Man City Sekadar Seri Bertemu Palace Seterusnya Beri Ruang Untuk Liverpool Mencabar Gelaran Premier League

Perebutan untuk merebut gelaran Premier League kini sepertinya semakin terbuka luas selepas Manchester City hanya mampu mencatatkan keputusan seri sahaja bertemu Crystal Palace awal pagi tadi.

Keputusan seri tanpa jaringan itu secara tak langsung menyebabkan Man City keciciran mata dan membuka ruang untuk Liverpool semakin hampir dengan mereka.

City memiliki begitu banyak kesempatan emas untuk menjaringkan gol dalam perlawanan yang dilangsungkan di Selhurst itu.

Walau bagaimanapun, kesemua peluang tersebut gagal dimanfaatkan dengan jaringan gol dengan para pemain City sukar untuk mencari jalan mahu menewaskan penjaga gol Palace, Vicente Guaita.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu hampir memecah kebuntuan menerusi Kevin De Bruyne dan Joao Cancelo, namun percubaan dari kedua-dua pemain ini sekadar terkena palang.

Bernardo Silva, Riyad Mahrez dan Aymeric Laporte turut terlepas kesempatan emas untuk menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut.

Palace bermain dengan sangat baik dalam perlawanan ini dan mereka sememangnya berhak membawa pulang satu mata itu atas persembahan mantap yang diturunkan oleh para pemain.

Keputusan seri itu menyebabkan Manchester City kini terlepas peluang untuk menjarakkan diri enam mata di atas Liverpool yang sedang berada di kedudukan kedua.

Mereka ketika ini hanya empat mata sahaja di atas Liverpool, dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu masih memiliki kelebihan satu perlawanan yang masih belum dimainkan.

Seandainya Liverpool berjaya menewaskan Arsenal di Emirates nanti, maka mereka hanya akan ketinggalan satu mata sahaja di belakang Man City.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu kemudiannya akan turut bertemu Watford pada 2 April, sementara Man City pula akan turun bertemu Burnley.

Kedua-dua Liverpool dan Manchester City akan bertemu sesama sendiri di Etihad pada 10 April nanti, dan perlawanan tersebut merupakan aksi yang dinanti-nantikan oleh para peminat.

Bercakap selepas tamat aksi terikat tanpa jaringan bertemu Palace, Guardiola jelas tak gembira namun beliau menolak untuk menghentam anak-anak buahnya kerana gagal menjaringkan gol.

“Kita bermain permainan yang bagus, cipta banyak peluang terutama pada aksi babak pertama.”

Jelas Pep Guardiola kepada Sky Sports.

“Palace merupakan pasukan yang sukar ditewaskan, mereka bertahan dengan sangat baik, tak ada ruang. Mereka ada rentak, tapi kami bermain dengan corak permai yang bagus.”

Ketika ditanya berapa besar impak yang City perlu tanggung dan bagaimana pandangan beliau tentang perebutan gelaran liga pada ketika ini.

“Saya tahu kami perlu menang banyak lagi perlawanan, tapi cara bagaimana kami bermain, saya tak ada rasa menyesal tentang pasukan.”

“Kami mahukan kemenangan, sudah tentu, tapi perlawanan itu kami bermain dengan baik.”

Pep Guardiola merasakan yang anak-anak buahnya sudah melakukan yang terbaik namun Palace bermain dengan lebih baik dan itulah yang menyebabkan mereka keciciran mata.

Harus diakui para pemain Crystal Palace sememangnya bermain dengan sangat baik dalam perlawanan tersebut dan mereka berhak untuk membawa pulang satu mata.

Man City beberapa kali memiliki kesempatan emas untuk meledak gol namun penjaga gol serta barisan pertahanan Palace berjaya mengawal keadaan dan memastikan gawang mereka tak dibolosi.

Crystal Palace pada ketika ini berada di kedudukan ke-11 dalam carta saingan liga, dengan mereka cemerlang mengumpul 34 mata.

Walaupun mereka berpotensi untuk dipintas kerana beberapa pasukan di bawah mereka mempunyai kelebihan perlawanan yang masih belum dimainkan, namun satu hal yang pasti Palace jauh dari zon penyingkiran.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Syarikat Judi Penaja Rasmi Manchester City Ini Disyaki Syarikat Hantu