Kane Tidak Kisah Dikecam, Yakin Masih Ada Peluang Untuk Pintas Mo Salah

Penyerang Totttenham Hotspurs, Harry Kane mendakwa beliau tidak terkesan dengan segala kecaman yang diterimanya di media sosial berhubung insiden ‘claim’ gol ketika menentang Stoke dua minggu lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Tottenham berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Stoke 2-1 hasil dua jaringan daripada Christian Eriksen. Akan tetapi untuk gol kedua Eriksen, Kane mendakwa bola terkena badannya sebelum menerjah jaring.

Salah, mu tunggu aku datang

Spurs kemudian mengemukan rayuan kepada pihak Liga Perdana Inggeris bagi membolehkan gol tersebut dihadiahkan kepada Kane selepas mendapat persetujuan Eriksen. Penyerang antarabangsa England tersebut berjaya memenangi rayuan dan gol tersebut menjadi gol ke-25 beliau dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi, Spurs hanya mampu seri 1-1 menentang Brighton & Hove Albion dan gagal mengambil kesempatan untuk memintas kedudukan Liverpool dalam liga. Spurs kekal di tangga ke-4 dengan mengutip 68 mata, 2 mata di belakang Liverpool dengan musim ini berbaki 4 perlawanan sahaja lagi.

Walaubagaimanapun, Kane berjaya menjaringkan gol buat Tottenham bagi menambah koleksi jaringannya menjadi 26 gol dan kini hanya ketinggalan 4 gol sahaja di belakang penjaring terbanyak, Mohamed Salah yang mempunyai 30 gol.

Gol yang menyebabkan Kane menjadi subjek troll di media sosial

Kane yang kini sudah mencecah usia 24 tahun berharap mampu meneruskan momentum jaringan dalam misi memintas Salah sekaligus menjulang anugerah Kasut Emas untuk 3 musim berturut-turut. Beliau juga mengakui tidak terjejas dengan segala kecaman dan kritikan yang ditujukan kepadanya berkenaan isu gol tersebut.

“Banyak pihak mengambil kesempatan dalam isu ini dan bergembira dalam sosial media. Tetapi tugas saya adalah bekerja keras dan memberikan yang terbaik kepada pasukan ketika berada di atas padang.”

“Kecaman dan kritikan merupakan sebahagian daripada bolasepak hari ini. Peminat boleh meluahkan pendapat masing-masing tetapi ia tidak akan sekali-kali menganggu saya. Mungkin sesetengah pihak mentertawakan saya, tetapi saya akan terus fokus terhadap kerja saya.”

Apabila ditanya mengenai peluangnya untuk memintas Salah dalam perebutan Kasut Emas, Kane percaya peluang masih ada ditambah pula kedua-dua pasukan perlu mengharungi 4 perlawanan lagi.

“Masih ada baki 4 perlawanan dan kita akan lihat apa yang bakal berlaku. Salah bermain dengan cukup cemerlang musim ini. Liverpool dan Spurs masih mempunyai baki 4 perlawanan jadi kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.”

Manchester United mungkin menjadi mangsa Kane seterusnya

Tumpuan Kane dan rakan-rakanya kini terarah kepada perlawanan separuh akhir Piala FA yang bakal berlangsung hujung minggu ini di Wembley. Spurs bakal bertemu Manchester United dan kedua-dua pasukan terdesak untuk memenangi pertandingan tersebut supaya musim ini tidak berakhir dengan tangan kosong.

“Kami perlu meneruskan momentum ini. Sudah tentu kami mempunyai perlawanan besar Ahad nanti dalam Piala FA dan kami sudah tidak sabar lagi.”

“Kami perlu mengakhiri musim dengan baik. Musim lepas kami mengakhiri musim dengan cemerlang dan layak ke Liga Juara-Juara, jadi itu yang kami mahu lakukan sekali lagi musim ini.”

BACA:  Imbas Kembali Detik Kane Dipaksa Tonton Semula Aksi Keji Beliau Ketika Temu Bual Lepas Perlawanan