Klopp Tak Sabar Nak Jumpa Pemain Yang Paling Beliau Rindukan

Jurgen Klopp telah memberikan pujian yang menggunung kepada salah seorang bekas pemain Liverpool, dengan menganggapnya sebagai salah seorang pemain terhebat yang pernah bekerjasama dengan beliau.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu akan menyambung semula aksi saingan Premier League mereka minggu ini bertemu Brighton.

The Seagulls tidak dinafikan lagi sememangnya telah menikmati permulaan musim yang sungguh luar biasa menakjubkan pada musim ini.

Skuad kendalian Graham Potter itu telah berjaya mengumpul 15 mata dari sembilan perlawanan awal dalam saingan Premier League musim ini.

Mereka bahkan pada ketika ini berada di kedudukan kelima dalam carta liga, satu mata dihadapan gergasi Premier League, Manchester United yang berada di kedudukan ketujuh.

Satu hal yang menarik menjelang aksi pertemuan Liverpool dan Brighton adalah melihat Adam Lallana kembali ke Anfield untuk bertemu bekas majikannya.

Bintang Brighton itu sebelum ini pernah bekerjasama dengan Jurgen Klopp, dengan pengurus Liverpool itu telah memberikan pujian menggunung ke atasnya.

Jurgen Klopp menganggap Lallana sebagai antara pemain terbaik yang pernah beliau kendalikan sepanjang kariernya sebagai seorang pengurus professional.

Beliau turut menegaskan yang masalah kecederaan sebenarnya punca Lallana gagal untuk pergi lebih jauh, dan bintang England boleh sampai ke tahap yang berbeza andai beliau sentiasa cergas.

Bercakap tentang pemain berusia 33 tahun itu, Klopp menyatakan bahawa:

“Bukan hanya pada permulaan, bahkan ia sampai ke penghujungnya.”

“Saya masih merindui Adam sejujurnya. Adam menetapkan standard dari awal sehingga ke hari terakhirnya dan ia merupakan satu hal yang sangat menakjubkan.”

“Apa yang saya suka tentang dia, dia seorang pemain bola sepak dengan skill teknikal dan mentaliti yang sungguh luar biasa.”

“Saya rasa kita semua akan bersetuju jika Adam tidak terganggu dek masalah kecederaan, dia sudah tentu berada di tahap berbeza sekarang.”

Klopp terus menerus memberi pujian kepada Lallana dengan menyatakan:

“Salah seorang pemain terhebat pernah bekerjasama dengan saya.”

“Seorang yang sungguh luar biasa di luar padang, saya sangat gembira untuk bertemu dengan dia lagi.”

Bekas bintang Southampton itu menghabiskan karier selama enam musim bersama Liverpool, dan beliau pergi selepas memenangi pelbagai gelaran di Anfield.

Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, dan Premier League semuanya berjaya dijulang oleh Adam Lallana ketika kariernya bersama Liverpool.

Beliau juga antara pemain terawal yang dikendalikan oleh Jurgen Klopp dan mungkin kerana itulah namanya sentiasa ada di hati pengurus terhebat dunia itu.

Brighton turun untuk terus memastikan mereka berada di kelompok enam teratas, sementara Liverpool pula mahu terus mengutip tiga mata penuh, dan menunggu Chelsea tergelincir untuk mereka pintas.

Liverpool juga merupakan satu-satunya pasukan dalam saingan Premier League yang masih belum terkalahkan pada ketika ini.

Selain mahu kekal di kelompok enam teratas, Brighton juga tentunya mahu mencuba nasib untuk menjadi pasukan pertama yang akan menewaskan Liverpool dalam saingan Premier League musim ini.

Namun melihat kepada persembahan semasa The Reds, agak sukar sebenarnya untuk Brighton buat kejutan, akan tetapi, bola itu bulat, semuanya mungkin akan berlaku.

Satu hal yang pasti, kedua-dua pasukan tentunya akan mempamerkan aksi persembahan terbaik masing-masing untuk menang dalam perlawanan ini.

Dan itulah apa yang mahu ditonton oleh para peminat, untuk menyaksikan aksi terbaik dari kedua-dua pasukan, sambil berharap pasukan mereka sokong akan mencatatkan kemenangan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Klopp Sentap Dengan Lawak Bodo Wartawan Amazon Mengenai Waktu Sepak Mula Perlawanan