Kerana Bengang, Penyokong United Ini Nekad Bakar Jersi ‘CR7’

Aksi salah seorang penyokong Manchester United membakar jersi Cristiano Ronaldo tular di media sosial pada ketika ini.

Beliau nekad melakukan hal tersebut kerana nama Ronaldo ketika ini hangat dikaitkan dengan bakal menandatangani perjanjian bersama seteru sebandar United, Manchester City.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu sebelum ini pernah menghabiskan kariernya selama enam tahun di Old Trafford, dan beliau juga dianggap sebagai salah seorang legenda kelab.

Status legenda itu berkemungkinan akan berubah andai beliau meneruskan hasratnya untuk menyertai Manchester City pada musim panas ini.

Cristiano Ronaldo dilaporkan sudah semakin hampir pasti untuk menyertai skuad kendalian Pep Guardiola, namun hal itu masih belum boleh disahkan kerana tiada pengumuman rasmi yang dilakukan oleh Juventus atau Man City.

Salah seorang peminat merasakan yang beliau tidak boleh menerima hakikat yang Ronaldo akan menjadi pemain City, oleh yang demikian, beliau memutuskan untuk membakar saja jersi ‘Ronaldo 7’ di halaman rumahnya.

Ronaldo sudah memberitahu Juventus bahawa beliau tidak mahu bermain lagi di Turin, dan beliau juga turut meninggalkan padang latihan pada pagi semalam.

Pengurus kelab, Max Allegri mengesahkan yang pemain berusia 36 tahun itu sememangnya mahu meninggalkan kelab, dan beliau sendiri tidak ada masalah tentang hal tersebut.

Beliau ketika sidang media baru-baru ini telah mengesahkan hal tersebut dengan menyatakan bahawa:

“Semalam, Cristiano Ronaldo bercakap pada saya yang dia sudah tidak berminat untuk kekal bersama Juventus.”

Jelas Allegri ketika bercakap dalam sidang media sebelum perlawanan bertemu Empoli.

“Dek kerana itu, beliau tidak dipilih untuk bersama skuad dalam perlawanan selepas ini.”

Allegri kemudiannya telah ditanya adalah beliau kecewa dengan pilihan Ronaldo, dengan beliau menjawab:

“Tidak. Dia sudah buat pilihan. Omar Sivori, Alessandro Del Piero, Zinedine Zidane juga datang dan pergi. Juve tetap sama dan itu adalah hal yang paling penting.”

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer turut ditanya tentang perpindahan Ronaldo menyertai Manchester City.

Solskjaer, dengan bersemangat menyatakan tentang bagaimana beliau tidak akan pernah terlibat dengan seteru setan merah itu, dan mendedahkan yang beliau dan Bruno Fernandes turut bercakap tentang hal itu pada Ronaldo.

Menurut Fabrizio Romano, Ole menjelaskan:

“Cristiano Ronaldo? Kita senantiasa ada perhubungan yang baik dengan dia. Bruno turut bercakap dengan dia dan dia tahu apa kami rasa tentang dia. Jika dia berhasrat untuk meninggalkan Juventus, dia tahu yang kami di sini menanti dia.”

“Cristiano merupakan legenda di kelab ini, pemain terhebat sepanjang zaman bagi saya secara peribadi. Saya latih dia ketika saya dapat tugasan saya. Kita tengok saja apa akan berlaku nanti.”

Sementara itu, Guardiola turut ditanya tentang bagaimana perkembangan berita tentang Ronaldo ke Etihad, dengan beliau menjawab:

“Dalam tempoh tiga ke empat hari, segalanya berkemungkinan akan berlaku. Ada beberapa pemain, Ronaldo juga termasuk dalam pemain yang bakal menentukan masa depan mereka.”

Sehingga kini, masih belum ada laporan jelas tentang Manchester City dan Cristiano Ronaldo, namun satu hal yang pasti, Mendes memainkan peranan besar dalam usahanya mahu membawa CR keluar dari Turin.

Selain bercakap dengan City, Mendes juga dilaporkan sudah bercakap dengan United, jadi segala kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari sebelum jendela perpindahan ditutup.

Mungkin beliau ke City, mungkin ke United dan mungkin juga kembali ke Real, segalanya boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari sebelum jendela perpindahan ditutup.

* Update terbaru, Ronaldo sudah sah menjadi pemain Manchester United malam tadi. Jadi apa nasib budak yang bakar jersi ni?

Sumber: SPORTbible

BACA:  Europa League 2022/23: Manchester United 1-0 Omonia Nicosia