Keane Memuji Jack Grealish Sehebat Cristiano Ronaldo

Aksi hebat yang dipamerkan oleh Jack Grealish bakal membuatkan Gareth Southgate pening kepala untuk memilih kesebelasan terbaiknya.

Jack Grealish telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan ketika bertemu Austria dalam aksi perlawanan persahabatan awal pagi tadi.

Ekoran dari persembahan mantap yang ditunjukkan oleh bintang Aston Villa itu, legenda United, Roy Keane merasakan yang Grealish bakal menjadi bintang sensasi di acara Euro tahun ini.

Pemain perancang England itu jelas memberi ancaman berbahaya kepada skuad kendalian Franco Foda dalam aksi perlawanan persahabatan pagi tadi.

Beliau awalnya diragui bakal dipilih untuk sertai skuad kebangsaan England dek kerana terpaksa berehat panjang dalam aksi saingan Premier League kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Selepas tiga bulan tidak beraksi, Grealish berjaya mendapatkan tahap kecergasan terbaik untuk kembali beraksi dan telah disenaraikan dalam skuad 26 pemain England.

Grealish bersama Phil Foden, Mason Mount, Jadon Sancho dan beberapa lagi pemain England yang lain dilihat sudah bersedia sepenuhnya untuk aksi bertemu Croatia pada 13 Jun nanti.

Pemain attacking midfielder itu dilihat sedang berada dalam rentak persembahan terbaiknya pada ketika ini.

Beliau telah membuktikan kemampuannya ketika aksi bertemu salah sebuah pasukan yang akan turut bertanding dalam saingan Euro tahun ini, Austria awal pagi tadi.

Penyampai ITV, Roy Keane telah memberikan pujian yang menggunung kepada Jack Grealish atas persembahan super mantapnya ketika bertemu Austria.

Legenda Manchester United itu bahkan menganggap Grealish sama seperti Cristiano Ronaldo dari segi pengaruhnya di atas padang.

“Dia memang pemain yang mempunyai kualiti semula jadi.”

Jelas Keane.

“Setiap kali saya melihat dia bermain, dia akan beri kesan pada perlawanan itu. Saya rasa memang sukar untuk mengetepikan dia dari kesebelasan utama dalam aksi Euro nanti.”

“Dia mungkin akan jadi pemain terbaik untuk England, sentuhan dia menjadi. Dia ada keinginan dan selalu mahukan bola di kawasan sempit, sama seperti Cristiano Ronaldo di Portugal.”

“Kamu perlukan pemain seperti itu dalam skuad kamu. Dia sungguh luar biasa.”

Ini bukanlah kali pertama Keane memberikan pujian yang begitu tinggi kepada pemain yang menyarung jersi nombor tujuh England itu.

Bulan lalu, Keane pernah menyatakan yang beliau akan tukarkan Grealish dengan Pogba ‘esok’ sebagai langkah persiapan paling awal untuk Manchester United hadapi jendela perpindahan musim panas ini.

“Kamu tahu siapa saya suka untuk dia ada di sini, dua pemain yang saya selalu fikirkan dalam tempoh beberapa minggu ini, yang saya rasa akan jadi yang terbaik untuk Man Utd, saya pilih Harry Kane walau nilainya tinggi.”

Jelas Keane kepada Sky Sports.

“Saya juga akan memilih Grealish, saya rasa United masih kekurangan pemain istimewa, saya rasa Grealish akan berikan mereka itu. Dia menikmati bermain di Old Trafford dan saya rasa penyokong juga akan sukakan dia.”

“Apa yang saya sukakan tentang Jack, saya rasa dia ada keberanian yang mengagumkan di atas padang, dia sempurna di bahagian sempit, dalam tempoh setahun dua ini, kualiti penyudah dia semakin meningkat, dia pemain yang menakjubkan.”

Keane kemudiannya menyambung lagi dengan menyatakan:

“Kita tahu Kane boleh menjanjikan gol. Adakah itu sukar untuk dapatkan dua pemain ini? Kamu pertaruhkan kehidupan kamu ia akan jadi sangat sukar, tapi Man Utd perlu pergi dan cuba dapatkan rundingan terbaik atau kita akan ada topik perbualan yang sama saja tentang United tahun hadapan.”

“Saya rasa Jack akan bersedia untuk Man Utd. Villa merupakan pasukan yang besar dan mereka telah melakukan yang terbaik musim lalu, tapi saya rasa Jack, kita bercakap tentang pemain yang perlu mementingkan diri, Harry Kane pentingkan diri, jadi Jack perlu pentingkan diri dan untuk lebih maju ke tahap yang seterusnya.”

BACA:  Keane Dituduh Pembuli Besar Yang Suka Membuli Harry Maguire