Impi Beraksi Di Amerika Syarikat, Bale Turut Ejek Modric Tak Pandai Main Golf

Gareth Bale sekali lagi menarik perhatian apabila meluru keluar dari temuramah bersama wartawan selepas kekalahan Wales kepada Denmark baru-baru ini. Kekalahan tersebut turut menoktahkan cabaran Wales di Euro 2020.

Ia merupakan hari yang sangat mengecewakan untuk skuad kendalian Robert Page yang dibelasah teruk oleh skuad Denmark di pusingan 16 terbaik saingan Euro 2020 ini.

Denmark berjaya membelasah Wales 4-0 hasil jaringan Joakim Maehle, Martin Braithwaite dan dua gol jaringan Kasper Dolberg.

Dalam satu temu bual selepas tamat perlawanan bersama BBC, Bale meluahkan rasa kecewanya dengan meninggalkan temu bual itu separuh jalan sahaja.

Beliau sempat meluahkan rasa kecewanya tentang perlawanan tersebut, sebelum berlalu pergi selepas mendengar soalan yang tidak beliau mahukan.

Wartawan kemudiannya mahu bertanya kepada Bale soal masa depan beliau bersama skuad kebangsaan Wales, namun belum sempat soalan itu dihabiskan, pemain Real Madrid itu terus pergi meninggalkan temu bual tersebut.

Impi ke Amerika Syarikat

Bukan perkara asing bagi bintang-bintang bola sepak dunia untuk beraksi di Amerika Syarikat. Tetapi kebiasaanya ia berlaku di penghujung karier pada ketika pemain juga sudah bersara dari komitmen antarabangsa.

David Beckham, Frank Lampard, dan Thierry Henry adalah antara pemain berkelas dunia yang pernah beraksi di negara Uncle SAM untuk menghabiskan saki baki karier bola sepak mereka. Pendek kata beraksi di Amerika Syarikat ibarat langkah terakhir dalam kerier pemain.

Gareth Bale pernah mengesahkan dirinya mahu beraksi di Amerika Syarikat. Maka tidak hairanlah mengapa wartawan bertanyakan soalan tersebut.

Pemain sayap Real Madrid itu masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun di Santiago Bernabeu, dan pemain berusia 30 tahun itu berkata beliau mahu terlebih dahulu menunggu kontrak tersebut untuk tamat.

Bale adalah antara pemain yang memperolehi gaji paling tinggi dalam dunia bola sepak dengan pendapatan mencecah £15 juta setahun.

Buat masa ini ianya mustahil mana-mana kelab MLS akan membayar gaji sebanyak itu, tetapi akan tiba masanya apabila Bale ingin mengubah angin dari Eropah ke Amerika Syarikat – termasuk untuk bermain golf – maka perkara itu akan direalisasikan.

“Saya sukan liga [MLS]. Ia bertumbuh dengan jayanya sejak beberapa tahun lalu,” kata beliau kepada Hat-trick Podcast.

“Apabila kami [Real Madrid] ke sana untuk pra musim, perlawanan amat sukar. Kualiti [permainan] menjadi semakin baik. Kelab-kelab juga bertambah baik, kemudahan juga ditambah baik, dan stadium-stadium [di USA] juga bertambah baik.

“Ia adalah saingan liga yang meningkat naik, dan terus akan meningkat. Ramai pemain akan ke Amerika sekarang dan beraksi di sana. Saya juga berminat beraksi di sana.

“Saya suka pergi ke Los Angeles untuk bercuti.”

Kerana golf

Ketika ditanya oleh podcast yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu apakah yang paling beliau gemari di Los Angeles, Bale menjawab: “Saya suka bermain golf.”

Bale sebelum ini pernah dikritik oleh penyokong Real selepas meraikan kemenangan Wales di pusingan kelayakan Euro dengan memaparkan bendera dengan slogan ‘Wales. Golf. Madrid. In that order.’

Ia seolah-olah menjelaskan keutamaan Bale adalah Wales, dan golf melebihi Real Madrid.

“Ia adalah gurauan… untuk keseronokkan,” ujar Bale yang sememangnya amat meminati golf.

Bale turut ketawakan rakan sepasukan Real Madrid, Luka Modric kerana skil teruk pemain Croatia itu bermain golf.

Ditanya siapakah rakan sepasukan di Real Madrid yang paling teruk bermain golf, Bale pantas menjawab: “Luka Modric, 100%.”

“Kami menginap di sebuah hotel dan tidak ada apa yang dilakukan. Mereka hanya ada lapangan golf di sana. Maka saya berkata [kepada Modrid], ‘Mahukah anda bersama-sama ke lapangan untuk melakukan beberapa pukulan?’

“Beliau memegang pemukul di tangan dan tidak tahu memegang dengan cara betul. Beliau berpusing ke belakang, memukul lantai, dan pukulan tidak mengena pada bola.

“Satu bola dia cuba pukul sebanyak 20 kali, dan selepas itu dia insaf.

“Hari berikutnya dia dah datang mengadu, ‘Belakang saya rasa kesakitan.”

BACA:  Gareth Bale Jaringkan Gol Menerusi Sepakan Percuma Yang Sungguh Luar Biasa Dasyat