Henry Sah Dilantik Menjadi Pengurus Monaco Yang Baru

Bekas pemain Arsenal, Thierry Henry telah dilantik menjadi pengurus Monaco yang baru berikutan pemecatan Leonardo Jardim beberapa hari yang lalu.

Henry yang kini berusia 41 tahun menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Monaco dan beliau akan dibantu jurulatih bawah 23 tahun Benfica, Joao Carlos Valado Tralhao dan jurulatih akademi Arsenal, Patrick Kwame Ampadu. Ampadu merupakan bapa kepada pemain remaja yang sedang meningkat naik di Chelsea, Ethan Ampadu.

Henry akan menggalas tugas sebagai pengurus pasukan buat pertama kali dalam kariernya. Legend

Sebelum ini, Henry telah dikaitkan dengan kekosongan jawatan pengurus di Aston Villa berikutan pemecatan Steve Bruce. Perbincangan di antara kedua-dua belah pihak berlaku minggu lalu tetapi tiada persetujuan berjaya dicapai. Aston Villa juga telah melantik Dean Smith kelmarin sebagai pengurus mereka yang baru, dengan John Terry bertindak sebagai pembantu pengurus.

Kelab Ligue 1 itu memecat  Jardim selepas pasukan tersebut terjerumus ke kelompok bawahan liga dan kini menduduki tangga ke-18 selepas mengharungi 9 perlawanan. Monaco hanya mampu mengutip 6 mata dan 10 mata ditinggalkan Marseille, penghuni slot terakhir untuk ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Selepas Monaco membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan Henry, bekas pemain Barcelona dan New York Red Bulls meluahkan rasa gembiranya menerusi Instagram kerana diberi kepercayaan mengemudi Monaco.

Leonardo Jardim akan terus diingati sebagai individu yang berjaya memecahkan dominasi PSG

“Dengan bangganya, saya ingin mengumumkan yang saya telah menerima tawaran untuk menjadi pengurus Monaco FC yang seterusnya.”

“Saya sangat bernasib baik kerana telah menerima beberapa tawaran yang menarik sepanjang beberapa minggu sebelum ini tetapi Monaco akan sentiasa dekat dengan hati saya. Saya memulakan karier bola sepak bersama kelab ini, dan takdir telah menentukan yang karier pengurusan saya juga bermula dengan kelab yang sama.”

“Saya sangat teruja kerana diberi peluang sebegini tetapi kerja keras akan bermula dari sekarang. Saya sudah tidak sabar untuk bermula.”

Henry juga mengesahkan beliau akan meninggalkan peranannya dalam skuad kebangsaan Belgium, dimana beliau memegang jawatan sebagai pembantu kepada Roberto Martinez.

“Dengan penuh perasaan sedih, saya ingin mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kebangsaan Belgium.”

“Saya meluangkan masa selama dua tahun yang menakjubkan bersama Roberto Martinez untuk melatih kumpulan pemain yang sangat berbakat dan melihat mereka berkembang menjadi pasukan hebat seperti yang kita lihat hari ini.”

Roberto Martinez percaya Henry mempunyai ramuan yang cukup untuk menjadi pengurus hebat

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Bola Sepak Belgium, Roberto, staff-staff, dan para pemain kerana membuatkan seorang rakyat Perancis berasa dirinya dialukan-alukan dalam kalangan Red Devils!”

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda semua dan saya yakin anda akan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.”

BACA:  Perancis Lakukan Aksi Comeback Yang Sungguh Menakjubkan Untuk Mara Ke Final