Luka Modric Dinamakan Pemain Lelaki Terbaik UEFA, Tewaskan Ronaldo & Salah

Pemain tengah Real Madrid, Luka Modric telah dinamakan sebagai Pemain Lelaki Terbaik UEFA bagi musim 2017/2018, mengenepikan cabaran sengit dari bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo dan bintang Liverpool, Mohamed Salah.

Pemain antarabangsa Croatia itu berjaya menggondol anugerah berprestij tersebut setelah membantu Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu dengan menewaskan Liverpool dalam aksi final. Ia juga merupakan kali ke-3 berturut-turut Real Madrid berjaya memenangi pertandingan tersebut.

Pencapaian luar biasa Croatia dalam Piala Dunia membantu Modric memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik UEFA

Selain itu, faktor kemenangan Modric juga berkait rapat dengan kejayaan beliau mengemudi Croatia mara sehingga perlawanan akhir di Piala Dunia 2018 dua bulan yang lalu. Modric merupakan kapten Croatia dan beliau mempamerkan kepimpinan yang terpuji untuk membawa Croatia ke perlawanan akhir Piala Dunia pertama dalam sejarah negara tersebut, sebelum tumpas di tangan Perancis.

Seramai 80 jurulatih dari pasukan yang bertanding dalam Liga Juara-Juara Eropah dan Europa League musim lepas bertanggungjawab melakukan undian untuk memilih pemenang anugerah ini. Selain itu seorang journalist dari setiap 55 negara yang berdaftar dengan UEFA juga berpeluang mencabut undi bagi memilih 3 pemain terbaik masing-masing.

Akhirnya dominasi Ronaldo dan Messi berakhir di tangan Modric

Selepas undian dilakukan, Modric muncul pemenang dengan menerima 313 mata. Modric selesa di hadapan pemenang 3 kali, Ronaldo yang sekadar mengutip 223 mata. Ronaldo yang kini bermain untuk Juventus berjaya menjaringkan 44 gol dari 44 perlawanan untuk Los Blancos musim lepas.

Salah melengkapkan ‘Top 3’ dengan menerima 134 mata selepas mengharungi musim pertama yang menakjubkan bersama Liverpool. Sama seperti Ronaldo, beliau juga berjaya menjaringkan 44 gol dalam semua pertandingan di samping membantu Liverpool menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris 2017/18 di tangga ke-4.

Pemain yang dipilih di kedudukan pertama akan memiliki 5 mata, tempat kedua 3 mata, dan ke-3 satu mata. Bagi jurulatih, mereka tidak boleh memilih pemain dari kelab mereka.

Selain anugerah Pemain Lelaki Terbaik UEFA, beberapa anugerah lain turut disampaikan dalam majlis yang sama seperti Pemain Wanita Terbaik UEFA, Penjaga Gol Terbaik, Pemain Tengah Terbaik dan Penyerang Terbaik.

Seperti dijangka, pemenang anugerah pemain terbaik mengikut posisi didominasi pemain yang bermain untuk Real Madrid musim lepas.

Keylor Navas dan Sergio Ramos masing-masing dipilih sebagai penjaga gol terbaik dan pertahanan terbaik manakala Modric berjaya menang satu lagi anugerah pada malam tersebut selepas dipilih sebagai pemain tengah terbaik.

Walaupun gagal memenangi Pemain Lelaki Terbaik UEFA, Ronaldo tidak pulang dengan tangan kosong kerana beliau diumumkan sebagai Penyerang Terbaik UEFA 2017/2018.

Bagi kategori wanita pula, Pernille Harder yang bermain untuk Wolfsburg dan Denmark dinamakan sebagai Pemain Wanita Terbaik UEFA dan mengenepikan cabaran sengit daripada Ada Hegerberg (Lyon) dan Amandine Henry (Portland Thorns/Lyon & France).

Bekas pemain Manchester United dan Real Madrid, David Beckham menerima anugerah Presiden UEFA 2018 untuk menghargai pencapaian luar biasa Beckham disamping menunjukkan tahap profesional yang tinggi sepanjang kariernya.

UEFA awards (winners in bold – others shortlisted)

Men’s Player of the Year: Luka Modric, Cristiano Ronaldo, Mohamed Salah

Women’s Player of the Year: Pernille Harder, Ada Hegerberg, Amandine Henry

Goalkeeper of the Season: Keylor Navas, Alisson Becker, Gianluigi Buffon

Defender of the Season: Sergio Ramos, Marcelo, Raphael Varane

Midfielder of the Season: Luka Modric, Kevin De Bruyne, Toni Kroos

Forward of the Season: Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Mohamed Salah

BACA:  "Akhirnya Hala Madrid!" - Bellingham Pilih Jersi No.5 Di Real Madrid Kerana Zidane