Kane Mahu Capai Tahap Messi dan Ronaldo Serta Menang Trofi

Harry Kane telah membuat satu pendedahan bahawa beliau mahu mencapai tahap seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo serta tidak mampu menyembunyikan lagi keinginannya untuk menjulang trofi.

Sejak dua tiga musim yang lalu nama Harry Kane menjadi sebutan dan dikaitkan dengan pasukan level kayangan apabila jendela perpindahan dibuka.

Tidak dapat dinafikan lagi Harry Kane merupakan pemain nombor 9 paling sempurna yang ada di muka bumi ketika ini dan perkara ini diakui juga oleh Teddy Sheringham.

Pemain Tottenham Hotspur ini berada dalam carta teratas penjaring dan assist terbanyak di Premier League dan sudah dua kali memenangi anugerah kasut emas.

Harry Kane mengakui bahawa kariernya ketika ini sudah tiba dipersimpangan dan memerlukan haluan bagi bagi mengejar impian seperti pemain bola sepak yang lain iaitu mendakap kejuaraan.

Dalam rancangan Youtube, The Overlap bersama Gary Neville, Harry Kane meluahkan apa yang terbuku dihati beliau ketika ini.

“Masih banyak lagi yang mampu aku beri, aku boleh jaringkan gol yang lebih banyak daripada apa yang aku jaringkan sekarang.”

“Aku tak takut unutk berkata ‘Aku mahu jadi yang terbaik’. Aku mahu cuba dan mecapai tahap seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.”

“Aku juga mahu menang trofi setiap musim yang bersilih ganti menjaringkan 50, 60, 70 gol setiap musim.”

“Tekanan aku dari diri sendiri sentiasa lagi besar daripada apa yang mampu orang lain letakkan ke atas aku.”

Isyarat jelas diberikan Harry Kane bahawa beliau perlu keluar dari Spurs untuk mencapai apa yang diimpikan beliau dan tidak mustahil untuk Kane jaringkan 50 hingga 70 gol semusim.

Awal minggu ini juga telah dilaporkan bahawa Kane telah memaklumkan Spurs akan keinginannya meninggalkan kelab pada musim panas ini.

“Aku tidak mahu penyesalan terjadi pada penghujung karier aku. Aku sedaya upaya mahu jadi yang terbaik.”

“Aku tidak pernah cakap akan kekal bersama Spurs hingga akhir karier dan juga tak pernah cakap akan tinggalkan Spurs.”

“Orang mungkin akan cakap ‘Kane terdesak nak menang piala, Kane perlukan piala.’ tapi aku rasa aku masih ada peluang untuk kembangkan karier aku.”

“Dah tujuh lapan tahun kot aku kat Premier League. Jadi takda menda aku nak kejar dan aku tidak terdesak untuk melakukan sesuatu.”

Sudah dua musim berturut-turut Spurs telah peluang untuk beraksi di Champions League dan Kane akui sukar untuk melihat progres yang telah dicapai oleh Chelsea dan Manchester City.

“Aku mahu bermain dalam perlawanan yang besar. Musim ini akau menyaksikan Champions League dan pasukan Inggeris telah melakukan kerja yang menakjubkan dan inilah perlawanan yang aku mahu terlibat.”

“Ini merupakan detik di mana aku perlu membuat keputusan dan melihat di mana aku berada. Pada akhirnya ia akan berbalik pada aku, bagaimana perasaan aku dan apa yang akan terjadi untuk menjadi yang terbaik untuk aku dan karier aku.”

Selepas perlawanan menentang Aston Villa di Stadium Tottenham Hotspur, Harry Kane secara berseorangan berjalan mengelilingi padang sambil bertepuk tangan tanda terima kasih kepada penyokong.

Riak wajah Harry Kane tampak begitu beremosi dengan mata berkaca seolah-olah bukan sahaja mengucapkan terima kasih tetapi mengucapkan selamat jalan.

Kini Manchester United, Chelsea dan Manchester City antara pasukan dari premier league yang sangat berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Terdapat kelab dilaporkan sudah bersedia menawarkan kontrak selama 5 tahun yang bernilai £80 juta atau £16 juta setahun atau £1.3 juta sebulan atau £300,000 seminggu kepada Harry Kane.

Manchester City kehilangan Sergio Aguero yang telah tamat kontraknya pada penghujung musim ini dan sudah pasti mahu mencari pengganti setanding Aguero.

Manchester United pula walaupun sudah menyambung kontrak Edison Cavani untuk setahun lagi yang merupakan penyelesaian jangka masa pendek sudah pasti mahukan Harry Kane yang mampu menyelesaikan masalah penyerang untuk tempoh 4 atau 5 tahun lagi.

Jika perpindahan ini menjadi kenyataan maka yuran perpindahan sebanyak £100 juta tak lari dan Kane menikmati kenaikan gaji sebanyak £70,000 seminggu. Sikit je kan?

Manchester City pasti menjadi destinasi terbaik Harry Kane untuk mendakap kejuaraan pada musim pertama berbanding Manchester United ataupun Chelsea.

Ini berdasarkan rekod City yang saban tahun ada sahaja piala yang mereka menangi jika tidak berjaya merangkul kejuaraan Premier League.

BACA:  Rooney Enggan Di Ingati Sebagai Kapten Yang Gagal