Kane Catat Hat-trick Bantu Spurs Dari Diaibkan Oleh NS Mura

Harry Kane mencatatkan hat-trick pertama beliau musim ini bersama Tottenham Hotspur, selepas beliau sebelum ini teruk dikritik kerana sering pamer aksi hambar.

Kejayaan beliau meledak tiga gol berjaya membantu Tottenham Hotspur untuk membelasah NS Mura 5-1 dalam saingan Europa Conference League awal pagi tadi.

Hat-trick tersebut juga secara tidak langsung membangkitkan semula semangat dan kepercayaan para penyokong yang sebelum ini berduka menghadap tiga kekalahan secara berturut-turut Spurs dalam saingan Premier League.

Nuno Espirito Santo membuat beberapa pertukaran dalam skuadnya pada hari ini berbanding ketika aksi kekalahan memalukan bertemu Arsenal dalam aksi North London derby di Emirates minggu lalu.

Percaturan beliau sepertinya membuahkan hasil dengan Spurs nampak lebih garang dalam perlawanan ini.

Pada minit ke-4 permainan, Spurs sudah berjaya memperoleh gol pertama mereka, selepas Dele Ali menyempurnakan sepakan penalti yang dimenangi oleh pasukan tuan rumah itu.

Tottenham Hotspur dihadiahkan sepakan penalti selepas Dele Ali dijatuhkan oleh penjaga gol Mura, Matko Obradovic di dalam kotak penalti.

Giovani Lo Celso kemudiannya menggandakan kedudukan menjadi 2-0 empat minit selepas itu, namun Mura berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-52 permainan.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan 2-0, dan masuk aksi babak kedua permainan, Ziga Kous berjaya meledak gol untuk Mura merapatkan jurang menjadi 2-1.

Nuno kemudiannya merasa yang beliau mungkin akan sekali lagi berdepan dengan kekalahan jika beliau tidak melakukan sesuatu, dengan beliau kemudiannya memutuskan untuk memasukkan Harry Kane, Son Heung Min dan Lucas Moura.

Kane membalas kepercayaan yang diberikan kepadanya dengan beliau tenang mencipta hat-trick dalam tempoh 20 minit sahaja.

Bintang England itu cemerlang membantu skuadnya mencatatkan kemenangan pertama mereka sejak 29 Ogos lalu, dan lebih manis lagi beliau berjaya membuktikan yang dirinya masih seorang penyerang yang berkualiti.

Nuno Espirito Santo membuat sembilan pertukaran pada awal permainan berbanding skuad ketika aksi kekalahan bertemu Arsenal minggu lalu, namun mereka dilihat sukar untuk bersaing dengan pasukan yang baru saja ditubuhkan sejak 12 tahun lalu itu.

Alli diturunkan sebagai ketua pasukan dan beliau juga bermain lebih ke depan berbanding kebiasaannya.

Sebelum Nuno Espirito Santo membuat pertukaran pada aksi babak kedua permainan, Spurs dilihat sukar untuk mendominasi permainan dan mereka sebenarnya hampir untuk jadi mangsa comeback.

Selepas NS Mura berjaya peroleh gol pertama mereka, Spurs dilihat semakin tertekan dengan pasukan pelawat pula lebih banyak melancarkan serangan.

Jentera serangan Spurs mati akal untuk melancarkan serangan dengan kesemua gerakan mereka berjaya dipatahkan oleh NS Mura.

Dek kerana melihat anak-anak buahnya hampir terciduk, Nuno Espirito Santo segera memasukkan trio Kane, Son Heung Min dan Lucas Moura untuk mengubah kedudukan.

Moura cemerlang mencatatkan assists untuk gol pertama yang dijaringkan oleh Harry Kane dalam perlawanan ini, dengan bintang England itu berjaya membuktikan penyudahnya masih tajam.

Gol kedua Kane yang juga merupakan keempat untuk Tottenham Hotspur dalam perlawanan ini adalah hasil dari gerakan pantas Lo Celso yang mencari Son, sebelum disudahi dengan cantik oleh Kane.

Kane yang sudah lama tidak membawa pulang bola kemenangan berjaya melengkapkan hat-trick beliau pada minit ke-88 permainan, seterusnya mengesahkan kemenangan 5-1 Spurs menewaskan NS Mura.

Tottenham Hotspur kini berada di kedudukan pertama dalam aksi peringkat kumpulan G, saingan Europa Conference League.

Semoga saja Kane berjaya mengekalkan rentak persembahan terbaiknya itu, dan akan terus meledak gol demi membuktikan beliau masih lagi penyerang terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Melihat Kane kemarau gol dalam saingan Premier League, ramai yang percaya beliau sebenarnya sudah tiada hati untuk beraksi bersama Spurs dan sudah tidak sabar untuk ke Etihad.

Hari ini, beliau berjaya menyelamatkan skuadnya dari diaibkan oleh NS Mura, seterusnya membantu Spurs untuk mencatatkan kemenangan 5-1.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Mengkaji Secara Saintifik dan Statistik Kenapa Harry Kane Merangkak-Rangkak Bersama England