Jurgen Klopp Puji Persembahan Sadio Mane dan Mohamed Salah

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji persembahan yang ditampilkan oleh Sadio Mane dan Mohamed Salah ketika Liverpool membelasah Porto 5-0 di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Mane muncul wira buat The Kops selepas menjaringkan hatrik untuk meletakkan Liverpool dalam kedudukan selesa untuk mara ke peringkat suku akhir. Dua gol lagi dijaringkan oleh Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Klopp bangga dengan persembahan anak buahnya

Prestasi pemain antarabangsa Senegal ini agak terumbang ambing kebelakangan ini, tetapi perlawanan awal pagi tadi mungkin menjadi titik tolak kebangkitan Mane musim ini. Klopp turut berkata Mane sudah mendapat kembali rentak terbaiknya.

“Mane menunjukkan jawapan yang terbaik. Saya berkata kepada beliau dalam perlawanan kami sebelum ini, ‘akhirnya kamu kembali’ sejurus selepas perlawanan berakhir.”

“Malam ini Mane mengingatkan lagi sekali mengapa beliau adalah pemain yang fantastik. Beliau adalam pemain yang penting buat Liverpool, walaupun ketika beliau sedang bergelut dengan prestasi.”

“Gol akan hadir jika kamu terus bekerja keras seperti yang kita lihat dalam perlawanan tadi. Gol pertama Mane mungkin beliau agak bernasib baik tetapi untuk gol kedua dan ketiga, beliau berada di kedudukan yang tepat. Saya gembira melihat persembahan beliau.”

Hatrik Mane julang Liverpool

Seorang lagi bintang Liverpool musim ini, Salah turut mencatatkan nama dalam senarai penjaring selepas menjaringkan gol ke-30 beliau dalam semua pertandingan musim ini. Salah juga muncul pemain kedua terpantas dalam sejarah Liverpool untuk mencapai jumlah jaringan tersebut.

“Salah sedang mengharungi musim yang mengagumkan. Saya percaya hampir setiap gol yang dijaringkan Salah adalah gol kememangan buat pasukan, sebab itulah pemain ini sangat penting buat kami.”

Keputusan berat sebelah ini menjadikan perlawanan timbal balik di Anfield pada 6 Mac nanti sebagai pelengkap jadual sahaja. Klopp mungkin akan menggunakan peluang tersebut untuk menggilirkan beberapa pemain utamanya menjelang pertemuan penting menentang Manchester United beberapa hari selepas itu.

Gol ke-30 sudah. Laju

Walaubagaimanapun, Klopp enggan terlalu selesa dengan keputusan ini dan berkata perlawanan masih lagi belum berakhir.

“Sudah tentu tidak. Kami hadir ke sini untuk mendapatkan bekalan untuk perlawanan di Anfield nanti dan kami berjaya melakukannya. Tidak lebih dan kurang.”

“Seperti apa yang pernah saya katakan sebelum ini, saya telah berada dalam industri ini cukup lama untuk mengetahui segalanya belum berakhir selagi wisel penamat tidak ditiupkan. Kami berhutang dengan peminat kami di Anfield untuk menampilkan persembahan 100% dan itulah yang akan kami lakukan nanti.”

BACA:  Man Utd Berusaha Untuk Sailang Nunez Dari Liverpool