Lepas Teruk Kena Boo, Messi Kini Dikaitkan Bakal Kembali Ke Nou Camp

Lionel Messi berkemungkinan akan kembali semula ke Nou Camp selepas beliau hanya satu musim sahaja beraksi di Parc des Princes.

Pemenang tujuh kali anugerah Ballon D’or itu pernah mengharungi karier yang sungguh luar biasa menakjubkan bersama Barcelona sebelum beliau meninggalkan kelab kesayangannya itu pada musim panas lalu.

Beliau ketika itu bahkan sudah bersetuju untuk menerima pemotongan separuh dari gajinya, namun kontrak beliau tidak diterima oleh La Liga.

Dek kerana kontraknya tidak boleh diperbaharui, maka Lionel Messi akhirnya memilih untuk menyertai PSG sebagai pemain free ejen pada musim panas lalu.

Messi membina rangkaian serangan merbahaya bersama Kylian Mbappe dan bekas rakan sepasukannya, Neymar namun beliau dilihat agak bergelut di ibu kota Perancis itu.

Secara keseluruhannya beliau hanya mampu menjaringkan tujuh gol sahaja sepanjang kariernya di Parc des Princes dan ia menyebabkan beliau teruk dikritik oleh pelbagai pihak.

Kedua-dua Messi dan Neymar teruk kena boo oleh penyokong sendiri ketika aksi kemenangan 3-0 PSG menewaskan Bordeaux kemarin.

Penyokong menghentam dan mengganggu kedua-dua pemain itu dek kerana mereka tidak menerima hakikat yang PSG sudah tersingkir dari saingan Champions League.

Walau sudah mendahului dan dianggap calon kegemaran untuk layak ke peringkat suku akhir, namun PSG terpaksa akur dikejutkan dengan kekalahan bertemu Real Madrid.

Selepas tamat saja aksi kekalahan PSG di tangan Los Blancos itu, Messi merupakan antara pemain paling teruk dihentam oleh para penyokong gergasi Ligue 1 itu.

Lebih menyedihkan lagi, ketika aksi bertemu Bordeaux, setiap kali Messi menyentuh bola, para peminat tidak henti-henti mencemuh beliau dan hal itu menyebabkan penyokong Barcelona turut berasa sedih.

Atas alasan sama jugalah mengapa Messi dikaitkan dengan bakal meninggalkan Paris Saint Germain dan mahu kembali sertai Barcelona pada musim panas akan datang.

Menurut sumber laporan terbaru dari wartawan, Gerard Romero, ayah kepada Messi dan ejennya, Jorge telah berhubung semula dengan Barcelona berkait kebarangkalian untuk beliau kembali ke Nou Camp.

Telah banyak laporan sebelum ini yang menyatakan Messi sememangnya mahu kembali ke Barcelona dek kerana beliau tidak gembira di PSG.

Beliau bahkan dikatakan menyesal ke Paris Saint Germain dan mahu segera kembali ke Nou Camp untuk menghabiskan sisa kariernya di sana.

Ketika sesi sidang media terakhirnya bersama Barcelona, Messi menitiskan air matanya kerana terlalu sedih untuk meninggalkan kelab kesayangannya itu.

Beliau baru-baru ini ada kembali ke Catalonia untuk mengadakan makan malam bersama beberapa orang bekas rakan sepasukannya, termasuk Xavi Hernandez.

Messi menyertai Barcelona dari Newell’s Old Boys ketika berusia 13 tahun dan beliau kini merupakan penjaring gol terbanyak dalam sejarah bola sepak Barca.

Beliau juga tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain terhebat pernah beraksi di bumi Nou Camp itu

Dari 778 perlawanan bersama skuad utama, Lionel Messi telah berjaya menjaringkan 672 gol dan turut mencatatkan 305 assists.

Beliau melakukan debutnya bersama Barcelona pada Oktober 2004 dengan beliau ketika itu beraksi bertemu Espanyol.

Pemain berusia 34 tahun itu telah berjaya menjulang 35 Piala termasuk 10 gelaran La Liga, empat gelaran Champions League dan tujuh gelaran Copa Del Rey.

Walau bagaimanapun, ketika kariernya bersama PSG, Messi jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaiknya dan ramai yang menganggap zaman kegemilangan beliau sudah berlalu.

Seandainya beliau benar-benar kembali ke Barcelona pada musim panas nanti, sudah tentu ia bakal menjadi berita yang sangat menggembirakan untuk Xavi yang kini sedang dalam usahanya mahu menaikkan semula Barcelona.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Barcelona Risau Klausa Pelepasan Lionel Messi Diaktifkan Pasukan Lawan