“Macam Ni Kualiti €100 Juta?” – Peminat Bimbang Melihat Aksi Nunez Ketika Sesi Latihan Bersama Skuad Liverpool

Tular video penandatanganan terbaru Liverpool, Darwin Nunez sedang menjalani sesi latihan di media sosial, dengan para peminat bimbang beliau akan gagal di Anfield.

Pemain kebangsaan Uruguay itu melengkapkan perpindahannya dari Benfica menyertai The Reds pada awal bulan lalu dengan yuran perpindahan memecah rekod.

Beliau ketika ini sedang bersama rakan sepasukannya yang baru untuk aksi pra-musim di Thailand untuk bertemu Manchester United.

Nunez ditandatangani dengan yuran perpindahan bernilai £85 juta dan beliau dijangka akan memimpin jentera serangan Liverpool pada musim baharu nanti.

Walau bagaimanapun, ketika sedang menjalani sesi latihan, para peminat sama sekali tidak yakin dengan potensi dan kemampuan yang dimiliki oleh pemain berusia 23 tahun itu.

Melihat bagaimana beliau berlatih menyepak bola, para peminat merasakan yang Liverpool seolah-olah sudah membazirkan duit membeli beliau dengan harga yang tak sepatutnya.

Dalam video tersebut, Nunez dilihat berlatih merembat bola ke arah gawang gol, namun boleh dikatakan hampir ke semua bola rembatan beliau sekadar tersasar dan langsung tidak menepati sasaran.

Untuk menyedapkan hati, para peminat cuba berfikiran positif dengan menganggap ia hanya hal biasa dan itu barulah sesi latihan pra-musim.

Nunez walau bagaimanapun masih mempunyai sekitar satu bulan lagi untuk membuktikan kemampuan sebenar beliau menjelang bermulanya saingan Premier League.

Walau baru sesi latihan ketika pra-musim, namun ada segelintir peminat yang tak boleh menerima hal itu dan dengan segera menganggap beliau sebagai pembelian yang gagal.

Para peminat bahkan turut menghentam Nunez dan mempersoalkan tentang nilai €100 juta yang diletakkan padanya.

“Cuma perlu tunggu sehingga kamu lihat dia dalam perlawanan, tapi saya rasa Benfica dah mula senyum sebab dapat £80 juta dan kurangkan beban.”

“Saya rasa sekarang semua orang sudah sedar yang kita sebenarnya downgrade pemain penyerang dari Sadio Mane kepada dia yang sepak bola tak menepati sasaran.”

“Saya rasa Benfica dah berjaya rompak Liverpool, €80 juta untuk pemain penyerang yang tak boleh dapat on target. Ia satu kejayaan untuk kelab Portugal dapat duit dari kelab Premier League.”

“Habis lah, kita terlalu teruja dan tak sabar untuk miliki pemain penyerang sejati kononnya, tapi melihat cara penyudah dia, kita sebenarnya dapat pemain biasa-biasa sahaja.”

“Kalau penyudah macam ini yang kita dapat di atas padang nanti, saya rasa kita sedang dalam bahaya. Ini pembaziran paling nyata.”

Nunez berjaya menjaringkan 34 gol dari semua pertandingan pada musim lalu bersama Benfica dengan beliau turut berjaya menjaringkan enam gol dalam saingan Champions League.

Menariknya lagi, beliau berjaya menjaringkan dua gol dari kedua-dua leg bertemu Liverpool di peringkat suku akhir.

Hal itulah yang menyebabkan Jurgen Klopp sangat berminat mahu mendapatkan tandatangan beliau dan membawanya ke Anfield pada musim ini.

“Ia teramat sangat menakjubkan ketika melihat dia bermain di hadapan kita (dalam saingan Champions League).”

Jelas pengurus Liverpool itu kepada laman rasmi kelab.

“Ketika kamu bertemu Benfica, kamu tahu macam mana kemampuan kamu. Kami jelas sekali sudah tahu segalanya tentang lawan kami, jadi kami sedar tentang kualiti yang dimiliki oleh Darwin.”

“Masih tak jelas sebenarnya adakah dia akan bermain atau tidak kerana dia baru pulang dari tugasan antarabangsa, tapi sangat jelas yang dia memang bagus. Tapi ketika kamu nampak itu secara langsung, ia memang menakjubkan.”

“Kekuatan dan gabungan antara teknik, keinginan, pergerkan bijak, masalah yang dia berikan kepada kami. Kami semua jatuh cinta dalam dua perlawanan itu. Seorang pemain dari Amerika Selatan yang sangat aggressive, ia hal yang bagus!”

“Ia sangat menghiburkan untuk melihat dia dan ketika kami sedar kami ada kesempatan yang bagus untuk tandatangani dia, kami semua teruja dan kami gembira dia di sini sekarang.”

Nunez dikatakan mungkin tidak akan diturunkan dalam aksi bertemu Manchester United di Thailand nanti kerana beliau mengalami kecederaan ringan.

Namun tidak pasti sama ada beliau akan benar-benar direhatkan atau akan tetap diturunkan dalam perlawanan itu nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Milner Kongsi Kesedihan Pengurusan Liverpool Halang Klopp Kekalkan Dirinya Di Anfield