Keputusan Pendakwaraya Itali Bakal Tamatkan Karier Paul Pogba

Pihak Pendakwaraya di Itali dilaporkan mendesak agar pemain tengah Juventus, Paul Pogba diberikan hukuman gantung 4 tahun selepas pemain itu gagal ujian doping.

Pogba berhijrah ke Turin selepas enam tahun bersama Manchester United, dan kini digantung sementara selepas ujian yang dilakukan terhadapnya menemui bahan terlarang DHEA.

Ujian tersebut dilakukan secara rambang terhadap pemain, dan Pogba diuji sebaik sahaja perlawanan di antara Juventus menentang Udinese pada 20 Ogos lalu.

Ujian kedua terhadap sample daripada Pogba juga positif bahan sama yang bertujuan dalam penghasilan hormon testosterone.

Pemain itu kini tiada pilihan selain menanti dengan penuh debaran hukuman yang bakal dijatuhkan terhadapnya.

Menurut wartawam Itali, Romeo Agresti yang juga koresponden Juventus, pihak pendakwaraya mencadangkan agar Pogba dijatuhkan hukuman mandatori iaitu digantung daripada bola sepak selama 4 tahun seperti yang termaktub di dalam peraturan badan anti-doping dunia.

Jika ini berlaku, ini bermakna Pogba hanya boleh kembali bermain bola sepak pada usia 34 tahun yang juga bermakna hukuman tersebut kemungkinan besar akan mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis pada 2018 itu hanya sempat melakukan 12 penampilan untuk Juventus sejak kembali ke Turin.

Pemain itu sentiasa bergelut dengan isu kecederaan dan kecergasan sepanjang musim lalu.

Pendakwaraya yang mengendalikan kes ini jelas mahu memberikan Pogba hukuman berat.

Kes Pogba dijangka akan diputuskan pada awal 2024, dan besar kemungkinan pemain itu akan melakukan rayuan untuk mengurangkan hukuman yang diterimanya.

Masa depan Pogba bersama Juventus turut terancam dengan pihak kelab besar kemungkinan turut akan menyingkirkannya kerana melanggar kontrak.

Kontrak asal Pogba bersama Juventus sepoatutnya berakhir pada musim panas 2026.

BACA:ย  Serie A: Fiorentina 0-2 Juventus