Louis Van Gaal Bakal Kembali Menguruskan Pasukan Selepas Dua Tahun Dipecat Manchester United

Bekas pengurus Manchester United, Louis Van Gaal berkata beliau semakin hampir untuk kembali menguruskan pasukan selepas menerima tawaran yang terlalu bagus untuk ditolak.

Pengurus berasal dari Belanda itu menghabiskan dua musim menguruskan Manchester United bermula pada tahun 2014 tetapi dipecat selepas membantu mereka menjuarai Piala FA, dengan Jose Mourinho menggantikan tempat beliau.

Piala FA hadiah terakhir Van Gaal untuk peminat Manchester United sebelum dipecat untuk memberi laluan kepada Papa Mou. Kejam sungguh

Sejak dari itu, Van Gaal tidak menguruskan mana-mana pasukan lagi dan terdapat laporan mengatakan beliau sudah bersara dari bolasepak.

Tetapi pada Disember tahun lalu, beliau mengeluarkan kenyataan yang beliau hanya akan kembali menguruskan pasukan sekiranya menerima tawaran dari kelab besar Liga Perdana Inggeris. Van Gaal mahu berbuat demikian kerana mahu ‘membalas dendam’ terhadap United yang memecatnya pada masa lepas.

Terbaru ketika bercakap kepada stesen televisyen Ziggo Sport, bekas jurulatih kebangsaan Belanda ini mendakwa beliau telah menerima tawaran yang tidak mampu beliau tolak.

“Saya masih lagi menerima tawaran yang banyak untuk menguruskan pasukan. Saya juga telah menerima satu tawaran yang saya tidak mampu tolak.”

Jangan-jangan Van Gaal menerima tawaran Arsenal untuk menggantikan tempat Arsene Wenger. Ah sudah

Van Gaal enggan mengulas lebih lanjut mengenai tawaran tersebut tetapi menurut sumber yang boleh dipercayai dari Belanda, Van Gaal mungkin telah ditawarkan peranan untuk menguruskan satu pasukan kebangsaan.

Itali dan Amerika Syarikat sedang giat mencari calon untuk mengisi kekosongan jawatan jurulatih kebangsaan dan kedua-dua negara tersebut merupakan negara yang Van Gaal belum pernah bekerja lagi.

Amerika Syarikat tidak mempunyai jurulatih tetap buat masa sekarang selepas Bruce Arena meletakkan jawatan pada Oktober tahun lalu.

Van Gaal berdepan saingan untuk mengisi jawatan jurulatih Itali kerana Ancelotti juga telah ditawarkan untuk mengisi jawatan yang sama.

Terdapat juga spekulasi mengatakan Van Gaal bakal menyertai Everton musim hadapan selepas pasukan tersebut membawa masuk Direktor Sukan baru dari PSV Eindhoven, Marcel Brands yang berasal dari Belanda.

Dalam temurumah itu juga, Van Gaal berkata jika beliau masih lagi tidak menerima sebarang tawaran menguruskan pasukan bolasepak menjelang Ogos atau September nanti, itu bermakna beliau telah bersara daripada bolasepak.

“Jika saya masih berada di sini pada bulan Ogos dan September nanti, dan tidak menerima tawaran kerja yang baru, itu bermakna saya sudah bersara.”

Dalam perkembangan lain, Itali telah menawarkan jawatan jurulatih kebangsaan kepada bekas pemain mereka, Carlo Ancelotti yang tidak terikat dengan mana-mana kelab sekarang.

Kelab terakhir yang diuruskan Ancelotti adalah Bayern Munich tetapi jodoh mereka tidak bertahan lama selepas dipecat kerana prestasi pasukan yang merudum.

BACA:  Mourinho: Duit Adalah Segala-Galanya