Kelab EPL Wajib Hantar Senarai Makanan Untuk Santapan Pengadil Setiap Perlawanan

Bagi musim 2023/24 badan Professional Games Match Officials Limited (PGMOL) telah mewajibkan kesemua 20 pasukan yang beraksi di Premier League menghantar senarai makanan yang akan disajikan kepada pengadil dan pegawai bertugas bagi setiap perlawanan.

Diet dan pemakanan pemain bola sepak adalah sesuatu yang kelab dan pemain mengambil serius sejak sekian lama, dengan atlet mengikuti diet yang ketat dan seimbang untuk mendapatkan yang terbaik daripada kerjaya mereka dan memastikan badan mereka berada dalam bentuk yang terbaik, kini PGMOL mengambil langkah sama bagi menjaga diet pengadil untuk memastikan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan.

Menurut Daily Mail, ketua pengadil di badan Professional Games Match Officials Limited (PGMOL) telah menjadikannya sebagai keutamaan musim ini, menghantar senarai permintaan dan keperluan pemakanan untuk pegawai mereka ke setiap kelab di Liga Perdana.

Senarai itu memberi makluman kepada kelab apakah makanan yang dibenarkan untuk diberikan kepada pengadil pada hari perlawanan, tetapi juga makanan yang mereka perlu jauhi serta diharamkan. Dalam senarai itu, mereka telah membahagikan menu yang mereka kehendaki kepada dua kategori untuk kedua-dua sebelum dan selepas perlawanan, senarai makanan yang mereka fikir boleh diterima untuk setiap masa, termasuk pilihan hidangan panas dan sejuk.

Apakah makanan yang diminta oleh PGMOL untuk dihidangkan kepada pengadil pada hari perlawanan?

Untuk memastikan pengadil menjaga badan mereka sendiri, kerana pengadil secara puratanya perlu berlari sehingga 12 kilometer dalam satu perlawanan. PGMOL telah membuat senarai perkara yang boleh dan tidak boleh diberikan kelab apabila membekalkan mereka makanan musim ini.

Beberapa perkara yang mereka minta secara khusus terdapat pada menu termasuk item seperti buah-buahan seperti mangga dan kiwi dan yogurt sebelum perlawanan. Senarai makanan yang mereka minta selepas perlawanan adalah lebih banyak sedikit, dengan banyak makanan panas dan sejuk disertakan, seperti ayam, daging lembu dan ikan kerana kandungan protein yang tinggi.

Tumis, kari, hidangan pasta, kentang goreng dan kuih muih berperisa atau biasa juga terdapat dalam menu. Senarainya agak luas, tetapi PGMOL juga telah memasukkan makanan yang mereka tidak mahu lihat disajikan musim ini

Apakah makanan yang diminta oleh PGMOL untuk tidak dihidangkan kepada pengadil musim ini?

Walaupun pengadil mungkin tahu makanan apa yang patut dan tidak patut mereka makan, PGMOL tidak mahu mengambil risiko memberi mereka pilihan untuk membuat kesilapan dan secara khusus meminta kelab untuk mengelak daripada menyediakan pilihan yang tidak sihat musim ini.

Ini termasuk sandwic klasik yang sedap lagi menyelerakan, yang dianggap terlalu tidak sihat, manakala makanan yang mengandungi serat tinggi dan kacang juga diharamkan.

Inisiatif itu telah diterajui oleh bekas pengadil Liga Perdana, Howard Webb yang konsisten difitnah sebagai pemain ke-12 Manchester United sepanjang karier menjadi pengadil dan bekas doktor yang jug pernah bertugas bersama Manchester United, Steve McNally.

Howard Webb, yang menjadi pengadil di liga utama selama lebih sedekad antara 2003 dan 2014, telah menjadikan kecergasan dan kesihatan pengadil sebagai keutamaan sejak beliau mengambil alih jawatan pengarah teknikal untuk PGMOL.

Bekas doktor Red Devils McNally meninggalkan kelab itu selepas bertahun-tahun berkhidmat musim lalu untuk mengambil alih peranan pengarah sokongan prestasi dalam organisasi pengadil Premier League itu.

Sejak itu, kerjanya bersama sekumpulan saintis sukan dan melalui kerjanya bersama mereka, mereka menghasilkan menu baharu ini dengan tujuan untuk memastikan pengadil mengambil makanan yang betul semasa hari perlawanan.

Kini diet dan pemakanan seimbang serta betul bukan lagi sekadar dikalangan pemain bola sepak dan pengadil serta pegawai perlawanan juga perlu mengamalkan perkara yang sama.

BACA:  Manchester United Kalah Bermaruah Di Hadapan Maguire Dan Sarat Aksi Kelakar