Klopp Akui Kekalahan Kepada Brighton Yang Paling Teruk Dalam Kariernya

Jurgen Klopp dengan ikhlas mengakui bahawa kekalahan mengaibkan Liverpool kepada Brighton merupakan kekalahan yang paling teruk dalam kariernya sebagai pengurus bola sepak.

Pengurus Liverpool itu ternyata ‘koyak teruk’ ketika temuramah selepas tamat perlawanan yang kelihatan kecewa teramat sehingga tampak tidak bermaya seperti selalu.

Sebelum ini jika Liverpool kalah pastinya Klopp tidak terlepas dari mengalami kekoyakan dengan menyalahkan rumput, angin, semut dan semua benda yang melintas di padang.

Tapi tidak kali ini ketika ramai menunggu binatang apakah yang akan dipersalahkan Klopp. Tiada alasan-alasan dan bebelan mengenai pengadil, VAR atau jadual yang padat, apa yang ada hanya kekesalan.

Jurgen Klopp mengakui dia tidak ingat perlawanan paling teruk dalam kariernya selain perlawanan menentang Brighton ini:

“Teruk, sangat teruk, saya tak boleh ingat perlawanan terburuk, bukan sahaja bersama Liverpool, benar saya tak ingat. Ini adalah detik paling rendah.”

“Brighton merupakan pasukan lebih baik, mereka teramat layak, mereka bermain dengan sangat baik. Sebuah pasukan yang sangat teratur menentang pasukan yang berterabur teruk.”

“Kami memberikan bola serta ruang terlalu besar untuk mereka dan kami tidak dapat naik ke atas. Jelas sekali ini tidak bagus terutamanya menentang pasukan bagus seperti Brighton.”

“Mereka dapat lebih banyak keyakinan dan kami melakukan sebaliknya. Saya boleh bayangkan mereka sangat gembira kerana itu adalah satu persembahan yang hebat dan menjadikannya lebih mudah dalam banyak detik.”

“Bila anda berdepan dengan pasukan yang penuh keyakinan dan kegembiraan, anda perlukan detik penting di mana anda letakkan bola melepasi garisan.”

“Kami mempunyai peluang menjadikannya 2-1 tapi tiada detik dalam perlawanan di mana kami boleh bangkit sedikit dan menukar permainan dari sana. Hasilnya sangat menggerunkan untuk dilihat.”

“Semua orang yang meletakkan hati mereka kepada Brighton akan sangat menikmati perlawanan itu. Tiada siapa yang menaruh hati kepada Liverpool akan dapat menikmatinya walaupun sesaat.”

Selepas menjalani 18 perlawanan musim ini, Liverpool sudah pun kehilangan 26 mata, lebih empat mata berbanding keseluruhan musim 2021/22 yang lalu.

Klopp mengambil kesalahan kerana perubahan taktikal yang gagal, termasuk Thiago ditempatkan lebih jauh ke hadapan di bahagian tengah, yang menjadi kawasan yang dikuasai Brighton, Klopp menambah:

“Masalahnya sama seperti minggu lepas apabila kami bercakap mengenainya. Kami tidak memenangi pertarungan penting di atas padang dan cabaran utama dan kami memberikan bola terlalu mudah.”

“Sukar untuk mengatur perlindungan untuk kehilangan bola yang anda tidak sepatutnya hilang. Ia adalah tanggungjawab saya sepenuhnya. Saya mempunyai idea dengan formasi yang berbeza dan ia tidak berjaya. Maaf.’

“Saya mempunyai idea untuk menukar formasi yang akan cuba membantu pasukan. Itulah ideanya tetapi kami tidak pernah melakukannya sebaik mungkin.”

“Kami selalu berada di antara mereka, perkara terburuk anda boleh lakukan. Kami sepatutnya melakukan lebih baik dan kerana itulah saya lihat apa yang kami lakukan.”

“Kami perlu kreative dengan pilihan kami ada. Apa yang saya lihat hari ini dari pasukan saya ialah mereka tidak benar-benar yakin dengannya. Itu sahaja.

Pengurus Brighton, Roberto De Zerbi telah memberikan kemenangan kelima dalam tujuh perlawanan dengan prestasi yang luar biasa yang kini berada dikedudukan ketujuh Premier League.

Selepas mengisytiharkan pasukannya ‘bertambah baik dalam semua aspek,’ dia mengulangi ‘pintu terbuka’ untuk penyerang Leandro Trossard, yang ingin berpindah dan digugurkan untuk perlawanan Liverpool.

Ejen Leandro Trossard telah membuat satu pendedahan pada awal minggu ini dengan menyatakan satu tuduhan agak berat bahawa pemain Belgium itu telah dimalukan oleh pengurusnya.

Satu situasi tidak bagus apabila pemain mengkritik pengurus secara terbukan namun De Zerbi masih membuka pintu untuk Trossard dan berkata:

“Saya mahu menjawab dengan jelas. Saya tidak melakukan kesilapan dengan dia. Orang yang bekerja di Brighton tahu keadaannya. Saya terbuka untuk membuka pintu kepadanya kerana dia seorang lelaki yang baik. Dia adalah pemain penting.”

“Saya tidak mahu bercakap tentang ejen. saya tak kenal dia. Saya tahu Leo dan saya akan mendengarnya tanpa masalah. Ia bukan keadaan yang buruk. Ia hebat. Jika dia belajar dan bertambah baik kita hanya boleh bertambah baik.”

De Zerbi mahu menutup cerita tidak enak itu dengan segera kerana boleh memburukkan bilik persalinan Brighton.

BACA:  Ini Alasan Mengapa Jurgen Klopp Tidak Memakai Cermin Mata Ikoniknya Lagi