Kerana Duit, Martial Akan Sanggup Sertai Newcastle

Mana-mana pemain antarabangsa yang berminat untuk sertai Newcastle pada Januari ini, sudah tentu mereka pergi kerana duit.

Itulah topik yang telah dibincangkan di studio talkSPORT dengan mereka mendakwa satu-satunya alasan pemain bintang sanggup sertai Newcastle adalah kerana duit.

Selepas Syarikat konsortium Arab Saudi berjaya melengkapkan pembelian Newcastle United dari Mike Ashley dengan nilai £305 juta pada Oktober 2021, mereka secara tidak langsung sudah menjadi kelab terkaya dalam dunia bola sepak.

Walau bagaimanapun, satu-satunya perubahan yang ada pada Newcastle adalah dari segi kekayaan mereka, namun aksi di atas padang masih tetap hambar.

Sebaik pengambil alihan berjaya disempurnakan, perkara pertama yang pemilik baru lakukan adalah dengan memecat pengurus kelab, Steve Bruce.

Mereka kemudiannya melantik Eddie Howe sebagai pengurus yang baharu, namun sepertinya pengurus baru kelab itu gagal untuk mengubah nasib Newcastle.

Howe akhirnya berjaya membantu Newcastle untuk mencatatkan kemenangan pertama mereka musim ini ketika menewaskan Burnley.

Walau bagaimanapun, mereka masih kekal berada di kedudukan ke-19 dalam carta saingan liga, dan hanya satu mata sahaja dipisahkan dari Norwich City yang berada di kedudukan tercorot.

Jendela perpindahan Januari akan dibuka tidak lama lagi, dan ia sudah tentu kesempatan emas untuk Newcastle lakukan sesuatu, dalam usaha mereka untuk mengelak dari tersingkir.

Memegang status sebagai kelab terkaya, sudah tentu The Magpies mahu mengeluarkan dana yang besar untuk memancing pemain-pemain bintang ke St James Park Januari ini.

Namun kerana mereka hanya berjaya mengumpul 11 mata sahaja dari 19 perlawanan, sepertinya agak sukar untuk Newcastle mengelak dari tersingkir.

Antara pemain yang paling hangat dikaitkan dengan bakal menyertai Newcastle United adalah bintang Manchester United, Anthony Martial.

Martial dilaporkan sudah mendedahkan hasrat beliau yang mahu meninggalkan Old Trafford kepada kelab, dan beliau ketika ini sedang menanti tawaran terbaik untuk melengkapkan perpindahannya.

Memandangkan Sevilla tidak sanggup untuk membayar gaji beliau yang terlalu mega, maka Newcastle merupakan kelab paling berpotensi untuk mendapatkan bintang Perancis itu.

Walau bagaimanapun, di mata bekas pemain England dan Newcastle sendiri, Carlton Pamer, seandainya pemain seperti Martial akan sanggup korbankan slot untuk berada dalam skuad Piala Dunia Perancis, demi untuk ke Newcastle, maka ia jelas kerana duit.

“Saya ada persoalan seandainya dia ke Newcastle.”

Jelas Palmer ketika bercakap di talkSPORT.

“Saya akan tanya sesiapa sahaja sekarang yang mahu sertai Newcastle.”

“Bukan biadap terhadap Newcastle… Dengar, saya suka bermain bersama Newcastle, saya rasa mereka kelab bola sepak yang menakjubkan, tapi saya rasa mereka sedang merundum. Saya rasa mereka akan tersingkir.”

“Jadi kenapa dia sanggup pergi sana? Satu-satunya alasan dia untuk pergi sana padahal kamu merupakan pemain bola sepak antarabangsa, kamu ada pertandingan Piala Dunia tidak lama lagi, dan alasan dia adalah kerana duit. Itu sudah tentu.”

Rakan penyampai beliau di studio talkSPORT, Micky Gray turut bersetuju dengan Palmer dan membangkitkan satu lagi isu yang bakal Newcastle hadapi Januari ini.

“Kamu akan dapat pemain yang hebat dan ejen dia akan pergi ke kelab dan kata, ‘saya akan tandatangani dia untuk kamu, tapi jika kamu tersingkir, saya mahu ada klausa perlepasan.”

“Itu masalah yang akan Newcastle hadapi, angka bukan lagi menjadi masalah, mereka boleh bayar berapa saja pemain mahu, tapi saya tak rasa pemain seperti Martial akan sanggup bermain dalam saingan Championship.”

Sumber: talkSPORT

BACA:  Perlawanan Newcastle vs Spurs Dihentikan Kerana Penonton Diberikan Rawatan Kecemasan