Kesebelasan Utama Malaysia vs Bahrain

Malaysia bermula dengan langkah kanan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2023 China apabila berjaya menewaskan Turkmenistan dengan jaringan yang agak selesa 3-1.

Untuk perlawanan kedua Malaysia menghadapi cabaran sengit daripada Bahrain yang dilihat sebagai pasukan terkuat di dalam kumpulan E.

Kemenangan sudah pasti mahu diraih oleh Harimau Malaya dan itulah harapan semua rakyat Malaysia dan seri boleh dikatakan keputusan agak baik.

Perubahan drastik dilakukan oleh Kim Pan Gon merehatkan Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Mohamad Faisal Abdul Halim, Muhammad Safawi Rasid dan Arif Aiman Mohd Hanapi.

Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Mohamadou Sumareh dan Ahmad Khuzaime Piee diturunkan dikesebelasan utama mungkin kerana Kim Pan Gon mahu bermain lebih bertahan.

Berikut merupakan kesebelasan utama Malaysia vs Bahrain:

Penjaga Gol

Mohd Farizal Marlias

Pertahanan

Corbin-ong La’vere Lawrence
Matthew Davies
Dion-johan Cools
Ahmad Khuzaime Piee

Tengah

Junior Eldstal
Mohamed Syamer Kutty Abba
Muhammad Nazmi Faiz Mansor

Penyerang

Darren Yee Deng Lok
Mohamadou Sumareh
Muhammad Akhyar Abdul Rashid

Simpanan

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed
Mohd Khairulazhan Mohd Khalid
Dominic Tan Jun Jin
Ruventhiran A/l Vengadesan
Safiq Rahim
Guilherme De Paula Lucrecio
Muhammad Syafiq Ahmad
Muhamad Nor Azam Abdul Azih
Mohamad Faisal Abdul Halim
Muhammad Safawi Rasid
Arif Aiman Mohd Hanapi

Turkmenistan 1-3 Malaysia

Malaysia turun untuk perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung di China menentang Turkmenistan dalam saingan kumpulan E bersama Bahrain dan juga Bangladesh.

Sebanyak 24 pasukan yang dibahagikan kepada 6 kumpulan akan bersaing untuk merebut 11 slot yang berbaki ke Piala Asia 2023 dan perlawanan dilangsungkan secara liga satu pusingan.

AFC telah mengumumkan 6 negara yang akan menjadi tuan rumah kelayakan Piala Asia 2023 ini iaitu India, Kuwait, Kyrgyz Republic, Malaysia, Mongolia dan Uzbekistan.

Juara setiap kumpulan akan terus mendapat slot ke Piala Asia 2023 manakala 5 pasukan dinaib juara kumpulan terbaik akan mengiringi.

Sebelum ini 12 pasukan sudah mengesahkan slot ke Piala Asia 2023 melalui saingan kelayakan Piala Dunia.

Selaku tuan rumah, Malaysia sudah pasti mempunyai kelebihan dengan pemain ke-12 yang sudah dibenarkan untuk memasuki Stadium dan sasaran untuk layak adalah logik.

Kim Pan Gon telah menyenaraikan akhir 23 pemain untuk saingan ini, walaupun kehadiran Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh menjadi tanda tanya sokongan tidak berbelah bahagi tetap diberikan.

Safiq Rahim tidak berada dalam kesebelasan utama menentang Turkmenistan dan Nor Azam Azih bergandingan bersama Syamer Kutty Abba dibahagian tengah, mungkin Kim Pan Gon mahu merehatkan Safiq.

Malaysia mempamerkan aksi yang sangat bertenaga sebaik sahaja wisel permulaan ditiup oleh pengadil di mana barisan serangan yang diketuai oleh Darren Lok, Safawi Rasid, Faisal Halim serta Arif Aiman begitu agresif melakukan tekanan awal di bahagian atas untuk memenangi bola.

Segalanya bermula dengan baik apabila Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol pertama Malaysia seawal minit ke-11 menerusi satu rembatan leret di dalam kotak penalti.

Gol berpunca daripada gerakan yang dimulakan oleh Safawi sendiri selepas bola dirampas oleh Arif Aiman di sebelah kanan. Safawi kemudiannya membawa bola sedikit ke hadapan sebelum kembali melorongkan bola kepada Arif Aiman yang membuat larian di sebelah kanannya.

Arif Aiman selepas itu cuba membuat hantaran lintang ke tengah kotak penalti tetapi dapat ditepis oleh penjaga gol Turkmenistan lalu bola muntah ke hadapan Safawi yang sedang membuat larian ke dalam kotak penalti.

Tidak membuang masa, Safawi melakukan rembatan first touch dan bola bergolek masuk ke dalam gol pasukan lawan.

Lima minit kemudian, Stadium Bukit Jalil bergema lagi dan kali ini giliran Faisal Halim pula mencipta nama selaku penjaring. Pemain tengah Turkmenistan melakukan hantaran kepada pertahannya di dalam kotak penalti dan dicabar oleh Darren Lok.

Hasil daripada tekanan tersebut, bola hilang daripada penguasaan pertahanan Turkmenistan, dan disambar oleh Faisal Halim yang menghidu peluang. Sebaik mendapat bola, Faisal Halim mara ke depan gol dan mencipta situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Turkmenistan.

Dengan tenang Faisal Halim melakukan sepakan deras menewaskan penjaga gol lawan, lalu meraikan gol tersebut dengan gaya siuuuuuuuuuuuuuuu.

Pada minit ke-38, akibat terlalu kasual dan selesa, Shahrul Saad melakukan satu kesilapan mudah apabila dia cuba menggelecek pemain serangan Turkmenistan tetapi gagal. Pemain tersebut membawa bola masuk ke kotak penalti dan melakukan satu hantaran lintang ke tengah kotak penalti.

Dion Cools yang keseorangan cuba menanduk keluar bola tersebut, tapi malangnya bola terpeleot melambung ke arah Farizal Marlias dan melemaskan kapten Malaysia tersebut. Ketika bola melambung ke arah Farizal Marlias, Annadurdyyev Altymyrat telah menampan bola ke dalam gol Malaysia.

Ketika separuh masa pertama dilihat bakal berakhir dengan keputusan 2-1, Corbin Ong melakukan satu aksi yang menakjubkan. Bola muntah di depan kotak penalti Malaysia telah disambar oleh bek kiri JDT ini yang memulakan larian dari dalam kotak penalti sendiri.

Tanpa dicabar, Corbin Ong terus membawa bola sampai ke dalam kotak penalti lawan dan pada masa yang sama Arif Aiman serta Faisal Halim masing-masing sudah membuka ruang untuk menerima bola di sebelah kanan dan kiri.

Sewaktu para penyokong Malaysia di rumah sudah memaki kenapa Corbin Ong tidak pass bola ke tepi, dia mengambil keputusan untuk melakukan satu rembatan yang hayna mampu ditepis manja oleh penjaga gol Turkmenistan, sekaligus memberikan Malaysia pendahuluan yang selesa menjelang waktu rehat separuh masa.

Babak kedua menyaksikan Malaysia mengendurkan serangan dan bermain lebih santai dan sudah pasti Kim Pan Gon mahu anak buahnya menjimatkan tenaga dengan dua perlawanan masih berbaki.

Kim Pan Gon seperti mahu mempertahankan kedudukan dan menambah lagi jaringan jika mendapat peluang.

Pada minit ke-74, Faisal Halim telah dikeluarkan untuk Mohamadou Sumareh yang memberikan aksi kurang meyakinkan masuk mengganti dan inilah peluang Sumareh membuktikan sesuatu.

Sentuhan pertama Sumareh dalam perlawanan ini hampir menghasilkan gol keempat namun penjaga gol Turkmenistan dapat membaca percubaan Sumareh.

Berbaki kurang 10 minit permainan, Safiq Rahim masuk menggantikan Nor Azam Abdul Azih dan pemain kesayangan Malaysia Guilherme De Paula Lucercio masuk menggantikan Darren Lok.

Syamer Kutty Abba menghadirkan percubaan paling berbahaya pada separuh masa kedua namun dinafikan oleh penjaga gol Turkmenistan.

Perbalahan tercetus apabila pemain Turkmenistan kelihatan koyak dan cuba menyerang Mohamdou Sumareh namun dengan sepantas kilat situasi berjaya dikawal.

Malaysia bermula langkah kanan dengan kemenangan dan tiga mata berharga. Bahrain menanti Malaysia untuk perlawanan kedua pada 11 Jun nanti.

Kesebelasan Utama Malaysia: Mohd Farizal Marlias, Shahrul Mohd Saad, Corbin-ong La’vere Lawrence, Matthew Davies, Dion-johan Cools, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Mohamed Syamer Kutty Abba, Mohamad Faisal Abdul Halim, Muhammad Safawi Rasid, Darren Yee Deng Lok.

Simpanan: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid, Junior Eldstal, Dominic Tan Jun Jin, Ruventhiran A/l Vengadesan, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Safiq Rahim, Mohamadou Sumareh, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Guilherme De Paula Lucrecio, Muhammad Syafiq Ahmad, Guilherme De Paula Lucrecio.

BACA:  Singapura Tidak Akan Parking Bas Dan Mahu Pastikan Harimau Malaya Kempunan