Klopp Nasihat Salah Supaya Pilih Barcelona Berbanding Real Madrid

Jurgen Klopp telah menasihati Mohamed Salah supaya lebih memilih Barcelona berbanding Real Madrid, seandainya beliau memilih untuk meninggalkan Liverpool satu hari nanti.

Dengan rundingan kontrak antara pemain dan kelab sedang berlangsung pada ketika ini, terdapat pelbagai spekulasi berkait masa depan Salah di Anfield.

Sudah beberapa kelab gergasi dunia bola sepak yang dikaitkan dengan Mo Salah seandainya beliau tidak menandatangani kontrak baru bersama Liverpool dalam masa terdekat ini.

Dari kesemua kelab yang dikaitkan dengan Salah, dua pasukan gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona menjadi calon kegemaran untuk mendapatkan khidmat bintang Mesir itu.

Walau bagaimanapun, menurut sumber laporan dari El Nacional, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sudah memberi nasihat dan cadangan kepada Mo Salah untuk memilih antara kedua-dua gergasi saingan La Liga itu.

Jurgen Klopp menyarankan kepada Mo Salah supaya memilih Barcelona berbanding Real Madrid seandainya beliau benar-benar mahu meninggalkan Anfield, dan perlu memilih antara kedua-dua pasukan tersebut.

Ia kerana bekas bintang Chelsea itu dikatakan bakal menjadi bintang besar di Nou Camp, yang mana beliau tidak perlu bergelut dengan kesukaran untuk mendapatkan perhatian.

Seandainya beliau menyertai Real Madrid, Salah perlu bersaing dengan pemain-pemain seperti Karim Benzema, Vinicius Jr dan berkemungkinan Kylian Mbappe yang juga berminat untuk ke Santiago Bernabeu tahun hadapan.

Dengan Barcelona pada ketika ini sedang berusaha untuk membina skuad baru bersama muka-muka baru selepas pemergian legenda terhebat sepanjang zaman kelab, Lionel Messi, maka Salah merupakan pemain yang paling tepat untuk mereka tandatangani.

Menurut El Nacional juga, memandangkan Jurgen Klopp seperti sudah bersedia untuk kehilangan bintang utamanya itu, beliau dilihat bakal membawa pemain muda untuk dikembangkan dan menjadi bintang besar kelab.

Dua pemain yang berada dalam pemerhatian Liverpool pada ketika ini adalah pemain sayap Ajax, Antony dan bintang RB Salzburg, Karim Adeyemi.

Di usia 21 dan 19 tahun, kedua-dua mereka merupakan bakat muda yang mempunyai kemampuan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Bahkan kedua-dua mereka turut mempunyai lebih banyak masa untuk mengembangkan karier mereka, dan menjadi calon pengganti paling tepat untuk menggantikan bintang seperti Salah.

Bekas pemenang kasut emas dalam saingan Premier League itu tidak dinafikan lagi sememangnya sedang berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini.

Beliau telah berjaya menjaringkan 15 gol dari 12 perlawanan setakat awal musim ini, termasuklah hat-trick ketika bertemu Manchester United kemarin.

Salah cipta rekod di Old Trafford

Liverpool berjaya membelasah Manchester United tanpa belas kasihan dengan anak-anak buah Jurgen Klopp itu berpesta gol di Old Trafford malam kemarin.

The Reds seolah-olah hanya menjalani sesi latihan sahaja di Old Trafford malam kemarin, dengan Manchester United langsung tidak memberi cabaran.

Kekalahan 5-0 di halaman sendiri di tangan seteru utama merupakan satu hal yang sangat memalukan dan keputusan tersebut akan terus dikenang sebagai aksi terburuk United dalam Northwest derby.

Selepas melakukan comeback bertemu Atalanta dalam saingan Champions League minggu lalu, United merasakan yang mereka mungkin bakal berjaya mengutip tiga mata penuh ketika turun beraksi bertemu Liverpool.

Walau bagaimanapun, sang penakluk dunia sepertinya terlalu handal untuk United, dengan mereka dibedal lima gol tanpa balas.

Pemain yang ketika ini dianggap sedang berada di tahap persembahan terbaik sepanjang kariernya, Mohamed Salah berjaya memukau para peminat dengan aksi yang sungguh menakjubkan.

Kerakusan Salah dalam merobek gawang United menyebabkan para penyokong setan merah sampai ke rumah masing-masing lebih awal dari kebiasaannya.

Mungkin sebelum wisel penamat dibunyikan, mereka sudah siap mandi dan bersedia untuk tidur di rumah masing-masing, memandangkan para peminat sudah mula meninggalkan stadium sejak minit ke-35 permainan lagi.

The Egyptian King itu berjaya mencipta hat-trick dan turut mencatatkan satu assists dalam membantu Liverpool untuk menewaskan Manchester United 5-0.

Salah dan rekod kini dianggap bagai isi dengan kuku, selepas pemain kebangsaan Mesir itu tidak henti-henti memecah rekod baru sejak dari awal ditandatangani sebelum ini.

Dalam perlawanan ini, Mo Salah berjaya mencipta sejarah dengan menjadi pemain pertama dalam sejarah saingan Premier League, yang mampu menjaringkan gol dari 10 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan secara berturut-turut.

Beliau juga merupakan pemain keempat dari kesemua pemain yang beraksi dalam lima liga utama di benua Eropah yang berjaya mencatatkan rekod tersebut.

Cristiano Ronaldo (2018), Duvan Zapata (Jan 2019) dan Robert Lewandowski (tiga kali) merupakan antara pemain lain yang turut berjaya mencatatkan rekod yang sama.

Mohamed Salah juga muncul sebagai pemain pertama dalam sejarah saingan Premier League yang mampu mencatatkan hat-trick di Old Trafford.

Kali terakhir ada pemain yang mencatatkan hat-trick di Old Trafford merupakan Ronaldo Nazario yang mana beliau melakukan hal tersebut pada tahun 2003 dalam aksi saingan Champions League.

Beliau juga turut berjaya mencipta rekod baru sebagai pemain dari benua Afrika yang menjaringkan gol paling banyak dalam saingan Premier League.

Didier Drogba merupakan pemegang rekod itu sebelum ini selepas beliau menjaringkan 104 gol dari 254 penampilan dalam saingan Premier League.

Salah kini memintas rekod beliau dengan menjaringkan 107 gol hanya dari 167 penampilan sahaja dalam saingan Premier League.

Hal ini menjadikan beliau antara pemain dari benua Afrika yang paling prolifik yang pernah beraksi dalam saingan Premier League bersama Sadio Mane (100), Emmanuel Adebayor (97) dan Yakubu (95).

Lebih hebat lagi pada musim ini sahaja, beliau sudah berjaya untuk terlibat dengan 20 jaringan (15 gol, 5 assists) bersama Liverpool dari 12 perlawanan dalam semua pertandingan.

Ketika temu bual selepas tamat perlawanan, Mo Salah telah menyatakan bahawa:

“Kita mendominasi permainan sepenuhnya, kita memang kena 100% bersedia. Kita cuba bermain cara permainan kita, dan saya rasa kami berjaya lakukannya hari ini.”

“Ia sangat hebat, menang 5-0 di sini, kami tahu ia bakal menjadi tugas berat, tapi kami berjaya kekalkan corak permainan kami, dan ia sedikit memudahkan.”

Mo Salah jelas beraksi sangat cemerlang dalam perlawanan ini selepas beliau mencatatkan statistik yang sungguh menakjubkan.

Sepanjang aksi bertemu Manchester United semalam, Salah berjaya melakukan 53 sentuhan, 93% hantaran tepat, menjaringkan tiga gol, mencatatkan satu assists, melakukan satu key pass dan merekodkan empat percubaan tepat.

Aksi hebat yang beliau persembahkan berjaya membantu Liverpool untuk mengayam-ayamkan Manchester United di Old Trafford.

Liverpool terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 permainan menerusi Naby Keita hasil hantaran yang sungguh sempurna dari Mo Salah.

Pada minit ke-13, giliran Diogo Jota pula yang merobek gawang United, seterusnya meletakkan Liverpool semakin selesa mendahului perlawanan dengan kelebihan dua gol.

Minit ke-38 permainan, Mo Salah akhirnya berjaya untuk menjaringkan gol pertama beliau, seterusnya mengubah kedudukan menjadi 3-0.

Sebelum tamat aksi babak pertama permainan, Salah sekali lagi muncul sebagai penjaring gol untuk Liverpool, dengan mereka semua kembali ke bilik persalinan selepas dibolosi empat kali.

Salah berjaya untuk melengkapkan hat-trick beliau dalam perlawanan ini selepas meledak gol kelima Liverpool pada minit ke-50 permainan.

Liverpool pada ketika ini sedang berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 21 mata, dari sembilan perlawanan, satu mata sahaja dibelakang Chelsea yang sedang mendahului carta liga.

Sementara setan merah pula, selepas berdepan kekalahan demi kekalahan, mereka kini berada di kedudukan ketujuh dalam saingan Premier League, dengan mengumpul 14 mata.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Klopp Tak Suka Media Hina Man United - "Ten Hag Manager Of The Month Bulan Lepas Kot"