Malam Mourinho Kasihankan Yang Berhormat, Dan Jaringan Martial Adalah Satu Kemalangan

Segmen ulasan pundit kali ini, saya mengulas perlawanan Manchester United berhadapan dengan pasukan Young Boys ataupun YB yang boleh dieertikan Yang Berhormat dalam bahasa kita.

Manchester United berhadapan dengan pasukan yang ada kejuaraan Swiss sebanyak 12 kali. Jadi anda dah tahu ini bukan pasukan biasa-biasa.

Manchester United pula ada 20 kejuaraan liga. Jadi ini adalah perlawanan menemukan kejuaraan liga terkumpul sebanyak 32 kali. Tiada perlawanan di antara 2 pasukan dari negara England dan Switzerland mampu mencatatkan angka ini.

Sebelum perlawanan Mourinho membayangkan mereka tidak perlu terlalu serius dalam padang, cukuplah bermain dengan taktik pemain tenis iaitu Roger Federer.

Mourinho risau, kalau Manchester United terlalu serius, mahu kena 10-0 YB ni.

Pasukan yang menggunakan nama Young Boys SC ni bila disingkatkan menjadikan perlawanan ini seperti perlawanan berunsurkan politik. YB vs MU (YB vs kamu dalam bahasa Terengganu atau Kelantan) jadinya.

Di atas padang, ternyata Manchester United mahu memastikan pasukan yang baju mereka ditaja Obi Mikel ini akan kecewa.

Masuk ke padang, para pemain YB terpaku dan tepersona dengan kelibat bintang yang mereka akan tentang. Bukan biasa-biasa. Pogba juara Piala Dunia. Lukaku pula pemain yang dianggap Shah Rukh Khan Belgium.

Pengadil tanpa lengah meniup wisel penamat. Sebelum perlawanan bermula dia sudah membuat laporan yang Man. United akan menang 3-0 supaya tamat perlawanan dia terus balik sahaja. Tinggal nak isi nama penjaring sahaja.

Pogba menjaringkan 2 gol awal. Gol pertama dengan cantiknya Pogba menukar kedudukan bola ke kaki kiri. Dia sebenarnya tak nak merembat dengan kaki kanan, kerana takut gawang tu bocor. Cukuplah dengan weaker foot.

https://twitter.com/D9INE_NEXUS_/status/1042498021043269632

Namun Hakim Firmino,  tetap yakin anak anak muda YB itu akan bangkit. ‘Ah, second half kena la korang ni kang’.

Di meja sebelah Fendi Hazard dan juga Razif Abumiang turun untuk malam kedua di kedai mamak dan kononnya tak kisah dengan apa di layar besar. Mereka berlagak sedang bermain PUBG dengan khusyuk.

Lalu Luke Shaw tanpa berlengah memastikan sumpahan itu tak jadi kenyataan. Dengan tepatnya Luke Shaw mencucuk bola ke arah tangan pemain lawan.

Menjeritlah Fendi Hazard, ‘MU ni kalau tak penalti tak sah’. Dia dan Hakim Firmino bangkit meninggalkan Razif lalu membayar air ke kaunter. Mata mereka menuju ke skrin dan mamak menunggu mereka menyerahkan wang.

Fendi Hazard dan Hakim Firmino masih menangguhkan bayaran kerana dalam hatinya masih berharap penalti tu tak masuk, boleh dia duduk lagi.

Pogba dengan terlalu mudah menyempurnakan penalti itu. Fendi berkata, dia perlu balik sebab nak tidur, lagipun team dia akan main pagi Jumaat dalan Europa League yang jauh lebih kompetitif daripada UCL.

Berbalik kepada kisah di atas padang YB tahu, malam ini malam yang derita untuk mereka. Mustahil untuk anda tewaskan si Setan Merah ini dengan prestasi terbaik mereka ini.

Pogba berlari meraikan gol dengan simbol heavy metal.

Masuk ke bilik persalinan, jurulatih YB berkali-kali berkata, ‘jangan bolos lagi. Kita tak perlu fikir pasal kebangkitan, itu mustahil, cukuplah jangan tewas sampai 6-0.’

Mourinho yang mendengar daripada bilik sebelah, agak kasihan mendengarnya. Lalu dia berkata.

‘Kita tak perlu skor banyak, 2-0 ini sudah cukuplah bagi kita. Lagipun mereka ni baik dengan kita.’

Wajah kecewa Mourinho apabila beberapa pemain beliau terlalu serius dengan budak budak YB

Dan seperti dirancang, MU kelihatan tidak berusaha menambah gol separuh masa kedua. Mereka lebih kepada beraksi seperti lawatan Manchester United ke Macau sambil melayan peminat lelaki muda di atas padang.

Namun berlaku gol tak sengaja apabil Martial menyumbat masuk hantaran daripada Pogba.

Jelas sekali Martial tak berniat menjaringkan gol itu. Masalahnya pertahanan YB yang membantu memasukkan gol itu sebagai tanda menyerah kalah.

Martial kelihatan menangis kesal dan cuba ditenangkan Rashford.

Satu lagi sudut kamera jelas menunjukkan Martial sangat kesal di atas gol ke-3 beliau.

Mourinho mengeluarkan Pogba kerana risau pemain itu akan menambah 1 lagi gol dan hatrik. Itu tiada dalam perancangan mereka.

Pogba dikeluarkan, secara automatik dilucutkan captaincy malam itu kerana tak dengar cakap. Bermain terlau serius. Mourinho jelas kecewa

Wisel tamat perlawanan dibunyikan ternyata nampak kelegaan dan senyuman di wajah semua pemain dan jurulatih YB yang hanya tewas 3-0 di tempat sendiri.

Sementara dalam satu lagi perlawanan, Manchester City tewas di tangan Lyon 1-2. Kekalahan itu berlaku hanya dengan perang saraf oleh Depay yang menyatakan Manchester itu masih merah.

Jadi tak keruan jiran mereka itu dan tewas 1-2.

Jadi, kemenangan ini adalah bukti yang Manchester United hanyalah melengkapkan jadual untuk peringkat kumpulan yang mudah ini. Mereka hanya akan memulakan kempen UCL sebenar pada kalah mati nanti.

Pasukan bola sepak yang hebat tak akan menunggu sehingga minit akhir untuk menang. Itulah Manchester United.

BACA:  Mourinho: Kemenangan Ke Atas Liverpool Satu Keputusan Yang Sempurna