Hazard Teruja Dilabel Sebagai Pemain Terbaik Dunia

Pemain sensansi Chelsea, Eden Hazard mengakui beliau berasa gembira apabila dibandingkan dengan pemain terbaik dunia yang lain seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Namun begitu, perbandingan tersebut tidak menjejaskan fokusnya terhadap Chelsea kerana beliau lebih risau untuk mencari cara membantu Chelsea memenangi trofi.

5 gol dari 6 perlawanan liga setakat ini. Goal-scoring machine

Hazard telah menjaringkan 5 gol dari 6 perlawanan Liga Perdana Inggeris setakat ini dan berjaya membantu Chelsea mengutip 16 mata dari 18 mata yang ditawarkan. Beliau melengkapkan permulaan musim yang cemerlang beberapa hari yang lalu apabila menjaringkan gol solo bertaraf PUSKAS ketika menewaskan Liverpool 2-1 dalam pusingan ke-3 Piala Carabao yang berlangsung di Anfield.

Pembantu pengurus Chelsea, Gianfranco Zola melabel gol tersebut sebagai jaringan yang istimewa dan ia menjadi satu lagi bukti yang menunjukkan Hazard adalah antara pemain terbaik dunia masa kini.

Selain Zola, rakan sepasukan Hazard, Ross Barkley juga turut serta dalam menghamburkan pujian terhadap prestasi semasa Hazard. Barkley telah ditanya sama ada Hazard sudah mencapai taraf Messi dan Ronaldo, namun Barkley menjawab Hazard adalah pemain terbaik dunia ketika ini.

Pendapat Barkley turut dikongsi bekas kapten dan ikon Chelsea, John Terry menerusi Instagram beliau. Apabila ditanya peminat siapakah pemain terbaik dunia sekarang, Terry menjawab individu tersebut adalah Hazard.

Hazard antara pemain terbaik dunia ketika ini menurut Zola

Sememangnya Hazard berhak menerima pujian-pujian ini selepas mempamerkan persembahan yang cemerlang musim ini. Apabila ditanya apakah perasaannya menerima pujian dari pelbagai pihak, Hazard hanya mampu tersenyum dan akan terus berusaha keras untuk membantu Chelsea meraih trofi musim ini.

“Saya berasa bagus. Saya cuba lakukan perkara yang saya boleh buat di atas padang. Saya masih lagi pemain yang sama seperti 2, 3 tahun yang lepas.”

“Buat masa sekarang, saya berjaya menjaringkan gol tanpa henti. Sebab itulah banyak pihak meletakkan saya di kedudukan 3 teratas dalam senarai pemain terbaik dunia. Saya gembira mendapat pengiktirafan seperti itu. Saya hanya mahu meneruskan prestasi ini.”

Ketua jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri percaya Hazard mampu menjaringkan 40 gol untuk The Blues musim ini. Namun begitu, Hazard tidak mahu terbeban dengan jangkaan tersebut dan tidak meletakkan sebarang target jumlah gol yang akan beliau perolehi musim ini.

Gol bertaraf Puskas dari Hazard berjaya menutup mulut peminat Liverpool

“Sasaran utama saya adalah untuk memenangi sesuatu setiap tahun. Saya mahu memenangi trofi.”

“Kami berjaya memenangi Piala FA musim lepas. Kami tahu Liga Perdana Inggeris musim ini merupakan tugas yang sukar kerana Liverpool dan Manchester City memiliki ramai pemain yang bagus dan mereka juga pasukan yang baik. Jadi kami perlu memberikan segala-galanya.”

“Tidak penting berapa gol yang saya jaringkan. Anda tahu saya bagaimana, saya tidak pernah hiraukan perkara tersebut. Saya hanya mahu menikmati bola sepak dan memenangi perlawanan.”

BACA:  Allegri Sahkan Tidak Akan Menguruskan Lagi Pasukan Serie A Selepas Juventus, Chelsea Dilaporkan Berminat