Klopp Puji Gol Endo Terpaling ‘World Class’ Di Kalangan Gol Berkelas Dunia Liverpool Lawan Fulham

Jurgen Klopp kagum dengan semua jaringan Liverpool dalam kemenangan 4-3 pasukan kendaliannya ke atas Fulham yang disifatkan berkelas dunia.

Namun di antara empat jaringan yang dihasilkan di Anfield pada malam tadi, pengendali dari Jerman itu menyifatkan gol yang dihasilkan Wataru Endo sebagai yang terhebat dan terpenting untuk kelab Merseyside itu.

Selepas jaringan Trent Alexander-Arnold (juga world class) yang kemudiannya dikategorikan gol sendiri Bernd Leno, Liverpool seolah-olah akan menang mudah ke atas lawan mereka itu.

Namun situasi menjadi berbeza apabila pada satu ketika mereka ketinggalan 3-2 setelah Bobby de Cordova-Reid meletakkan Fulham di hadapan ketika perlawanan masa sebenar berbaki 10 minit sahaja lagi.

Mujurlah dua gol pantas berkelas dunia daripada Endo dan Alexander-Arnold memastikan kemenangan kepada Liverpool setelah Alexis MacAllister menghasilkan jaringan kedua Liverpool.

“Saya sudah menyaksikan banyak perlawanan, tetapi jujurnya ini kali pertama menyaksikan perlawanan yang dihiasi dengan banyak gol berkelas dunia,” kata Klopp selepas perlawanan.

“Maksud saya perlawanan yang amat kompetitif. Perlawanan ini berlangsung dengan begitu kompetitif.”

Tatkala Klopp menilai setiap jaringan yang dihasilkan oleh pemainnya, beliau kemudiannya menghamburkan pujian khusus buat Endo.

Pemain antarabangsa Jepun itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-83 perlawanan dan dengan pantas menghadirkan impak segera terhadap cabaran The Reds.

“Sepakan percuma Trent memang luar biasa,” kata Klopp lagi.

“Macca [MacAllister] juga hebat dengan kaki kanannya pada hari ini. Dia memang hebat dengan percubaan itu dan anda akan berkata, “wow, anda harus melakukan rembatan sebegitu.” Dan dia melakukannya sama sekali seperti yang anda jangkakan.

“[Gol] Watta pula sangat penting. Dia dimasukkan, eh? Gol itu sangat luar biasa, sangat menakjubkan.

“Dia memenangi perebutan bola, passing yang hebat, dan kemudian gol terbaik.

“Kemudian Trent menjaringkan gol kedua peribadinya. Jujurlah, apa pun sebab saya tidak menjangkakan percubaan itu akan menerjah jaring. Saya mungkin bermimpi sedikit ketika itu.

“Saya belum melihat kembali semua jaringan malam ini, tetapi semuanya begitu istimewa.”

Endo sememangnya layak mendapat pujian untuk jaringan pertama Premier League nya pada musim ini, selepas turut menyerlah dalam perlawanan Europa League menentang LASK beberapa hari sebelumnya.

Sebelum perlawanan menentang Fulham, kapten skuad kebangsaan Jepun itu ketike ditemubual This is Anfield berkata ia amat sukar menyesuaikan diri di Premier League = lebih sukar daripada apa yang disangkakannya.

Dan kini Endo berpeluang untuk terus membuktikan kemampuan dirinya di Premier League dalam perlawanan menentang Sheffield United pada Rabu hadapan selepas kali terakhir tampil sebagai kesebelasan utama Liverpool dalam kemenangan 3-0 ke atas Brentford.

BACA:  Gol Padu Jaringan Lautaro Martinez Gagal Bawa Inter Ke Peringkat Suku Akhir