Jurgen Klopp Goyang Ralf Rangnick Bakal Mengendalikan Manchester United

Jurgen Klopp menunjukkan tanda-tanda kebimbangan sebaik mendengar berita kedatangan Ralf Rangnick ke bumi Old Trafford sebagai pengurus interim.

Pengurus Liverpool itu menegaskan yang berita kedatangan Ralf Rangnick bukanlah berita baik untuk semua pasukan lain dalam saingan Premier League.

Bekas pengurus RB Leipzig dan RB Salzburg itu telah bersetuju untuk menjadi pengurus interim United sehingga akhir musim ini.

Pengurus berusia 63 tahun itu akan menandatangani perjanjian selama enam bulan sebagai pengurus interim, dan beliau juga akan bertugas sebagai penasihat kelab selama dua tahun.

Ralf Rangnick juga dianggap sebagai ‘The Godfather of Gegenpressing’ kerana beliaulah individu pertama yang menggunung falsafah permainan pantas yang diamalkan oleh skuad Jurgen Klopp pada ketika ini.

Sebaik mendengar berita tentang penandatanganan Ralf Rangnick, Jurgen Klopp segera memuji pengurus legenda Jerman itu, dan beliau juga percaya Manchester United akan menjadi lebih teratur serta digeruni selepas ini.

Bercakap ketika sidang media sebelum perlawanan pada hujung minggu ini, Jurgen Klopp mendedahkan bahawa:

“Saya kebiasaannya tak suka bercakap tentang benda yang tak pasti, tapi malangnya akan ada pengurus hebat yang bakal ke Manchester United.”

“Dia bina dua kelab sempurna di Jerman. Dia sangat berpengalaman. United akan lebih teratur.”

“Dia bina dua kelab yang entah dari mana, menjadi gergasi si Jerman. Dia naikkan Hoffenheim dan Leipzig. Tumpuan utama dia adalah untuk menjadi jurulatih dan itulah kelebihan dia.”

“Semua pengurus di dunia perlukan masa untuk berlatih supaya boleh beri saingan kepada dia. Dia seorang yang sangat baik dan seorang pengurus yang sungguh luar biasa.”

“Dia seorang pengurus yang selalu dipuji kerana dia selalu melakukan tugas-tugas yang menakjubkan.”

“Dalam dunia bola sepak Jerman, dia sangat dikagumi dan dia berhak untuk dikagumi.”

Rangnick ketika ini dilaporkan hanya menunggu permit kerja beliau disempurnakan dan beliau berkemungkinan akan mula bertugas ketika aksi perlawanan setan merah bertemu Arsenal di Old Trafford nanti.

Beliau juga pada tahun 2019 lalu, pernah memberikan pujian yang menggunung kepada Jurgen Klopp, atas kerja kerasnya bersama Liverpool.

Ralf Rangnick memuji dan mengagumi Jurgen Klopp

Sebelum nama beliau disebut-sebut seperti hari ini, Ralf Rangnick pernah memberikan pandangan peribadi beliau tentang Jurgen Klopp dan para pemainnya di Anfield.

Ralf Rangnick dianggap sebagai salah seorang pengurus paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak Jerman, dan ramai pengurus modern ini yang menjadikan beliau sebagai inspirasi.

Agak mengejutkan untuk melihat Rangnick memberikan pujian menggunung kepada rakan senegaranya Jurgen Klopp, walaupun falsafah yang digunapakai oleh mereka sama.

Pengurus Liverpool itu sering diberi pujian dan dianggap sebagai pakar dalam mengamalkan corak permainan Gegenpressing dan bermain secara high-intensity, sejak dari kariernya bersama Borussia Dortmund lagi.

Walau bagaimanapun, falsafah yang digunapakai oleh Jurgen Klopp itu sebenarnya telah digunakan terlebih dahulu oleh Rangnick ketika kariernya bersama Stuttgart dan Ulm.

Ia secara tidak langsung membuktikan yang Rangnick adalah pengasas sebenar corak permainan Gegenpressing yang diamalkan oleh Jurgen Klopp.

Ketika Klopp mula masuk ke dunia pengurusan bersama Mainz pada awal tahun 2000 yang lalu, beliau mengguna dan menggabungkan kesemua prinsip ini dalam taktikalnya.

Dua dekad kemudian, walaupun Rangnick merupakan pengasas kepada asas permainan tersebut, namun beliau tetap memberikan pujian yang menggunung atas hasil kerja yang ditunjukkan oleh Jurgen Klopp itu.

Beliau sangat berbangga dan teruja melihat bagaimana Jurgen Klopp membina gandingan trio serangan Liverpool yang kini dianggap sebagai jentera serangan terhebat dunia itu.

“Salah, Firmino dan Mane. Tiga pemain dari tiga negara berbeza.”

Jelas Rangnick kepada Coaches Voice.

“Ketika mereka menyertai Liverpool, tidak ada sesiapa antara mereka yang semula jadi dilahirkan sebagai ball winners. Mereka bukan mesin pressing.”

“Jadi cara bagaimana mereka bermain bersama Liverpool merupakan kerja keras dari pengurus dan jurulatih.”

Beliau tidak dinafikan lagi seorang professor taktikal dalam dunia bola sepak dan beliau juga jelas sekali sudah sangat faham dengan semua falsafah yang ada.

Kerana itulah beliau tidak berselindung memuji kemampuan Jurgen Klopp dan mengakui bekas pengurus Borussia Dortmund itu memiliki bakat semula jadi yang sungguh hebat.

Ketika beliau masih lagi menjadi pengurus RB Leipzig pada tahun 2019 yang lalu, beliau telah menjelaskan tentang persamaan antara pendekatan yang beliau gunakan dan falsafah yang Klopp pegang.

“Corak permainan hampir sama dengan Jurgen Klopp. Ia proaktif, high pressing, counter-pressing. Sebaik kita memenangi bola, kita tidak perlu buang masa untuk bermain square passes atau back passes.”

Jelas Rangnick kepada Sky Sports.

“Ia jelas sekali bukan kebetulan yang Jurgen Klopp ada empat bekas pemain saya, (Roberto Firmino, Naby Keita, Sadio Mane dan Joel Matip) kerana ia menunjukkan kami sama. Bahkan dia juga mencari jenis pemain yang sama, aset yang sama dengan mentaliti yang sama.”

Rangnick sememangnya mengangkat Klopp sebagai seorang pengurus yang hebat, dengan Jurgen Klopp sendiri tentunya sangat menghormati beliau.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ralf Rangnick Dikritik Kerana Melantik Ronaldo Sebagai Ketua Pasukan