunia 2018 yang telah bermula hampir seminggu. Belgium diundi dalam kumpulan G bersama England, Tunisia, dan Panama.

“Buat masa sekarang, fokus saya hanya pada Piala Dunia. Saya mengharungi musim yang mengecewakan bersama Chelsea. Ya, kami berjaya memenangi Piala FA pada penghujung musim dan menjadikan keadaan sedikit lebih baik buat pasukan. Tetapi buat masa sekarang, saya hanya mahu fokus pada Piala Dunia.”

“Saya akan membiarkan pihak atasan kelab untuk menentukan bagaimana untuk mengendalikan Chelsea denga sebaik yang mungkin.”

BACA:  Liverpool Bakal Tandatangani Penyerang Yang Paling Arnold Goyang