Kenapa Guangzhou FC Hantar Skuad Muda Untuk Saingan ACL?

JDT telah memulakan kempen AFC Champions League (ACL) dengan begitu baik apabila berpesta gol membelasah kelab dari China, Guangzhou FC dengan jaringan lima gol tanpa balas.

Melihat kepada nombor jersi yang dipakai oleh pemain Guangzhou FC sudah jelas kelihatan bahawa nombor-nombor tersebut seringkali dipakai pemain simpanan.

Namun skuad yang dihantar Guangzhou FC ini bukanlan skuad kedua yang dibarisi pemain simpanan namun skuad muda bawah 22 tahun.

Kenapakah Guangzhou FC menghantar skuad mudah untuk saingan AFC Champions League (ACL) kali ini? Di mana semua perlawanan peringkat kumpulan dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

AFC Champions League (ACL) merupakan kejohanan paling agung dan tertinggi di peringkat Asia yang setaraf dengan Champions League dan Copa Libertadores.

Juara AFC Champions League (ACL) akan beraksi di Piala Dunia kelab setiap tahun bagi merebut gelaran kelab paling unggul di muka yang sentiasa dijuarai oleh kelab Eropah.

Hampir kesemua pemain yang didaftarkan Guangzhou FC untuk AFC Champions League (ACL) 2022 lahir selepas tahun 2001 kecuali seorang pemain, Yang Chen yang lahir pada tahun 2000.

Menurut laporan Vocket FC, keputusan ini terpaksa dilakukan oleh Guangzhou FC disebabkan oleh Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat dikenakan oleh kerajaan China.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Kerajaan China telah mewajibkan rakyat mereka untuk menjalani pengasingan atau kuarantin selama tiga minggu atau 21 hari selepas pulang dari luar negara.

Lantaran jadual perlawanan Chinese Super League (CSL) yang padat amatlah sukar untuk Guanzhou menghantar pemain utama serta skuad kedua mereka.

Pilihan yang mereka ada selain menarik diri adalah dengan menghantar skuad muda bawah 22 tahun. Pengurus Guangzhou FC, Zheng Zhi juga tidak hadir dan digantikan pembantu jurulatih, Pan Yonghe untuk mengemudi pasukan.

Skuad muda yang dihantar ke kejohanan AFC Champions League (ACL) bukan dilakukan oleh Guanzhou FC sahaja malah dua lagi kelab Chinese Super League (CSL), Shandong Taishan dan Shanghai Port mendaftarkan skuad muda mereka.

Ekoran peningkatan kes Covid-19 di China perintah berkurung terpaksa diadakan dan memaksa Shanghai Port menarik diri selepas tiga minggu berkurung dan tiada masa untuk mempersiapkan pasukan.

AFC selaku penganjur telah membuat keputusan tiada pasukan yang akan menggantikan Shanghai Port yang menarik diri pada saat akhir dan kumpulan J akan dilangsungkan dengan tiga pasukan sahaja.

Pada 2010, nama kelab mereka ialah Guangzhou Football Club. Pada pertengahan tahun 2010, syarikat Evegrande Real Estate Group, syarikat hartanah kedua terbesar di China membeli kelab tersebut dan menukar nama kepada Guangzhou Evegrande Football Club.

Pada 2014, website terkemuka, Alibaba.com menerusi pemiliknya, Alibaba Group membeli 40% saham kelab Guangzhou ini dan nama kelab sekali lagi ditukar menjadi Guangzhou Evegrande Taobao Football Club.

Dari tahun 2011 sehingga 2019 Guangzhou telah muncul juara liga sebanyak 8 kali dan sekali naib juara pada tahun 2018 dan muncul juara AFC Champions League (ACL) pada tahun 2013 dan 2015.

Gelaran juara AFC Champions League (ACL) membolehkan Guangzhou mara ke Piala Dunia kelab dan menamatkan saingan ditempat keempat untuk kedua-dua edisi.

Kemelesetan ekonomi ditambah pula wabak yang melanda dunia selepas berbelanja sakan membeli pemain bintang dengan gaji tidak masuk akal memaksa Taobao dan Evergrande menarik penajaan.

Pada tahun 2021 nama Guangzhou Evegrande Taobao Football Club kembali ke nama asal Guangzhou FC dan masih berjaya menamatkan liga di tangga ketiga untuk beraksi di ACL.

JDT 5-0 Guangzhou FC

Perlawanan AFC Champions League telah menyingkap tirainya menyaksikan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, Malaysia telah dipilih oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai tuan rumah bagi kumpulan I yang pastinya dihuni JDT.

Fasiliti yang lengkap dan bertaraf dunia di Stadium Sultan Ibrahim yang menepati piawaian pertandingan menjadi faktor utama kenapa JDT telah dipilih selaku tuan rumah.

Selain Malaysia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga telah memilih Thailand dan Vietnam sebagai tuan rumah peringkat kumpulan AFC Champions League bagi zon Asia Timur.

Dalam kumpulan I, JDT telah diundi berada bersama Ulsan Hyundai dari Korea Selatan, Juara JI League, Kawasaki Frontale serta juara 8 kali Chinese Super League dan juara 2 kali ACL, Guangzhou FC.

Perlawanan peringkat kumpulan ini diadakan secara karnival dan padat bermula dari 15 April sehingga 1 Mei 2022, menyaksikan 6 perlawanan akan dimainkan setipa pasukan bertanding dalam tempoh 15 hari.

Format sebegini diadakan sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang mungkin akan menjejaskan pasukan bertanding jika diadakan seperti biasa.

Sudah pasti ramai merindui aksi JDT di pentas AFC Champions League kerana corak permainan yang dipamerkan juara 8 kali Liga Super ini sangat sedap dan menarik jauh beza berbanding aksi di liga tempatan.

Juara 2 kali AFC Champions League, Guangzhou FC pasukan yang menghantar bukan pasukan kedua dan mungkin skuad remaja mereka menjadi lawan di perlawanan pertama JDT.

Situasi ini pasti memberi kelebihan kepada JDT tambahan pula selaku tuan rumah dan segala risiko harus ditanggung Guangzhou FC kerana menghantar pasukan yang lemah.

JDT tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ke-9 melalui Bergson Gustavo Silveira da Silva dengan satu tandukan tajam yang hanya mampu dilihat pemain Guangzhou FC yang seperti terpaku keras.

Belum tamat sorakan dan kegembiraan gol pertama, seramai 14,000 penyokong JDT yang hadir disajikan dengan gol kedua yang terhasil dengan satu gerakan yang menarik.

Tiga minit kemudian, Flick cantik Bergson Gustavo Silveira da Silva sampai kepada Fernando Martin Forestieri yang melepaskan satu rembatan kencang.

Kesilapan budak sekolah penjaga gol Guangzhou FC, He Lipan yang menepis bola ke gawang sendiri dan bola melambung itu sepatutnya mudah bagi Lipan menangkap.

Namun mungkin kerana kurang pengalaman, gugup dan tertekan Lipan gagal menangkap kemas dan bola tertolak ke gawang sendiri untuk gol sendiri.

Pada minit ke-27, hantaran Corbin Ong telah diabadikan dengan satu dummy indah oleh Fernando Martin Forestieri yang membiarkan bola sampai kepada Bergson Gustavo Silveira da Silva.

Rembatan Bergson Gustavo Silveira da Silva telah menghasilkan satu nutmeg ketika dicabar oleh Peng Jiahao dan Guan Haojin untuk gol ketiga JDT.

Bergson Gustavo Silveira da Silva hampir melengkapkan hatrik sebelum tamat separuh masa pertama namun rembatannya dari sukar sempit tinggi melepasi palang.

Pada minit ke-52, akhirnya Bergson Gustavo Silveira da Silva berjaya mencipta hatrik untuk gol keempat JDT yang juga melalui satu sundulan tajam.

Gerak badan pemain Guangzhou FC menunjukkan mereka seperti sudah berputus asa dan pasti sudah koyak teruk.

Fernando Martin Forestieri terus mencuba untuk meletakkan nama selaku penjaring, sepakan percumanya telah dikeluarkan oleh Lipan.

Pada minit ke-70, Guangzhou FC terpaksa bermain 10 pemain selepas Guan Haojin dilayangkan kad merah selepas menendang kepala Bergson Gustavo Silveira da Silva.

Berbaki 10 minit permainan hantaran cantik lagi genius Nazmi Faiz Mansor disambut dengan tandukan dan kawalan yang kemas dari Ramadhan Saifullah.

Lipan cuba keluar mencabar, Ramadhan Saifullah yang baru 6 minit dipadang mempamerkan sentuhan penyudah yang tenang lagi padu dengan satu lambungan ke gol yang terbuka.

Lima gol tidak cukup untuk JDT dan terus memburu gol tambahan namun tidak kesampaian dan sepakan penjuru terus hampir menghasilkan gol namun dinafikan tiang.

Kemenangan 5-0 merupakan satu permulaan yang teramat baik untuk JDT bagi penampilan keempat mereka di AFC Champions League.

BACA:Β  "El Tigre In The House" - Falcao Lapor Diri Kepada TMJ