Jose Mourinho Sasaran Portugal Ganti Fernando Santos

Jose Mourinho kini dilaporkan menjadi sasaran Portugal untuk dilantik sebagai pengurus yang baharu selepas Fernando Santos melepaskan jawatannya usai tamat saingan Piala Dunia 2022.

Pengurus AS Roma itu dilihat sebagai pilihan terbaik untuk menggantikan Santos dan dilaporkan bahawa Persatuan Bola Sepak Portugal (FPF) telah merisik Jose Mourinho dengan dengan pakej unik.

Keunikan pakej ini adalah Mourinho boleh mengambil tugas pasukan kebangsaan dan dalam masa yang sama terus menjalankan tugasnya di Stadio Olimpico bersama Roma.

Jadinya, Mourinho akan menjawat dua jawatan serentak dalam masa yang sama, pengurus Portugal dan pengurus Roma.

Bekas pemain antarabangsa Portugal, Maniche, yang pernah bermain di bawah Mourinho semasa mengendalikan Porto, percaya pengurus berusia 59 tahun itu adalah yang paling sesuai untuk peranan itu.

“Jose Mourinho adalah jurulatih yang masuk akal untuk jawatan itu, untuk semua yang dia telah kecapi dan telah capai.” Ujar Maniche kepada Radio Renascenca.

“Dia seorang jurulatih berpengalaman yang sangat bersedia menghadapi kesukaran kerana dia tahu bola sepak kami dan bola sepak di luar negara, dia bijak dan tahu berurusan dengan orang muda.”

“Dia sudah menyesuaikan diri dengan generasi ini dan membuktikannya dengan memenangi gelaran di Roma, yang tidak berlaku beberapa tahun lalu.”

Peniup khabar angin berita perpindahan paling dipercayai, Fabrizio Romano telah melihat situasi yang mengelilingi bekas pengurus Manchester United dan Chelsea, Jose Mourinho.

Jose Mourinho mempunyai kerjaya yang hebat di peringkat pengurusan tertinggi, dan Fabrizio Romano merasakan ia merupakan salah satu cita-cita Mourinho untuk melatih Portugal apabila tiba masanya, sambil menambah bahawa dia merasakan Special One layak mendapat pekerjaan itu.

Bagi Fabrizio Romano adalah menarik untuk melihat perkara ini terjadi dan Mourinho tersangat layak untuk jawatan pengurus Portugal tapi bukan untuk masa terdekat ini.

Sumber dalaman Fabrizio Romano telah menafikan akan terjadinya situasi Mourinho akan memegang dua jawatan pengurus secara serentak dan ini tidak mungkin berlaku.

Setelah meniliti situasi bersumberkan maklumat dalaman Fabrizio Romano tidak merasakan perkara ini akan terjadi pada ketika ini.

“Saya mengetahui beberapa laporan mengejut tentang Jose Mourinho mengambil tugas sebagai pengurus pasukan kebangsaan Portugal, dan mungkin melakukannya bersama-sama dengan peranannya sekarang di Roma,” kata Romano melalui caughtoffside.

“Saya telah menelitinya dan ia tidak digambarkan sebagai mungkin oleh sumber yang rapat dengan Roma dan Mourinho, terdapat juga pilihan lain.

“Saya fikir satu hari nanti Mourinho akan menjadi jurulatih Portugal, dia berhak mendapatnya dan saya pasti ia adalah impian untuk jurulatih terkemuka sepertinya untuk mengendalikan negaranya – tetapi saya tidak pasti ia akan berlaku sekarang.”

Di pihak Roma sudah tentunya tidak akan bersetuju dengan idea tersebut kerana mekeka melantik Jose Mourinho untuk menjalankan projek jangka panjang mereka.

Mourinho telah dilantik sebagai pengurus Roma pada 4 Mei 2021 selepas dipecat Tottenham Hotpsur adalah langkah besar Roma dalam membangun budaya menang jangka panjang dan konsisten di seluruh kelab.

Perlantikan Jose Mourinho sangat tepat apabila dimusim pertamanya Roma menempa sejarah apabila menjadi pasukan pertama menjulang kejuaraan Europa Conference League (ECL) untuk edisi pertama kejohanan.

Kejayaan Roma ini juga telah menamatkan kemarau kejuaraan selama 14 tahun mereka dalam semua kejohanan samada domestik atau Eropah.

Ia merupakan Piala Eropah pertama Roma dan juga merupakan piala pertama mereka sejak 2008 lalu selepas mereka menjuarai gelaran Coppa Italia pada ketika itu.

The special one semakin mengukuhkan gelaran kepada dirinya sendiri apabila menjadi pengurus pertama meraih gelaran juara tiga trofi utama Eropah dengan empat kelab berbeza.

Pengurus dari Portugal ini sebelum ini sudah pun memenangi Champions League bersama Porto (2004) dan Inter Milan (2010) serta Europa League bersama Manchester United (2017) dan Porto (2003, ketika itu dikenali sebagai UEFA Cup).

Dengan perbelanjaan besar dilaburkan Roma kerana percaya dengan kemampuan Mourinho menjadikan perkara ini tidak akan mungkin terjadi sekarang.

BACA:  Ini Respon Pertama Jose Mourinho Selepas Dipecat