Kos Yang United Tanggung Untuk Pecat Empat Pengurus Selepas Era Ferguson

Keputusan Manchester United memecat Ole Gunnar Solskjaer sebenarnya telah menambah lagi nilai kerugian yang terpaksa kelab tanggung dalam membayar pampasan kepada pengurus.

Sejak berakhirnya era Sir Alex Ferguson, United sudah memecat empat pengurus termasuk yang terbaru, Ole Gunnar Solskjaer.

Setan merah mengesahkan yang Solskjaer sudah secara rasminya dipecat kerana gagal mengendalikan kelab dengan baik.

Pengurus dari Norway itu telah mencatatkan rekod yang sangat teruk pada musim ini hingga memperlihatkan United berada di kedudukan kelapan dalam carta saingan liga.

Dari 12 perlawanan sepanjang musim ini, Solskjaer telah mencatatkan lima kekalahan dengan tiga darinya merupakan kekalahan yang sangat memalukan.

Dibelasah 4-1 oleh Leicester City dan Watford, dan paling memalukan adalah ketika mereka dibelasah 5-0 oleh Liverpool di Old Trafford.

Melihat keputusan-keputusan itu, pihak kelab akhirnya terpaksa membuat keputusan untuk melepaskan saja pengurus dari Norway itu.

Michael Carrick kini akan mengambil alih tugas sebagai pengurus sementara, dengan beliau akan mengendalikan United sehingga pihak kelab menemui pengurus yang baru.

Namun begitu, dengan Solskjaer baru sahaja menandatangani perjanjian selama tiga tahun pada Julai lalu, beliau berjaya mendapatkan pampasan bernilai Β£7.5 juta dari pihak kelab selepas dipecat.

Ia secara tidak langsung menjadikan yang United kini sudah rugi Β£38 juta selepas memecat kesemua empat pengurus kelab sejak dari tahun 2013 yang lalu.

Pengurus pertama yang dipecat selepas berakhirnya era Sir Alex Ferguson adalah David Moyes, yang dipecat oleh kelab dengan menerima pampasan bernilai Β£7 juta.

Bekas pengurus Everton itu telah diberikan kontrak selama enam tahun kerana beliau diyakini bakal menjadi pengganti terbaik yang akan menggantikan Alex Ferguson.

Pengurus kedua yang dipecat oleh pihak kelab pula adalah Louis Van Gaal yang dipecat sehari selepas membantu United memenangi gelaran Piala FA pada musim 2015/16.

Pengurus dari Belanda itu menerima pampasan bernilai Β£8.4 juta dari pihak kelab untuk memecat beliau.

United kemudiannya telah melantik Jose Mourinho, pengurus yang sudah memenangi pelbagai kejuaraan ketika kariernya bersama Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid untuk menjadi pengurus baharu setan merah.

Namun begitu, walaupun pengurus dari Portugal itu berjaya membantu kelab memenangi League Cup dan Europa League, beliau tetap dipecat oleh kelab selepas kekalahan 3-1 bertemu Liverpool di Anfield pada Disember 2018.

Beliau merupakan pengurus paling kaya hasil duit pampasan yang diterima dari pelbagai kelab, dengan United sendiri membayar Β£15 juta untuk memecat Mourinho.

Secara keseluruhannya, pengurus Roma itu telah menerima Β£93.5 juta duit pampasan sepanjang kariernya sebagai pengurus.

Jadi United sebenarnya telah terlalu banyak menanggung kerugian hanya untuk membayar pampasan kepada pengurus yang tidak menyumbang kepada kelab.

Oleh yang demikian United kini sudah tidak mahu lagi mengulangi kesilapan sama, dengan pihak kelab akan mengambil masa yang ada untuk mencari pengurus yang betul-betul layak untuk dilantik sebagai pengganti Ole Gunnar Solskjaer.

Mauricio Pochettino, Zinedine Zidane, Erik Ten Hag dan Brendan Rodgers merupakan antara nama yang dikaitkan bakal menjadi pengurus baru United pada ketika ini.

Zidane walau bagaimanapun telah menolak untuk menerima tawaran dari United, dengan beliau lebih memilih untuk menerima tawaran dari Paris Saint Germain.

Hal ini sepertinya membuka ruang untuk Mauricio Pochettino memenuhi hasratnya mahu kembali ke saingan Premier League, dengan pengurus dari Argentina itu sendiri mendedahkan beliau berminat untuk terima tawaran United.

Seandainya Pochettino terima tawaran dari Manchester United dan memutuskan untuk pergi meninggalkan Paris Saint Germain, ia secara tidak langsung memberi ruang untuk PSG melantik Zidane sebagai pengurus baru.

Sehingga kini, hanya Pochettino sahaja yang paling positif akan ke Old Trafford berbanding senarai calon-calon yang lain.

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  Manchester United Dikecam Kerana Bayar Gaji Rendah Kepada Pekerja Stadium