Cristiano Ronaldo Buat Hal Lagi

Penyerang terhebat dunia, Cristiano Ronaldo, tidak bosan-bosan buat ‘hal’ dan kali ini dia telah menjaringkan dua gol serta melakukan satu bantuan gol ketika Portugal menewaskan Switzerland 4-0 dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA.

Gol-gol ini bagaikan satu tindakan lepas geram daripada Ronaldo yang sebelum ini telah diletakkan di bangku simpanan dalam perlawanan pertama, menentang Sepanyol dan perlawanan tersebut berkesudahan seri 1-1.

Menentang Switzerland, Portugal terlebih dahulu dikejutkan pada minit kelima namun gol yang dijaringkan oleh Haris Seferovic telah dibatalkan kerana pengadil mendakwa bola terkena tangan terlebih dahulu selepas direviu oleh VAR.

Pada minit ke-15, William Carvalho menjaringkan gol pertama Portugal. Gol terhasil apabila Portugal mendapat sepakan percuma di birai kotak penalti dan Ronaldo mengambil sepakan tersebut dan melakukan rembatan padu menembusi benteng, dan diselamatkan oleh penjaga gol Swiss, Greger Kobel.

Namun disebabkan oleh bola yang padu, Kobel hanya mampu menampan dan bola muntah di hadapan Carvalho yang tidak dikawal lalu dengan tenang dia menolak bola ke dalam gol yang sudah terbuka sambil hanya mampu ditonton oleh pertahanan Swiss.

Selepas gol tersebut, Portugal terus menerus melakukan serangan dan pada minit ke-35, gol kedua mereka hadir. Bruno Fernandes menerima bola hantaran jauh dari bawah ke sebelah tepi padang dan dia berusaha keras mengejar bola sampai berlari sambil mendongak. Usaha murni Bruno ini tidak sia-sia apabila dia berjaya menguis bola kepada Diogo Jota.

Jota pada yang dikawal oleh dua pertahanan Swiss, bertindak bijak tidak menghilangkan bola seperti biasa, dan berpusing seketika di dalam kotak penalti lalu ternampak Ronaldo yang sedang melakukan larian.

Tanpa membuang masa, Jota melorongkan bola sempurna buat Ronaldo, yang kemudiannya merembat dengan begitu kencang menembusi gol pasukan lawan. Seperti biasa Ronaldo meraikan golnya secara siuuuuuu di penjuru padang.

Empat minit kemudian, Bruno Fernandes sekali lagi menjadi pencetus kepada gol Portugal dan kali ini di sebelah kiri padang. Berhadapan dengan dua pertahanan Swiss, Bruno secara bijak menolak bola di celah-celah dua pertahanan tersebut ke arah rakannya, Nuno Mendes.

Mendes kemudian melorongkan bola ke dalam kotak penalti dan disambar oleh Jota yang melakukan sepakan terus ke arah gol. Bola tersebut dapat ditampan oleh Kobel tapi nasibnya tak baik kerana bola muntah di hadapan GOAT, Ronaldo.

Tidak peduli penyokong yang menggelarkannya raja tapping, Ronaldo dengan mudah melakukan tap ke dalam gol sekaligus membawa kepada kekecewaan pasukan Swiss. Jota pada mulanya dilihat agak kecewa kerana gagal menjaringkan gol, tapi dia tetap menunjukkan bahawa dia berjiwa besar apabila meraikan gol tersebut bersama Ronaldo.

Pada separuh masa kedua Switzerland cuba bangkit namun serangan mereka dengan mudah dipatahkan oleh Portugal yang kemudiannya melancarkan serangan balas yang menakjubkan luar biasa dahsyat.

Ini dapat dilihat pada minit ke-50 apabila serangan balas yang bermula daripada Bruno Fernandes yang menerima bola daripada Rui Patricio, lalu menolak bola kepada Ronaldo.

Penyerang hebat ini dengan bijak bermain hantaran pantas kembali kepada Bruno lalu menolak bola dengan begitu cantik menggunakan outside foot kepada Octavio di sebelah kanan. Octavio kemudiannya menolak bola ke tengah kepada Ronaldo yang selepas itu dengan mudah menewaskan Kobel.

Walaubagaimanapun, gol tersebut tidak dikira kerana Ronaldo terlebih dahulu ofsaid. Kesian.

Pada minit ke-67, pertahanan Manchester City, Joao Cancelo telah menjaringkan gol yang menunjukkan bahawa dia mempunyai kepantasan yang mengkagumkan.

Bernardo Silva menolak bola through kepada Cancelo di sebelah kanan padang. Pada mulanya bola tersebut dilihat agak laju namun sempat dikejar Cancelo yang menguis bola ke tepi ketika dicabar oleh Kobel. Cancelo kemudiannya menolak bola dengan mudah ke dalam gol yang tidak dijaga.

Pada minit ke-82, Portugal dianugerahkan sepakan percuma berdekatan garisan kotak penalti dan sepakan padu Ronaldo telah diselamatkan oleh Kobel. Kalau tidak Ronaldo dah hatrik tu.

Apapun, dua gol tersebut melonjakkan lagi koleksi gol Ronaldo selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman kepada 117 bersama skuad kebangsaan, dan 815 secara keseluruhan.

BACA:  Albiol: Ronaldo Tidak Akan Jaringkan 40 Gol Di Itali