Jurgen Klopp Beri Pujian Menggunung Kepada Gabriel Martinelli

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberikan pujian yang menggunung kepada bintang Arsenal, Gabriel Martinelli atas aksi hebat yang dipamerkan olehnya.

Klopp menganggap Martinelli sebagai pemain yang sungguh luar biasa menakjubkan, dan beliau jelas sekali sangat mengagumi bintang Arsenal itu.

The Reds sebelum ini sekadar mampu terikat tanpa jaringan bertemu Arsenal di Anfield dalam aksi separuh akhir pertama.

Lebih teruk lagi, mereka ketika itu gagal merekodkan sebarang on target ketika berdepan skuad Arsenal yang bermain dengan 10 orang pemain sejak awal permainan lagi.

Walau bagaimanapun, skuad kendalian Jurgen Klopp itu berjaya mengesahkan tiket untuk mara ke perlawanan akhir, selepas menewaskan Arsenal 2-0 di Emirates awal pagi tadi.

Diogo Jota cemerlang meledak dua gol ketika membantu Liverpool berdepan dengan Arsenal awal pagi tadi, seterusnya membawa The Reds ke aksi perlawanan akhir bertemu Chelsea nanti.

Arsenal selain dari berduka ditewaskan di peringkat separuh akhir, mereka turut kecewa kerana Thomas Partey dilayangkan kad merah selepas baru beberapa minit diturunkan untuk beraksi.

Martinelli merupakan antara pemain paling berprestasi dalam perlawanan tersebut, dengan beliau menjadi nadi penting jentera serangan Arsenal.

Beliau kerap melancarkan serangan merbahaya, dan sering memberi masalah kepada Trent Alexander-Arnold di sudut sebelah kiri padang.

Ekoran dari kejayaan Liverpool membenam Arsenal di halaman mereka sendiri, Klopp tampil memberikan pujian menggunung kepada bintang berusia 20 tahun Gunners, Gabriel Martinelli.

Beliau bahkan turut mengingatkan kepada semua agar sentiasa ingat nama Martinelli kerana beliau yakin bintang Arsenal itu bakal menyerlah dan akan menjadi pemain terbaik di masa hadapan.

Ketika ditanya tentang aksi perlawanan akhir bertemu Chelsea bulan hadapan, Klopp dengan tiba-tiba menjawab:

“Oh ya, Martinelli, semua orang perlu ingat nama itu kerana dia merupakan pemain yang sungguh menakjubkan.”

“Chelsea…. Kamu akan bermain dalam perlawanan akhir, ia jelas sekali kamu akan bertemu dengan pasukan yang hebat, itulah apa yang berlaku sekarang.”

“Namun begitu, kamu mahu layak dan itulah apa yang kami lakukan. Wembley merupakan tempat yang istimewa, ia memang diketahui oleh kita semua.”

“Masih banyak lagi perlawanan yang perlu dimainkan sehingga aksi perlawanan akhir, ia bukan akan dimainkan pada minggu hadapan atau apa saja.”

“Masih banyak perlawanan perlu dimainkan, kita perlu lihat di mana kita ketika itu. Tapi kami benar-benar akan meletakkan sepenuh usaha dalam pertandingan ini dan kami benar-benar mahu menang.”

“Jadi ketika kamu mara, ketika kamu di final, tidak ada alasan untuk sekadar berada dalam aksi perlawanan akhir jika kamu tak mahu menang. Kami mahu menang tapi kami sedar ia bukan hal yang mudah.”

Chelsea berjaya mengesahkan tempat untuk beraksi dalam perlawanan akhir saingan Carabao Cup, selepas mereka berjaya menewaskan Tottenham Hotspur dalam aksi peringkat separuh akhir.

Liverpool dan Chelsea masing-masing akan bertemu dalam aksi perlawanan akhir pada 27 Februari nanti di Wembley.

Dua gol jaringan Jota bantu Liverpool tendang Arsenal keluar dari saingan EFL Cup

Dua gol jaringan Diogo Jota berjaya membantu Liverpool untuk tendang Arsenal keluar dari saingan Carabao Cup.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu berkunjung ke Emirates untuk aksi peringkat separuh akhir kedua saingan Carabao Cup awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan sekadar terikat tanpa jaringan ketika bertemu dalam aksi separuh akhir pertama di Anfield minggu lalu.

Selepas berjaya mengikat Liverpool di Anfield walau bermain dengan 10 orang pemain, Arsenal dijangka bakal membuat kejutan dan akan mampu untuk singkirkan The Reds di Emirates.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu juga turut mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan sepanjang 20 minit pertama dalam perlawanan pada hari ini.

Walau bagaimanapun, malang untuk Gunners kerana gagal untuk kekal dominan, selepas Liverpool kembali menemui rentak persembahan terbaik mereka.

The Reds terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi Diogo Jota yang meledak gol cantik hasil hantaran dari Trent Alexander Arnold.

Sebaik menerima bola hantaran dari Arnold, Jota tenang membawa bola masuk ke kotak penalti Arsenal dan walaupun beliau dikawal ketat, namun beliau tetap berjaya melepaskan rembatan padu menewaskan Ramsdale.

Pada minit ke-77, Diogo Jota sekali lagi meledak gol untuk Liverpool juga hasil hantaran cantik dari Trent Alexander Arnold.

Liverpool berjaya merampas bola dari Martinelli dengan Arnold terus menghantar bola ke arah Diogo Jota yang sedang berlari menuju ke arah kotak penalti Arsenal.

Jota mendada bola dan kemudian menyungkit bola melepasi Ramsdale untuk gol kedua Liverpool, namun penjaga garisan mendakwa beliau berada di kedudukan offside.

Pengadil perlawanan kemudiannya merujuk VAR dan kemudian mengesahkan gol kedua Liverpool yang dijaringkan oleh Diogo Jota itu.

Pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat seterusnya mengesahkan kemenangan 2-0 Liverpool menewaskan Arsenal, dan melayakan mereka untuk beraksi di pentas perlawanan akhir nanti.

Liverpool akan turun bertemu Chelsea dalam aksi perlawanan akhir saingan Carabao Cup di Wembley pada 28 Februari nanti.

Arsenal sepertinya akan mengakhiri saingan musim ini dengan tidak memenangi apa-apa selepas mereka turut tersingkir dari saingan FA Cup 2 minggu lalu.

Arsenal dikejutkan dengan kekalahan 1-0 di tangan Nottingham Forest seterusnya menyebabkan mereka terpaksa akur ditendang keluar oleh pasukan dari Championship.

Carabao Cup merupakan satu-satunya Piala yang mereka harapkan, namun sayangnya mereka turut tersingkir selepas dibenam oleh Liverpool.

Satu-satunya kejohanan yang mereka masih ada pada ketika ini adalah saingan Premier League, dan sangat jelas mustahil untuk anak-anak buah Mikel Arteta itu muncul sebagai Juara pada musim ini.

Mereka kini sedang berjuang habis-habisan untuk mengakhiri saingan liga di kedudukan empat teratas, dengan Gunners kini sedang berada di kedudukan ke-6 dalam carta saingan liga.

Mereka kini hanya dua mata sahaja dipisahkan dari West Ham United yang berada di kedudukan keempat, namun Gunners memiliki kelebihan 2 perlawanan yang masih belum dimainkan.

Pesaing terdekat Arsenal merupakan Tottenham Hotspur yang kini satu mata mengatasi mereka, dan satu mata sahaja dibelakang West Ham untuk mereka menduduki kedudukan kelima dalam carta liga.

Namun begitu, Spurs jelas mempunyai kelebihan dengan mereka kurang satu perlawanan berbanding Arsenal dan kurang tiga perlawanan berbanding West Ham.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Jurgen Klopp Bedal Gary Neville Kerana Petik Lagu Keramat YNWA