Kenapa Liverpool Tidak Boleh Bertemu Villarreal Selepas Undian Semula?

Semalam, kekecohan telah berlaku di ibu pejabat UEFA di Nyon, Switzerland, apabila undian perlawanan buat pasukan-pasukan dalam pusingan 16-pasukan telah dikira terbatal dan tidak sah sekaligus membawa kepada pengundian yang baharu.

Pembatalan ini disebabkan oleh berlakunya kesilapan teknikal dan ralat material ketika proses undian dijalankan, sekaligus membawa kepada undian semula.

Perkara ini telah disahkan oleh UEFA menerusi satu kenyataan rasmi mereka tidak lama selepas pengundian asal dijalankan.

“Berikutan daripada masalah teknikal dengan perisian daripada pembekal luar yang memberikan arahan kepada para pegawai tentang pasukan manakah yang layak untuk bermain sesama mereka, membawa kepada ralat material dalam undian Liga Juara-Juara UEFA pusingan 16-pasukan.

“Oleh sebab itu, undian terdahulu dikira sebagai terbatal  dan akan dilakukan semula pada pukul 1500 CET.”

Dalam undian yang dilakukan pada awalnya, terdapat empat kesilapan telah dilakukan sekaligus membawa kepada pengundian semula, selepas beberapa pasukan telah bertindak melakukan bantahan.

Ketika pengundian semula, ramai yang menyangka bahawa pihak UEFA sekali lagi melakukan kesilapan di mana ramai yang tidak faham dan tidak jelas kenapa Liverpool tidak dibenarkan untuk berada senarai undian untuk bertemu pasukan Villareal memandangkan kedua-duanya tidaklah berada di dalam kumpulan mahupun negara dan liga yang sama.

Walaubagaimanapun, disebabkan oleh turutan undian, Liverpool dan Villareal didapati tidak boleh bertemu sesama mereka.

Ini adalah kerana memandangkan Inter Milan dan Real Madrid telah berada di dalam kumpulan yang sama, dan juga Real Madrid tidak boleh bertemu Villareal kerana berada dalam liga domestik yang sama. Begitu juag ceritanya tentang Inter dan Juventus.

Dalam siaran yang diterbitkan oleh BT Sport, bekas penyerang Liverpool dan Manchester United Michael Owen telah tersilap bilamana dia mendakwa akan berlakunya undian buat kali ketiga.

Selepas tersilap memberikan fakta, Owen telah bertindak memperbetulkan fakta tersebut bagi meredakan keadaan sekaligus mengelakkan daripada berlakunya rusuhan di luar ibu pejabat UEFA.

Kalau dilihat kepada keputusan pengundian semula, Real Madrid boleh menjadi pasukan yang paling tidak berpuas hati kerana lawan mereka berubah daripada Benfica kepada Paris Saint Germain. Manchester United diundi menentang juara La Liga musim lalu, Atletico Madrid dengan Chelsea berjaya mengekalkan undian yang asal – menentang Lille.

Berikut adalah senarai penuh undian kali kedua :

Red Bull Salzburg vs Bayern Munich

Sporting vs Manchester City

Benfica vs Ajax

Chelsea vs Lille

Atletico Madrid vs Manchester United

Villarreal vs Juventus

Inter Milan vs Liverpool

PSG vs Real Madrid

Kekalutan Undian Kali Pertama

Undian di Nyon berlangsung dengan beberapa balang yang mengandungi bola di atas pentas.

Setiap balang mempunyai nama pasukan yang bertanding dalam pusingan 16-pasukan nanti yang diletakkan di dalam bola. Bola tersebut kemudiannya dibuang dari balang dan ditambah ke balang utama di tengah, untuk memastikan hanya pertembungan yang sah akan diundi.

Ini adalah kerana pasukan pilihan (seeded teams) hanya boleh bertemu dengan pasukan bukan pilihan, atau dengan kata lain, juara kumpulan hanya akan bertemu naib juara kumpulan.

Pada masa yang sama, tiada pasukan yang bernaung di bawah persatuan bola sepak yang sama, bermain di liga yang sama, dibenarkan untuk bertembung sesama sendiri.

Lagi pula, jika pasukan tersebut sudah bertemu pada peringkat kumpulan, mereka juga tidak akan bertemu lagi pada peringkat pusingan 16-pasukan ini.

Kekeliruan bermula apabila nama United dipetik dan diundi untuk bertemu Villareal – pasukan yang mereka sudah tewaskan dua kali dalam kumpulan F. Jika fikir logik, takkan United nak kalahkan Villareal lagi dua kali, kan?

Kemudiannya undian dijalankan semula dengan Manchester City dipilih untuk menentang Villareal. Tetapi di atas sebab-sebab yang tidak jelas, bola United tidak diletakkan di dalam balang untuk menentukan lawan Atletico Madrid, yang sebaliknya mendapat Bayern Munich.

Yang peliknya, bola Liverpool pula diletakkan di dalam balang tersebut, meskipun kedua-dua pasukan sudah bertemu dalam peringkat kumpulan.

Kesilapan teknikal ini boleh membawa kepada ketidakadilan dan penganiayaan serta mampu membuatkan sesuatu pasukan terlepas peluang untuk mara ke pusingan berikutnya yang semestinya menjanjikan pulangan wang tunai yang lumayan.

Pasukan yang layak ke suku akhir diberikan hadiah wang tunai sebanyak £9.1 juta (RM51 juta), dan £10.8 juta (RM 60.5 juta) dihadiahkan kepada pasukan yang mara ke perlawanan separuh akhir.

Pasukan yang layak ke perlawanan akhir, kedua-duanya akan menerima sebanyak £13.4 juta (RM 75 juta) sebagai tanda tahniah berjaya marah sejauh itu.

Pemenang perlawanan akhir kemudiannya akan menerima tambahan £3.8 (RM 21.3 juta) tambah £3 juta (RM 17 juta) untuk bertanding dalam perlawanan UEFA Super Cup bertemu juara Liga Europa.

Sumber : SportBible

BACA:  Champions League 2021/22: RB Salzburg 1-1 Bayern Munich