Penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi, telah kembali mengingati cara menjaringkan gol yang banyak dalam satu perlawanan selepas kali terakhir dia melakukannya ketika masih menyarung jersi Barcelona dan dalam perlawanan menentang Estonia, penyerang PSG tersebut telah menjaringkan lima gol.
Ya tuan-tuan, lima gol!
Meskipun perlawanan tersebut hanyalah perlawanan bertaraf gred A FIFA, pemain yang biasa jarang dapat menjaringkan gol yang banyak, apatah lagi lima gol. Hanya pemain yang berbisa seperti Messi sahaja mampu melakukannya.
Dalam perlawanan tersebut, gol pertama terhasil daripada sepakan penalti pada minit kelapan selepas penjaga gol Estonia bertindak menyapu German Pezella secara habis-habisan tanpa meninggalkan sisa di dalam kotak penalti.
Messi dengan tenang menyepak bola ke sebelah kiri Matvei Igonen, yang kaku tanpa bergerak, sekaligus memberikan pendahuluan buat Argentina.
Pada penghujung separuh masa pertama, Messi yang berada di celah-celah pertahanan Estonia, menerima bola daripada Alejandro Gomez dan tanpa membuang masa dia melakukan rembatan tepat ke dalam gol lawan.
Masuk separuh masa kedua, Messi tidak menunggu lama untuk mencetak hatrik selepas melakukan rembatan secara first timer hasil hantaran cantik daripada Nahuel Molina.
Pesta gol berterusan pada minit ke-71 dan kali ini Messi melakukan larian solo bersama bola sebelum menggelek Igonen lalu menolak bola ke dalam gol yang tidak dikawal.
Kehebatan Messi disimpulkan (kalau dalam Bahasa Inggeris disebut – concluded) pada minit ke-76 apabila dia menutup pintu kepada kekalutan di hadapan gol.
Dengan jaringan lima gol tersebut, Messi kini berada di tangga keempat dalam carta penjaring buat pasukan kebangsaan dengan 86 gol, tiga gol di belakang penyerang terbaik sepanjang zaman Harimau Malaya, Allahyarham Mokhtar Dahari yang merekodkan 89 gol.
Dalam senarai 20 penjaring terbanyak buat pasukan kebangsaan, hanya ada beberapa pemain yang masih aktif dalam carta tersebut. Antaranya adalah Neymar yang merekodkan 73 gol buat Brazil, Ali Makhbout yang telah menyumbang 80 gol buat UAE serta Robert Lewandowski yang merekodkan 75 gol ketika menyarung jersi Poland.
Pemain yang ulung di tempat pertama adalah penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo, yang telah menjaringkan 117 gol, termasuk dua gol ketika pasukannya menewaskan Switzerland empat gol tanpa balas dalam kempen Liga Negara-Negara UEFA. Senarai penuh 20 gol terbanyak pasukan kebangsaan adalah seperti di bawah.
20. Piyapong Pue-on – Thailand (70 gol)
=20. Abdul Kadir – Indonesia (70 gol)
=20. Stern John – Trinidad and Tobago (70 gol)
17. Kinnah Phiri – Malawi (71 gol)
=17. Kiatisuk Senamuang – Thailand (71 gol)
=17. Miroslav Klose – Germany (71 gol)
16. Majed Abdullah – Saudi Arabia (72 gol)
15. Neymar – Brazil (73 gol)
11. Kunishige Kamamoto – Japan (75 gol)
=11. Robert Lewandowski – Poland (75 gol)
=11. Bashar Abdullah – Kuwait (75 gol)
10. Pele – Brazil (77 gol)
9. Hussein Saeed – Iraq (78 gol)
8. Godfrey Chitalu – Zambia (79 gol)
6. Ali Mabkhout – United Arab Emirates (80 gol)
= 6. Sunil Chhetri – India (80 gol)
5. Ferenc Puskas – Hungary (84 gol)
4. Lionel Messi – Argentina (86 gol)
3. Mokhtar Dahari – Malaysia (89 gol)
2. Ali Daei – Iran (109 gol)
1. Cristiano Ronaldo – Portugal (117 gol)
Menentang Switzerland, Portugal terlebih dahulu dikejutkan pada minit kelima namun gol yang dijaringkan oleh Haris Seferovic telah dibatalkan kerana pengadil mendakwa bola terkena tangan terlebih dahulu selepas direviu oleh VAR.
Pada minit ke-15, William Carvalho menjaringkan gol pertama Portugal. Gol terhasil apabila Portugal mendapat sepakan percuma di birai kotak penalti dan Ronaldo mengambil sepakan tersebut dan melakukan rembatan padu menembusi benteng, dan diselamatkan oleh penjaga gol Swiss, Greger Kobel.
Namun disebabkan oleh bola yang padu, Kobel hanya mampu menampan dan bola muntah di hadapan Carvalho yang tidak dikawal lalu dengan tenang dia menolak bola ke dalam gol yang sudah terbuka sambil hanya mampu ditonton oleh pertahanan Swiss.
Selepas gol tersebut, Portugal terus menerus melakukan serangan dan pada minit ke-35, gol kedua mereka hadir. Bruno Fernandes menerima bola hantaran jauh dari bawah ke sebelah tepi padang dan dia berusaha keras mengejar bola sampai berlari sambil mendongak. Usaha murni Bruno ini tidak sia-sia apabila dia berjaya menguis bola kepada Diogo Jota.
Jota pada yang dikawal oleh dua pertahanan Swiss, bertindak bijak tidak menghilangkan bola seperti biasa, dan berpusing seketika di dalam kotak penalti lalu ternampak Ronaldo yang sedang melakukan larian.
Tanpa membuang masa, Jota melorongkan bola sempurna buat Ronaldo, yang kemudiannya merembat dengan begitu kencang menembusi gol pasukan lawan. Seperti biasa Ronaldo meraikan golnya secara siuuuuuu di penjuru padang.
Empat minit kemudian, Bruno Fernandes sekali lagi menjadi pencetus kepada gol Portugal dan kali ini di sebelah kiri padang. Berhadapan dengan dua pertahanan Swiss, Bruno secara bijak menolak bola di celah-celah dua pertahanan tersebut ke arah rakannya, Nuno Mendes.
Mendes kemudian melorongkan bola ke dalam kotak penalti dan disambar oleh Jota yang melakukan sepakan terus ke arah gol. Bola tersebut dapat ditampan oleh Kobel tapi nasibnya tak baik kerana bola muntah di hadapan GOAT, Ronaldo.
Tidak peduli penyokong yang menggelarkannya raja tapping, Ronaldo dengan mudah melakukan tap ke dalam gol sekaligus membawa kepada kekecewaan pasukan Swiss. Jota pada mulanya dilihat agak kecewa kerana gagal menjaringkan gol, tapi dia tetap menunjukkan bahawa dia berjiwa besar apabila meraikan gol tersebut bersama Ronaldo.
Sumber : Mirror