JDT Semakin Hampir Untuk Tandatangani Penjaring Terbanyak Liga Thailand Musim Lepas

Juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Takzim dilaporkan semakin hampir untuk menandatangani penyerang utama Buriram United, Diogo Luis Santo.

JDT dilihat ligat memperkuatkan skuad mereka bagi menghadapi cabaran Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama yang akan membuka tirai pada bulan Mac nanti.

Penjaring terbanyak Thai League 1 musim lepas dengan 34 gol ! Memang padu. Mungkin Diogo mampu melunas impian Guiza dengan menjaringkan 50 gol musim hadapan di Liga Super

Terbaru, JDT baru sahaja mengumumkan ketibaan pemain muda Kedah, Akhyar Rashid menerusi satu video yang dimuat naik laman rasmi Facebook JDT, ‘Johor Southern Tigers’.

Sebelum Akhyar, JDT turut mengumumkan ketibaan bekas pemain Valencia, Aaron Niguez dan pemain pertahanan berasal dari Brazil, Mauricio bagi menggantikan Marcos Antonio yang bersara dari bola sepak.

Dengan Gonzalo Cabrera dan Hariss Harun dikekalkan dalam skuad JDT, terdapat satu lagi slot di bahagian serangan yang perlu diisi bagi menghadapi cabaran sukar musim hadapan.

Slot tersebut dijangka bakal diisi penyerang sensasi Thai League 1, Diogo Luis Santo yang beraksi untuk Buriram United.

Diogo yang kini berusia 31 tahun merupakan penyerang yang sangat digeruni dalam Thai League 1 dan muncul penjaring terbanyak liga tersebut bagi tahun 2018.

Diogo yang berasal dari Brazil memulakan kariernya bersama Portuguesa sebelum berhijrah ke Greece untuk bermain dengan Olympiacos selama 5 musim. Diogo sempat beraksi untuk kelab ternama di Brazil seperti Santos, Flamengo dan Palmeiras sebelum berpindah ke Buriram pada tahun 2015.

https://www.instagram.com/p/BsF-nPpF5cL/?utm_source=ig_embed

Perpindahan tersebut nyata membawa tuah buat Diogo. Beliau ‘meletop’ bersama Buriram dan berjaya menjaringkan 132 gol dalam 158 perlawanan untuk kelab Thailand tersebut. Ia merupakan statistik yang cemerlang, hampir satu gol dalam setiap perlawanan yang beliau sertai.

Selain menjaringkan gol, Diogo juga mampu mencipta peluang jaringan untuk rakan sepasukannya. Beliau mempunyai 45 assist setakat ini untuk Buriram dan pada ketinggian 6 kaki, Diogo mempunyai tubuh fizikal yang bagus untuk memberikan masalah dalam kotak penalti.

Diogo mampu menjaringkan gol dengan menggunakan kedua-dua belah kakinya

Menurut laporan Goal Malaysia, Diogo sudah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya di Buriram United tetapi buat masa sekarang, masih lagi tiada sebarang pengesahan dari pihak JDT mengenai perpindahan ini.

Sama-sama kita tunggu !

BACA:  TMJ Dedah JDT Tak Mampu Penuhi Permintaan Falcao