Liverpool Cuba Hijack Perpindahan Caicedo Ke Chelsea, Tetapi Caicedo Reject Tawaran Liverpool

Bintang Brighton Moises Caicedo telah memaklumkan kepada Liverpool dirinya tidak berminat untuk ke Anfield dan hanya mahu menyertai Chelsea di jendela perpindahan musim panas ini.

Liverpool sebelum ini dilaporkan telah melakukan bidaan rekod kelab bernilai £111 juta kepada Brighton dalam cubaan untuk menafikan pemain itu ke Chelsea.

Malah majoriti penyokong Liverpool sudah bersorak seperti kanak-kanak riang apabila Caicedo turut dilaporkan sudah berada di Merseyside untuk tujuan pemeriksaan kesihatan bersama juara Eropah enam kali itu.

Malangnya menurut sumber Sky Sports, Caicedo kemudiannya ragu-ragu dan memikirkan semula keputusannya itu pada pagi ini.

Wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano turut berkongsi pekhabaran terbaru daripada Caicedo yang diperlukan Liverpool untuk menguatkan jentera tengah setelah kehilangan Jordan Henderson dan Fabinho ke kelab Arab Saudi.

Ini bermakna saga perpindahan pemain antarabangsa Ecuador ini akan berlanjutan dan kini terpulang kepada Chelsea untuk melakukan bidaan seterusnya.

Di pihak Brighton, segalanya masih sama iatu hanya akan melepaskan pemain tengah itu kepada kelab yang melakukan bidaan tertinggi.

Ini juga bermaksud Chelsea harus melakukan bidaan dengan nilai yang sama seperti yang dilakukan Liverpool.

The Blues sebelum ini turut dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan Caicedo untuk semua terma dan syarat peribadi.

Chelsea dipercayai menawarkan jumlah gaji yang lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh Liverpool.

Di dalam sidang media pada hari ini Jurgen Klopp mengesahkan bidaan Liverpool telah diterima oleh Brighton.

Namun segala-galanya masih terpulang kepada pemain itu sendiri untuk menerima tawaran juara Premier League era pandemik itu.

“Saya dimaklumkan persetujuan mengenai Moises Caicedo telah dipersetujui oleh kedua-dua kelab,” kata Klopp.

“Tetapi kita harus lihat dulu bagaimana [keputusan] pemain. Pemeriksaan kesihatan pada hari ini? Saya tidak boleh beritahu kerana saya tidak pasti bila.

“Kita sudah mencuba [untuk mendapatkan Caicedo] dan jujur saya katakan pihak kelab [Liverpool] telah berusaha sehabis baik.”

BACA:  Chelsea (1-1) Liverpool; Ben Chilwell, Pertahanan Berimpak Tinggi Di 'Final Third'