Mengapa Hanya Ronaldo Yang Menghadap Sisi Setiap Kali Menyanyikan Lagu Kebangsaan

Cristiano Ronaldo menyanyikan lagu kebangsaan Portugal dengan penuh semangat dan rasa bangga ketika aksi bertemu Hungary dalam saingan Euro 2020 awal pagi tadi.

Beliau antara yang paling bersemangat ketika menyanyikan lagu kebangsaan, namun ramai yang hairan mengapa beliau berdiri menghadap sisi yang berbeza dari rakan sepasukannya yang lain.

Ketika kamera merakam reaksi ketua pasukan Portugal itu sedang menyanyikan lagu kebangsaan, beliau jelas berdiri menghadap sudut yang berbeza berbanding rakan sepasukannya yang lain.

Ketika semua pemain berdiri tegak dan menghadap ke depan, beliau bersendirian menghadap ke sisi sambil tangannya diletakkan di atas bahu penjaga gol, Rui Patricio.

Ini bukanlah kali pertama peminat melihat pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu melakukan hal sedemikian ketika pra perlawanan.

Namun ada alasan yang menakjubkan tentang mengapa Cristiano Ronaldo sering menghadap sisi setiap kali beliau menyanyikan lagu kebangsaan.

Ronaldo sebenarnya sedang menunjukkan sikap patriotisma terhadap negaranya dengan menyanyikan lagu kebangsaan sambil menghadap bendera Portugal.

17 tahun selepas beliau melakukan debut dalam saingan Euro, Ronaldo masih menunjukkan rasa bangga untuk bermain bersama skuad kebangsaan Portugal.

Beliau masih menunjukkan semangat dan rasa cintakan negaranya dengan mencurahkan segala yang beliau mampu untuk negara tercintanya.

Beliau akan berpaling melihat bendera ketika menyanyikan lagu kebangsaan dalam semua aksi perlawanan Portugal, baik ketika Piala Dunia, mahupun dalam aksi perlawanan persahabatan.

Penjaga gol Argentina, Willy Caballero melakukan hal yang sama ketika Piala Dunia 2018, dengan beliau berpaling menghadap bendera negaranya ketika menyanyikan lagu kebangsaan.

Begitu juga dengan skuad kebangsaan Wales, yang mana kesemua pemain menghadap sisi mereka ketika menyanyikan lagu kebangsaan dalam aksi pertemuan bertemu Switzerland hujung minggu lalu.

Sebagai tambahan, selain dari menyanyikan lagu kebangsaan dengan penuh semangat, Ronaldo turut melakukan hal yang sama ketika beliau menyanyikan lagu tema Champions League.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Champions League itu, dilihat sering ikut sama bernyanyi ketika mendengarkan lagu tema UCL dipasang ketika sebelum sepak mula perlawanan.

Cristiano Ronaldo berjaya menjaringkan dua gol ketika membantu skuad kebangsaan Portugal membelasah Hungary 3-0 awal pagi tadi.

Dua gol yang beliau jaringkan itu membantu Cristiano Ronaldo untuk memecahkan rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam saingan European Championship.

Rekod tersebut sebelum ini dipegang oleh legenda Perancis, Michel Platini yang menjaringkan 9 gol ketika Euro 1984.

Platini walau bagaimanapun, memegang rekod tersebut selama 37 tahun, sebelum dipecahkan oleh pemain terhebat sepanjang zaman, Cristiano Ronaldo yang ketika ini sudah menjaringkan 11 gol dalam sejarah Euro.

Ronaldo mencatatkan 11 jaringan itu dari lima edisi Euro, sementara Platini pula merekodkan 9 gol tersebut hanya dari satu edisi Euro sahaja.

Selain itu, ketua pasukan Portugal itu juga berjaya mencipta sejarah baru sebagai pemain pertama yang membuat penampilan dalam lima edisi Euro berturut-turut pada 2004, 2008,2012,2016 dan 2020.

Dan beliau juga merupakan pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam setiap lima edisi Euro yang beliau sertai sejak 2004 itu.

Cristiano Ronaldo turut dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini dan beliau setakat ini telah mengumpul enam anugerah tersebut sepanjang kariernya beraksi dalam saingan Euro.

Pencapaian tersebut telah menyamai rekod Iniesta yang turut mengumpul enam anugerah pemain terbaik perlawanan, dan tak mustahil untuk melihat Ronaldo memecahkan rekod tersebut tahun ini.

Satu pencapaian yang sungguh luar biasa menakjubkan, dengan Ronaldo kini sudah menjaringkan 106 gol untuk skuad kebangsaan Portugal, dan beliau hanya memerlukan empat gol sahaja lagi untuk memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman peringkat antarabangsa yang dipegang oleh Ali Daei.

Tidak mustahil untuk melihat Cristiano Ronaldo bakal memecahkan rekod tersebut jika beliau mampu mengekalkan tahap persembahan yang sama sepanjang kejohanan Euro 2020 ini.

Portugal selepas ini akan berdepan dengan Jerman untuk aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan F pada 20 Jun nanti.

Walaupun Portugal diletakkan dalam kumpulan yang dianggap kumpulan maut, namun tak mustahil untuk melihat Ronaldo terus menjaringkan gol dan membawa skuad kebangsaannya ke peringkat seterusnya.

BACA:  Ribery : Ronaldo Rampas Impian Ballon d'Or Saya