Jenama Prosesor Terbesar Dunia Snapdragon Penaja Baharu Jersi Man Utd

Pencarian Manchester United untuk mencari penaja baharu jersi pasukan itu akhirnya terlerai apabila kelab itu mencapai persetujuan dengan syarikat teknologi Amerika Syarikat Qualcom melalui jenama Snapdragon.

Snapdragon adalah anak syarikat Qualcom dan akan menjadi pengganti Teamviewer sebagai penaja utama jersi pasukan itu mulai musim hadapan.

Setan Merah memulakan pencarian penaja baharu sejak tahun lalu setelah Teamviewer mengesahkan tidak akan menyambung kontrak bersama kelab Premier League itu selepas musim 2023-24.

Teamviewer turut membenarkan Manchester United membeli kembali tajaan pada jersi sebelum mensasarkan penajaan baharu pada ketika itu.

United mengesahkan telah mencapai persetujuan penajaan baharu pada Selasa lalu melalui satu kenyataan ringkas.

Menurut kenyataan tersebut jenama Snapdragon akan pula dipaparkan pada jersi skuad utama dan wanita pasukan itu mulai musim hadapan.

Snapdragon adalah syarikat penghasilan prosesor terbesar dunia yang digunapakai di dalam pembuatan telefon pintar, komputer, dan teknologi pintar lain membabitkan kenderaan.

Pada Isnin lalu laporan mendedahkan United semakin hampir memeterai penajaan bernilai £60 juta setahun dalam usaha kelab itu menghasilkan lebih keuntungan daripada hasil komersial dan penajaan.

Ini bermakna Qualcomm kini menjadikan United penerima tajaan terbesar pada jersi di dalam bola sepak, melangkaui nilai yang diterima oleh Real Madrid daripada Fly Emirates.

United akan terus memakai jersi dengan logo Teamviewer pada musim ini, selepas sejumlah jersi replika dengan logo tersebut telah terjual pada musim ini.

BACA:  Ratcliffe Percaya Mampu Yakinkan Southgate Ganti Ten Hag